Selasa, 31 Mei 2016

Kekalahan Timor Leste legakan Kim Swee

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 MEI 2016 
Kekalahan Timor Leste legakan Kim Swee
KEKALAHAN mengejut Timor Leste kepada tuan rumah, Kemboja pada aksi persahabatan antarabangsa di Phnom Penh kelmarin memberi sedikit kelegaan buat pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee yang menempuh perjalanan 10 jam bagi menyaksikan sendiri perlawanan itu berkata, Malaysia mampu mengambil kesempatan di atas beberapa kelemahan ketara Timor Leste.

Skuad kebangsaan akan berdepan Timor Leste pada perlawanan Play-off Kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin pada 2 dan 6 Jun ini.

"Pada perlawanan itu, mereka (Timor Leste) menurunkan semua pemain naturalisasi Brazil dan permainan mereka cukup bagus.

"Apa yang saya nampak, Timor Leste mempunyai kekuatan di bahagian tengah. Tapi dalam perlawanan ini, pemain mereka tiada persefahaman mungkin disebabkan mereka dikumpulkan dalam tempoh yang singkat.

"Apa pun saya fikir, pertemuan di Larkin nanti pasti sukar tapi tidak mustahil untuk kita kalahkan mereka.

Dalam pada itu, Kim Swee  akui barisan serangannya masih tumpul dan situasi itu harus diperbetulkan apabila melayan kunjungan Timor Leste nanti.

"Untuk menang, kita mesti sumbat gol. Saya akan pastikan kita atasi kelemahan ini semasa sesi latihan nanti.

"Saya percaya, pemain ada keupayaan untuk catat keputusan positif di Larkin, Khamis ini," katanya.

Sabtu lalu, Harimau Malaysia sekadar terikat seri tanpa jaringan ketika berdepan Myanmar di Yangon.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE  31 MEI 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan