JANATUL FIRDAUS YAACOB
26 MEI 2016
Mahali ketika beraksi dalam perlawanan Piala AFC, semalam. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
IBARAT bidan terjun apabila dipanggil semula menyarung jersi skuad negara, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mahali Jasuli akan memanfaatkan pengalaman pentas Piala AFC untuk membantu Harimau Malaysia aksi persahabatan menentang Myanmar, Sabtu ini, lapor JANATUL FIRDAUS YAACOB.
Mahali mengakui terkejut dengan panggilan pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee memandangkan dia sudah lama tidak menyertai aksi peringkat antarabangsa.
“Terkejut jugalah, dah lama saya tak main bersama skuad kebangsaan tapi jika diberikan peluang keemasan seperti ini saya sedia membantu dan pamerkan aksi terbaik.
“Saya janji akan bekerja keras kerana ini perlawanan antarabangsa yang membabitkan imej dan nama negara,” katanya yang diminta melapor diri hari ini (Khamis).
Menurut pertahanan kental yang pernah membarisi skuad emas Piala Suzuki AFF 2010 dan Sukan Sea 2009 serta 2011 lalu, dia bersedia menyahut cabaran meskipun dipanggil pada saat-saat akhir.
“Saya optimis masih ada masa dan ruang untuk persiapkan diri mental dan fizikal bagi menggalas tugasan baharu ini.
“Pengalaman bermain untuk JDT dalam aksi Piala AFC akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu mempertahankan gawang gol Malaysia daripada dibolosi,” katanya.
Mahali dipanggil menggantikan Matthew Davies yang mengalami kecederaan akibat kecederaan.
Menurut Kim Swee, posisi Davies diganti Mahali manakala kekosongan R Gopinathan masih belum dipastikan sama ada memanggil dalam kalangan pemain JDT atau tidak.
Sumber-Sinar Harian online 26 MEI 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan