Rabu, 25 Mei 2016

Mahali, sila lapor diri Khamis ini

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  25 Mei 2016 12:03 AM
ONG KIM SWEE menyaksikan pemain-pemainnya menjalani latihan ringan
ONG KIM SWEE menyaksikan pemain-pemainnya menjalani latihan ringan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. utusan/SHIDDIEQIIN ZON
KUALA LUMPUR 24 Mei – Kecederaan yang dialami oleh Matthew Da­vies membuka peluang kepada pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) Mahali Jasuli untuk menyarung jersi skuad negara semula selepas dipanggil oleh pe­ngendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menjelang perlawanan persahabatan dengan Myanmar Sabtu ini.
Pemain Pahang, Davies me­ng­alami kecederaan belakang berulang dan pemeriksaan doktor mendapati dia memerlukan rehat hingga dua minggu.
Rakan sepasukannya di bahagian sayap, R. Gopinathan juga disahkan tidak boleh bermain untuk sekurang-kurangnya dua minggu kerana cedera di bahagian paha.
Bagaimanapun Kim Swee ketika ini belum bercadang untuk memanggil pemain lain untuk mengisi senarai yang ditinggalkan oleh Gopinathan.
“Setelah berbincang dengan pihak perubatan, doktor pasukan dan barisan kejurulatihan, saya telah membuat keputusan untuk memberi pelepasan kepada Matthew serta Gopinathan kerana mereka mengalami kecederaan yang sukar untuk pulih sepenuhnya dalam masa singkat.
“Tempat Matthew akan diisi oleh Mahali dan satu lagi tempat dikosongkan buat sementara waktu yang mana dalam masa terdekat saya akan memikirkan posisi tertentu, mungkin selepas perlawanan JDT dalam Piala AFC saya perlu melihat kecergasan pemain yang dipanggil.
“Satu lagi slot (tempat Gopinathan), saya tidak pasti sama ada akan memang­gil dalam kalangan pemain JDT atau tidak. Seperti saya katakan saya akan tentukan mengikut posisi apabila mahu membuat penambahan pemain.
“Mahali akan me­nyertai skuad kebangsaan bersama-sama ra­kan sepasukannya dari JDT iaitu pada Khamis ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Kim Swee, antara posisi yang dirisaukan adalah di bahagian benteng skuad negara kerana tiga daripada empat pemain pertahanan tengah terdiri daripada pemain JDT dan mereka bakal beraksi dalam Piala AFC esok.
“Boleh dikatakan di bahagian pertahanan (tengah) di mana kita ada Mohd. Aidil Zafuan (Abd. Radzak), Mohd. Fadhli (Mohd. Shas), Mohd. Shahrom (Abdul Kalam) dan Junior Edstal, tiga daripada mereka adalah pemain JDT. Saya harap tiada kecederaan serius berlaku ke atas mereka yang bakal beraksi dalam Piala AFC esok.
“Sudah tentu perkara ini tidak dapat dielakkan terutamanya kecederaan. Kita tidak tahu bila akan menimpa seseorang. Bagi saya kita perlu meneliti peranca­ngan pasukan,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/mahali-sila-lapor-diri-khamis-ini-1.334198#sthash.Xq1IsFdA.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan