Jumaat, 27 Mei 2016

Ujian getir buat Kim Swee

 
SKUAD negara akan diuji menentang Myanmar pada aksi persahabatan di Yangon hari ini.

JURULATIH skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee akan menggunakan perlawanan persahabatan menentang Myanmar hari ini sebagai medan untuk mencari kombinasi terbaik dalam skuad negara bagi menghadapi Timor Leste pada aksi playoff kempen Kelayakan Piala Asia 2019 awal bulan depan.

Malaysia akan menentang Timor Leste pada aksi playoff berkenaan di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun nanti.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia itu menegaskan walaupun kombinasi baharu di setiap posisi menjadi keutamaannya, dia tetap mengharapkan skuad kebangsaan dapat meraih keputusan positif pada aksi menentang Myanmar di Stadium Pusat Latihan Belia, Yangon.

“(Sepuluh) pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) baru melaporkan diri semalam (kelmarin) manakala selebihnya sudah berada dalam latihan pusat sejak lima hari lepas.

“Jadi, menerusi perlawanan esok (hari ini) ia memberi peluang kepada saya menilai apa yang kita lakukan dalam latihan (mampu diterjemahkan pada perlawanan menentang Myanmar) selain memilih kesebelasan terbaik apabila bagi menghadapi Timor Leste nanti,” kata Kim Swee pada sidang akhbar di Yangon semalam.

Kim Swee berkata, dia harus mencuba kombinasi baharu memandangkan sebahagian besar pemain yang dipanggil untuk aksi persahabatan Kelas A itu merupakan muka-muka baharu, namun pada masa yang sama mengingatkan pemain untuk tidak mengambil mudah perlawanan berkenaan.

“Myanmar sudah bertambah baik dengan mempamerkan aksi mantap ketika berdepan Lebanon di tempat lawan (pada pusingan kedua kelayakan Piala Asia 2019) sebelum ini dan saya melihat mereka semakin berani menampilkan ramai pemain muda yang dahagakan kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Johor DT, Aidil Zafuan Abdul Razak yang bakal menggalas tugas selaku kapten pasukan susulan kecederaan dialami Safiq Rahim bertekad memberikan persembahan terbaik.

“Bagi pemain, kita akan melakukan sesuatu untuk jurulatih kerana beliau akan membuat penilaian terhadap setiap pemain bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama apabila kita menentang Timor Leste nanti.

“Saya juga mengharapkan aksi terbaik dan kita tidak akan pandang mudah perlawanan esok (hari ini) walaupun kami (pemain Johor DT) baru melaporkan diri ke latihan skuad kebangsaan semalam (kelmarin),” katanya.

Aidil menjelaskan kehadiran semula adiknya, Zaquan Adha Abdul Radzak dalam skuad kebangsaan setelah kali terakhir beraksi pada 2012 ketika di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal, diharap dapat menyuntik semangat rakan sepasukan lain mempamerkan aksi lebih mantap.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Myanmar, Gerd Zeise, berkata perlawanan itu akan menjadi ujian getir tetapi berharap anak-anak didiknya akan menampilkan persembahan baik di hadapan penonton sendiri.

“Kebimbangan utama adalah penyudahan barisan serangan tetapi berharap latihan pusat selama seminggu ini mampu mengatasi kelemahan ini,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz49uaJF1QQ Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan