Sabtu, 30 April 2016

Bencana Kuwait '81 benam Galacticos Malaysia

MACAN MALAYA
30 APRIL 2016
Bencana Kuwait '81 benam Galacticos Malaysia
Bencana Kuwait '81 benam Galacticos Malaysia 
Peter Rajah melepaskan dua gol ketika seri dengan Thailand 2-2.
Bencana Kuwait '81 benam Galacticos Malaysia
KALAU 6 April 1980 sentiasa dikenang sebagai detik emas bola sepak Malaysia sepanjang zaman, bagaimana pula dengan kempen Kelayakan Piala Dunia Kumpulan 3 Asia di Kuwait dari 21 hingga 27 April 1981?.

Dijulang selaku perwira di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur kerana layak ke Sukan Olimpik Moscow, skuad yang hampir sama tiba-tiba dikecam sebagai petualang dalam peristiwa yang digelar ‘Bencana Kuwait 1981’!.

Korea Selatan yang dijinakkan 2-1 dalam Kelayakan Olimpik, membalas dendam manakala Kuwait yang dibenam angka sama ketika Pestabola Merdeka 1980 di ibu kota, membelasah skuad Karl Heinz Weigang ini 4-0 di Stadium Al Qadisiya.

Anehnya, Malaysia ketika itu turut dibanjiri tonggak Kelayakan Olimpik seperti James Wong, Hassan Sani, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Shukor Saleh, Bakri Ibni, Datuk Jamal Nasir Ismail, mendiang Datuk R Arumugam dan Khalid Ali.

Juga kembali memperkasa negara ialah penyerang terbilang, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sekali gus gandingannya dengan James dan Hassan, amat dinanti-nantikan seperti ketika mereka menjuarai Sukan Sea Jakarta 1979.

Anggota lain skuad yang di bawah pengurusan Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud itu termasuk mendiang Peter Rajah, S Pushpanathan, Allahyarham Yahaya Jusoh, Aw Kim Leong, Ahmad Yusoff, Muhidin Hussin, Zulkifli Hamzah dan G Torairaju.

Namun Galacticos Malaysia ini (mirip Real Madrid atau JDT sekarang) yang turut disertai pemain profesional kelab Hong Kong, Chow Chee Keong dan Yip Chee Keong, hanya mampu mengutip satu mata dan menduduki tempat kedua corot kumpulan itu.

Di balik kemalapan bintang-bintang ini, muncul ‘wira tidak didendang’ – Ibrahim Din, pemain Angkatan Tentera yang menyumbat dua gol untuk mengikat Thailand 2-2 dalam perlawanan pelengkap jadual sambil Malaysia mengucapkan Adios Espana 82’! (Sepanyol, tuan rumah Piala Dunia).

Hampir 10 tonggak skuad ini kemudiannya digugurkan atas alasan telah dimamah usia, manakala tugas Weigang (warga Jerman) berpindah kepada anak tempatan, Allahyarham Jalil Che Din, jurulatih skuad negara pada Sukan Olimpik Munich 1972.

Itulah kegagalan Kelayakan Piala Dunia Malaysia yang ketiga selepas di Seoul 1973 dan Singapura 1977, namun sekadar untuk melegakan sedikit luka besar itu ialah hakikat bahawa Kuwait yang dilatih Carlos Alberto Parreira dari Brazil memang bukan calang-calang pasukan.

Di Espana ‘82, juara Piala Asia 1980 itu berjaya mengikat Czechoslovakia 1-1, namun dibenam oleh pemenang tempat keempat Piala Dunia itu, Perancis 4-1 dan hanya kalah tipis 1-0 kepada England dalam aksi Kumpulan 4.

SUMBER-SINAR HARIAN 30 APRIL 2016

Ahad, 24 April 2016

PENJARING TERBANYAK PEMAIN KEBANGSAAN SELEPAS P9 LIGA SUPER


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
DUA GOL
Joseph Kalang Tie       Terengganu   
SATU GOL
Safiq Rahim    Johor Darul Ta'zim    
Shahrul Saad   Perak 
Azrif Nasrulhaq          Selangor        
Hafiz Kamal    Selangor        
Baddrol Bakhtiar  Kedah
Wan Zack Haikal  Kelantan

Jumaat, 22 April 2016

MALAYSIA MEMENANGI PINGAT GANGSA SUKAN ASIA 1962

Kamaruddin Ahmad
Mahat Ambu
Boey Chong Liam
Roslan Buang
Richard Choe
Robert Choe
Edwin Dutton
Foo Fook Choon
Stanley Gabrielle
M. Govindarajoo
Tunku Ismail
Arthur Koh
Sexton Lourdes
Abdul Ghani Minhat
Ibrahim Mydin
Ahmad Nazari
Abdullah Nordin
I. J. Singh

Yee Seng Choy

Pantau rawatan Wan Zack

Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor tiba di tanah air semalam dari Jepun selepas mendapat kebenaran kelabnya FC Ryukyu untuk mendapatkan rawatan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya ketika sesi latihan Selasa lalu.
Perkara itu disahkan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee yang mahu pemain berusia 22 tahun itu menjalani rawatan rapi segera di negara ini untuk mengetahui sejauh mana tahap kecederaan itu.
“Zack (Wan Zack Haikal) sudah sampai di Kuala Lumpur tadi (semalam) dan dia akan menjalani ujian pemeriksaan dengan doktor pakar esok (hari ini) bagi mengetahui lebih lanjut tahap kecederaan dialaminya. Dia kembali ke sini atas permintaannya sendiri dan mendapat kebenaran pihak FC Ryukyu.

“Pada saya lebih baik dia menjalani rawatan di sini kerana memudahkan kami untuk memantau keadaannya dan kita juga mempunyai doktor pakar bagi rawatan pemulihan nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Foto
KIM Swee berpendapat lebih elok Wan Zack terima rawatan di Malaysia.

Kecederaan Wan Zack Haikal memberikan perkhabaran buruk buat skuad kebangsaan yang mengharapkan pemain sayap lincah itu akan dapat beraksi bersama bagi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Shenzen, China 9 Oktober ini sebelum menentang Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober di Stadium Shah Alam.

Mengikut laporan awal, kecederaan ACL itu bakal menyebabkan pemain kelahiran Maran, Pahang itu tidak dapat beraksi dalam tempoh enam hingga sembilan bulan sekali gus menyaksikan peluangnya untuk mewakili skuad bawah 23 tahun negara ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini lebur.

Menurut Kim Swee, Wan Zack Haikal akan menjalani rawatan di Malaysia hingga pulih sepenuhnya dan pengendali itu masih mengharapkan keajaiban agar pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka itu dapat bersama skuad negara ke Myanmar bagi misi mempertahankan pingat emas.

“Dia akan berada di sini hingga betul-betul sembuh. Walaupun dia dibenarkan pulang, gaji dan segala perbelanjaan rawatan ditanggung kelabnya. Kita tunggu dulu laporan doktor dan selepas itu baru kita boleh tahu sama ada dia boleh bermain (Sukan SEA) atau tidak,” katanya.

Wan Zack Haikal menandatangani kontrak dua tahun dengan FC Ryukyu yang juga kelab bahagian tiga Jepun, Mac lalu bersama dengan seorang lagi pemain pertahanan Nazirul Naim Che Hashim yang kini masih kekal bersama kelab itu hingga kontraknya tamat hujung tahun ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Harimau hilang Wan Zack

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Gambar Wan Zack atas kerusi roda yang diperoleh dalam akaun Twitter pemain itu. 
KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Malaya mahupun Harimau Muda menerima tamparan hebat apabila dikejutkan dengan kecederaan bintang muda, Wan Zack Haikal Wan Nor.
Wan Zack mendapat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) semasa menjalani latihan bersama kelabnya, FC Ryukyu di Jepun, semalam yang akan merehatkannya selama sembilan bulan untuk pulih.
Lebih malang, berita sedih itu muncul menjelang kelayakan Piala Asia 2015 dan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada tahun ini.
Perkara yang menimpa pemain kebangsaan itu disahkan sendiri melalui akaun Twitter Wan Zack.
Ketiadaan pemain berusia 22 tahun dari Maran, Pahang itu pasti akan menjejaskan sebahagian besar kekuatan Harimau Malaya dan Harimau Muda.
Pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka 2013 edisi ke-41 itu dilihat seperti sukar menerima hakikat apabila dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya mengenai kecederaan ACL itu sehingga mendorongnya meminta maaf kepada semua peminat.
Orang yang mungkin paling merasai ketiadaan Wan Zack sudah tentu pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, yang telah dihubungi Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu, Sotaro Shinoda tetapi beliau mahu menunggu laporan perubatan secara rasmi sebelum berkata apa-apa.
''Buat masa ini saya tidak boleh mengatakan Wan Zack telah terkeluar daripada perancangan saya untuk ke Sukan SEA 2013 di Myanmar walaupun memang saya akui dia memiliki peluang tipis jika benar dia mendapat kecederaan ACL.
"Bagaimanapun, saya mahu menunggu terlebih dahulu laporan penuh berhubung status kecederaan Wan Zack dari pihak FC Ryukyu dan kita akan umumkan status Wan Zack dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, semalam.
Malah, beliau juga komited untuk membawa pulang Wan Zack ke Malaysia dari Okiniwa, Jepun, namun perlu mengadakan perbincangan mendalam dengan pihak pengurusan Ryukyu.
"Kita tidak boleh sesuka hati membawa Wan Zack pulang ke sini kerana dia adalah pemain yang mempunyai kontrak dengan FC Ryukyu, jadi kita perlu menghormati majikannya, " katanya.
Berita mengenai kecederaan Wan Zack juga mengundang resah kepada jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang berdepan misi penting menentang Bahrain pada 15 Oktober ini di Stadium Shah Alam selain perlawanan persahabatan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Isnin depan di Shenzhen, China.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131002/su_01/Harimau-hilang-Wan-Zack#ixzz2gfQymnJj© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada kejutan dalam senarai 24 pemain

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menyenaraikan 24 pemain untuk menjalani sesi latihan pusat kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015 dan perlawanan persahabatan antarabangsa.
Kenyataan FAM menyebut semua 24 pemain perlu melaporkan diri di Wisma FAM, esok atau akan dikenakan tindakan.
Sesi latihan akan berlangsung pada 1-6 September ini, sebelum pasukan bertolak ke China untuk perlawanan persahabatan, pada 10 September.
Senarai 24 pemain: Khyrill Muhymeen Zambri, Baddrol Bakhtiar (Kedah); Farizal Marlias (Perak); Amri Yahyah, Mahalli Jasuli, Asraruddin Putra Omar, K. Gurusamy, S. Kunalan (Selangor); Nazrin Nawi (Negeri Sembilan); Aidil Zafuan Abdul Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Safiq Rahim (Johor Darul Takzim); Azamuddin Akil, Razman Roslan, Saiful Nizam Miswan (Pahang); Khairul Fahmi Che Mat, Shakir Shaari, Ahmad Fakri Saarani (Kelantan); Hasmizan Kamarodin, Faizal Muhamad (Terengganu); Sani Anuar Kamsani (Sarawak); Fitri Omar (ATM); Helmi Remeli (Selangor PKNS FC).

Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130831/su_03/Tiada-kejutan-dalam-senarai-24-pemain#ixzz2dUi19KYj© Utusan Melayu (M) Bhd

Safiq Rahim tetap positif

SABTU, 26 MAC 2016 @ 3:16 P
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bharian.com.my 
KAPTEN pasukan negara, Safiq Rahim (kiri). - Foto Owee Ah Chun MELAKA: Perancang tengah yang juga kapten pasukan negara, Safiq Rahim tetap positif walaupun pasukan negara tewas di tangan Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, Jumaat lalu.

       Menurutnya, kekalahan berkenaan memberi pengalaman dan menyuntik kematangan permainan terutama berdepan lawan gah di Asia itu. Katanya, berjaya mengekang tuan rumah serta bertindak cemerlang dengan semangat juang tinggi jelas memberi suntikan moral buat pasukan negara untuk berdepan Macau pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Selasa ini.

      Beliau berkata, walaupun ranking pasukan pelawat berada di bawah Harimau Malaysia namun ia tidak harus dipandang mudah kerana kedudukan itu tidak akan selamat jika komitmen tinggi tidak dipersembahkan. "Ranking tidak memberi makna dalam perlawanan ini, jika menganggap lawan bukan pencabar hebat, kerana sesebuah pasukan yang memiliki perbezaan jauh dalam ranking juga boleh mengejutkan mana-mana lawan pada aksi sebenar. "Malah pasukan negara hanya tewas 0-2 kepada Arab Saudi juga tidak menggambarkan kekuatan sebenar berikutan jika diukur standard tentu mereka boleh menang besar ke atas kita terutama jika ranking di ambil kira," katanya selepas sesi latihan ringan pemain negara di Bandar Hilir, sebentar tadi.

        Safiq berkata, dia dan rakan-rakan akan beraksi dengan penuh komitmen dalam memastikan kemenangan pasukan negara pada pertemuan terbabit. "Buat satu ketika kami perlu melupakan play-off kelayakan Piala Asia sambil memberi fokus terhadap saingan berdepan Macau. "Bukan melupakan terus saingan play-off dijadualkan Jun depan itu namun kami mahu tumpuan terarah kepada satu perlawanan demi satu perlawanan terlebih dulu," katanya. Sementara itu, penolong jurulatih negara, Hasan Sazali berkata, dia juga berpuas hati dengan aksi berdepan Arab Saudi walaupun menyedari lawan sebuah pasukan hebat. Katanya, keserasian permainan dapat dilihat dalam perlawanan berkenaan sekali gus dapat menyerap taktikal yang direncana ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.


Sumber : http://www.bharian.com.my/node/137518

Kim Swee sedia rombak serangan

myMetro
Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee bersedia merombak barisan serangannya termasuk memanggil muka baru serta pemain yang sudah lama diketepikan.

Antara pemain yang berada dalam radar ketika ini ialah penyerang Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) Zaquan Adha Abd Radzak, Shafiq Shaharudin, Ahmad Hazwan Bakri dan R Gopinathan (Selangor) serta Amirul Syahmi Asha’ri (Terengganu).

Daripada senarai ini antara yang menarik perhatian ialah Zaquan, 28, yang sudah lama tidak menyarung jersi kebangsaan selepas kali terakhir beraksi ketika seri 1-1 menentang Bangladesh pada 20 November 2012.

“Memang saya memberi penekanan dalam membentuk bahagian serangan lebih mantap, bukan saja untuk aksi menentang Timor Leste dalam perlawanan play-off Piala Asia 2019 (2 dan 7 Jun), malah untuk persediaan pasukan bagi jangka masa panjang.

“Beberapa pemain dalam pemerhatian saya, antaranya Zaquan yang mempamerkan peningkatan selepas lama bergelut dengan kecederaan.

“Saya tidak bimbang jika memanggil semula Zaquan bersama pasukan kerana dia mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa serta tahu komitmen yang dituntut daripadanya,” kata Kim Swee kepada Metro.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:47 AM
ZAQUAN dalam radar Kim Swee.

Sabtu, 16 April 2016

PENJARING TERBANYAK PEMAIN BOLASEPAK MALAYSIA DALAM LIGA SUPER 2016

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
           
DUA GOL
Joseph Kalang Tie       Terengganu    
SATU GOL
Safiq Rahim    Johor Darul Ta'zim     
Shahrul Saad   Perak  
Azrif Nasrulhaq          Selangor         
Hafiz Kamal    Selangor         


Jumaat, 15 April 2016

Hamidin optimis layak Piala Asia 2019, juara Piala AFF

Kuala Lumpur: Ketika prestasi Harimau Malaysia masih tidak menentu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin masih meletakkan kepercayaan penuh kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk layak beraksi di Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menjuarai Piala AFF hujung tahun ini.

Beliau berkata, hajat besar itu hanya boleh dicapai jika pemain kebangsaan mampu memberikan aksi maksimum mereka dalam dua kejohanan berkenaan.


“Pada pandangan saya, pasukan kita jika boleh beraksi di tahap maksimum tidak mustahil boleh menjadi juara Piala AFF. Selain itu, tidak mustahil juga kita boleh layak ke pusingan akhir Piala Asia di UAE.

“Kalau betul ‘ramuannya’ dan semua pihak membantu skuad kebangsaan, saya percaya pasukan ini mampu pergi jauh. Kalau nak layak ke Piala Dunia, tahap pasukan ini belum sampai.

“Tapi sekurang-kurangnya kita sudah buktikan sebelum ini kita hanya kalah dengan Thailand di gelanggang lawan dan menang di sini (Piala AFF 2014).

“Maknanya walaupun Thailand, Vietnam berada di ranking lebih tinggi tapi kita tetap ada kemampuan tersendiri,” kata Hamidin semalam.

Tahun ini, Harimau Malaysia masih belum mempamerkan aksi meyakinkan apabila tumpas 0-2 di tangan Arab Saudi pada pusingan kelayakan serta seri 0-0 dengan pasukan kerdil Macau bulan lalu.

Lebih memeritkan ranking Malaysia awal bulan ini mencatat rekod terburuk apabila merosot ke tangga 174 dunia.

Beberapa langkah sudah dirangka bukan saja untuk memantapkan pasukan kebangsaan malah memperbaiki ranking itu dengan mengatur sekurang-kurangnya 11 perlawanan persahabatan kelas A selepas ini tidak termasuk aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019 dengan Timor Leste pada 2 dan 7 Jun depan.

Antara aksi persahabatan yang sudah disahkan setakat ini adalah menentang Myanmar di Yangon pada 28 Mei, Jelajah Ocenia menentang Papua New Guinea (17 Jun), New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun) serta Singapura (1 September) di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 8:50 AM


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/130627#sthash.q6JMjDBg.dpuf

Sabtu, 9 April 2016

Hidup mati skuad Rajagopal

ARKIB : 01/11/2006
BANGALORE – Perjuangan misi hidup atau mati buat skuad bawah 20 kebangsaan yang mesti menewaskan pasukan pilihan, Arab Saudi dalam saingan kedua Kumpulan D Kejohanan Bola Sepak Piala Belia AFC di Stadium Sree Kanteerava, hari ini.

Kalah kepada Arab Saudi bermakna skuad bimbingan K. Rajagopal bakal pulang awal dan tampil mengharungi perlawanan terakhir berdepan Iraq dalam perlawanan terakhir sekadar melengkapkan jadual yang sudah diatur.

Kekalahan 1-2 kepada Vietnam kelmarin dalam saingan pertama menerbitkan kekecewaan paling menebal sekali gus menyulitkan laluan anak didik Rajagopal untuk layak ke pusingan seterusnya.

Berdepan dengan juara dua kali Arab Saudi hari ini bukan tugas semudah yang dijangkakan buat kesebelasan terbaik bakal diturunkan oleh Rajagopal.

Kekuatan Arab Saudi yang menjadi pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya dalam Kumpulan D sudah terpancar apabila mereka berjaya mengikat Iraq dengan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan terdahulu sebelum pertemuan Malaysia menentang Vietnam.

Tiada apa yang mampu diluahkan oleh Rajagopal selepas kekalahan 1-2 kepada Vietnam dan mengharapkan keajaiban anak didiknya untuk membuat kejutan menewaskan Arab Saudi buat menghidupkan peluang yang semakin pudar.

Kita tewas dalam perlawanan pertama dan untuk melihat ke belakang apa yang terjadi tidak ada gunanya lagi apa yang penting sekarang bagaimana hendak mengalahkan Arab Saudi.

“Saya tahu kita berada dalam situasi paling kritikal di mana kita memerlukan kemenangan pertama untuk layak ke pusingan seterusnya dan saya tidak mahu mengalah dengan peluang kami untuk terus berjuang.

“Persoalan kini bagaimana hendak menyemarakkan semangat pemain dalam perlawanan paling penting.

‘‘Pada masa ini kita perlu melihat kekuatan Arab Saudi dan bagaimana kita mampu untuk mengatasi mereka,’’ ujar Rajagopal.




Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz45K5nIHpU © Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia tumpas dalam aksi pembukaan

ARKIB : 31/10/2006
BANGALORE – Malaysia berdepan laluan perit untuk memburu tempat ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Belia Asia apabila tewas 2-1 kepada Vietnam pada perlawanan pertama Kumpulan D di Stadium Sree Kanteerava di sini, semalam.

Ia adalah kekalahan pertama skuad bawah 20 tahun negara bimbingan jurulatih, K. Rajagopal kepada pasukan itu selepas mereka seri 2-2 dalam Kejohanan Belia AFF di Kuantan, bulan lepas.

Gol jaringan sendiri pemain Malaysia, Baddrol Bakhtiar pada minit kesebelas menjadi titik tolak kekalahan skuad negara.

Baddrol tertanduk masuk bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang satu hantaran lintang pemain Vietnam, Nguyen Tinh Quang.

Sepanjang 45 minit babak pertama selepas itu, Malaysia menguasai permainan dan banyak melakukan percubaan dalam berusaha memburu gol penyamaan.

Skuad negara akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri pada masa kecederaan babak pertama.

Gol berpunca daripada percubaan ke gawang Vietnam oleh Safiq Rahim dari jarak 40 meter tetapi bola sepakan Safiq itu disambung dengan tandukan Mohd. Khyril yang terus menerjah jaring melepasi jangkauan penjaga gol Vietnam, Nguyen Binh Thanh.

Begitupun, Tinh Quang meranapkan impian Malaysia apabila menjaringkan gol kemenangan Vietnam pada minit ke-63 dengan merembat melepasi penjaga gol negara, Abdul Hadi Abdul Hamid.

Kekalahan itu meletakkan Malaysia di tangga terbawah kumpulan selepas satu perlawanan, di bawah Iraq dan Arab Saudi yang masing-masing mengutip satu mata selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam perlawanan terdahulu.

Vietnam di tangga teratas dengan tiga mata.

Malaysia akan bertemu Arab Saudi pada perlawanan kedua esok manakala Iraq menentang Vietnam.

Sementara itu, jaringan gol Mohamed Halkard pada lewat permainan membolehkan juara lima kali, Iraq mengikat Arab Saudi 2-2.

Iraq ketinggalan dua kali dalam perlawanan pembukaan kumpulan itu tetapi bangkit untuk menamatkan perlawanan sengit itu dengan berkongsi mata.

Arab Saudi, juara dua kali kejohanan ini, mendahului menerusi gol jaringan Ahmad Kabee pada minit kesembilan sebelum Ala’a Khahen menyamakan kedudukan untuk Arab Saudi pada minit ke-27.

Mohamed Al Sahlawi kembali meletakkan Arab Saudi di depan pada minit ke-52 tetapi Halkard menyamakan kedudukan lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz45Jtehzw7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 3 April 2016

Indra, Fadzli dalam senarai

ARKIB : 21/01/2006
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA - Sepuluh pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat gangsa acara bola sepak Sukan SEA ke-23 di Filipina, bulan lalu dipanggil semula menjalani latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi New Zealand dalam dua perlawanan persahabatan, bulan depan.

Mereka ialah K. Linggam, Ronny Harun, V. Thirumurugan, Ahmad Azlan Zainal, Mat Saiful Mohammad, Zairo Anur Zalani, Mohd. Fadzli Saari, Azi Shahril Azmi, Rudie Ramli dan R. Surendran yang membarisi skuad Bawah 23 Tahun sebelum ini.

Turut disenaraikan semula ialah tonggak skuad ketiga terbaik Piala Tiger 2005 iaitu Syamsuri Mustaffa, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabudin Hussain, K. Nanthakumar dan Amri Yahyah.

Bagaimanapun ketara tercicir menjelang pertemuan dengan All White di Christchurch dan Albany, Auckland pada 19 dan 23 Februari ialah ketua pasukan Piala Tiger, Rosli Talib.

Tidak disenaraikan juga ialah Shukor Adan, Ahmad Tharmini Saiban dan D. Surendran (Selangor), Liew Kit Kong (MPPJ), Hairuddin Omar dan V. Saravanan (Pahang) serta pemain Perlis, Ivan Yusoff.

Penyerang Selangor, Khalid Jamlus dan Mohd. Nor Ismail dari Perak yang menyerlah dalam Piala Tiger dan Sukan SEA, turut tiada kali ini tetapi agak mengejutkan ialah kembalinya sayap kiri Pahang, Indra Putra Mahyuddin dalam senarai 25 pemain.

Muka baru yang turut dipanggil melapor diri di Wisma FAM mulai Selasa ini ialah penjaga gol, Nasril Nourdin; P. Gunalan, Fazli Baharuddin, Hardi Jaafar, Yazli Yahya, Saramsak Kram dan Mohizam Shah Dawood Shah.

Faizal Rashid, anak bekas penjaga gol kebangsaan, Rashid Hassan juga mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Norizan Bakar dan Safee Sali, penyerang Sarawak yang digugurkan daripada skuad Sukan SEA.

Sesi latihan kali ini yang akan dihimpit jadual padat Liga Super dan Liga Perdana, ditetapkan sehingga 31 Januari dan kesemua pemain diarah melapor diri kepada penolong jurulatih kebangsaan, Nasir Yusof.

Selain New Zealand, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, Malaysia akan menghadapi Singapura dalam dua lagi perlawanan persahabatan secara timbal balik, pada hujung Mei dan awal Jun.

``Kita juga bekerjasama melangsungkan perlawanan antara juara Liga Super, Perlis dengan juara Liga Singapura, Tampines Rovers dan§ juara Piala FA, Selangor menentang juara Piala Singapura, Home United.

Katanya, FAM sedang menimbangkan kemungkinan menghantar skuad Bawah 20 Tahun bimbingan K. Rajagopal ke Piala Singapura jika tidak menjejaskan program persediaan mereka.

Skuad ini yang akan menghadapi pusingan akhir Kejohanan Asia di Kolkata pada 29 Oktober hingga 12 November, telah dirancang untuk menjelajah India, Asia Barat dan Eropah sebagai sebahagian persediaan mereka.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44jAWZcrL © Utusan Melayu (M) Bhd

Indra kena gugur

ARKIB : 31/01/2006
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Penjaring terbanyak Liga Super 2004, Indra Putra Mahayuddin adalah antara tiga pemain digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan yang dalam persiapan rapi mengharungi perlawanan persahabatan menentang New Zealand bulan depan.

Berbanding dua pemain lain yang digugurkan iaitu P. Gunalan (Selangor) dan R. Surendren (Perak) atas pengesahan doktor perubatan mereka ditimpa kecederaan ketika melapor diri pada 24 Januari lalu, tetapi tidak sebaliknya buat Indra Putra.

Pemain Pahang itu tidak langsung datang ke kem latihan untuk memaklumkan kepada penolong jurulatih kebangsaan, Nasir Yusof mengenai masalah peribadinya tetapi cukup sekadar jurulatih skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan memaklumkan mengenai perkara itu.

Sikap acuh tidak acuh Indra memaksa pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menyingkirkan nya daripada turut serta mewakili skuad kebangsaan ke New Zealand pada 19 Februari ini.

Indra pernah digugurkan daripada skuad negara oleh jurulatih terdahulu, Bertalan Bisckei pada awal 2004 dan terlepas peluang beraksi pada kejohanan Piala Tiger penghujung 2004 dan awal 2005.

Buat Nasir Yusof, beliau mengambil keputusan untuk terus mengetepikan Indra Putra bagi panggilan kedua skuad kebangsaan yang akan dikumpulkan semula di Wisma FAM, 12 Februari ini.

``Tanpa Indra saya masih yakin dengan kemampuan pemain baru. Mereka yang dipilih adalah yang terbaik dalam Liga Super dan Liga Perdana tanpa Indra jentera serangan tidak sama sekali pincang,'' ujar Nasir ketika ditemui selepas mengendalikan latihan terakhir skuad kebangsaan di padang Wisma FAM di sini, semalam.

Ditanya sama ada Indra Putra akan dipanggil lagi selepas ini Nasir berkata, perkara tersebut terpulang kepada ketua jurulatih, Norizan Bakar yang akan mengambil alih tugas bulan depan.

``Untuk skuad ke New Zealand, Indra digugurkan terus,'' ujarnya.

Tanpa penyerang Pahang itu, Nasir cukup yakin dengan gandingan baru menerusi Rudie Ramli (Telekom), Mohd. Safee Sali (Sarawak), Saramsak Kram (Kedah) dan Mohizam Shah Dawoo Shah (PKNS).

Ujarnya, walaupun gandingan itu belum benar-benar teruji, kemampuan mereka meledakkan empat gol sewaktu menewaskan Polis 4-0 dalam perlawanan persahabatan, membuktikan jentera serangan baru itu mampu menyerlah.

``Saya cukup yakin empat rangkaian serangan ini jika terus digandingkan mampu memantapkan serangan,'' ujarnya.

Katanya, gandingan ini akan menjadi pertaruhan dalam dua perlawanan persahabatan menentang New Zealand pada 19 Februari ini di Christchurch dan 23 Februari di Auckland.

Menurutnya, keupayaan mereka akan benar-benar teruji apabila menentang New Zealand nanti.

Menurut Nasir, tiada pemain lain akan dipanggil .

Hari ini skuad negara akan menentang Polis dalam perlawanan ujian kedua di padang Wisma FAM.

SUMBE-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz44kYPjwps © Utusan Melayu (M) Bhd

Masih terlalu awal - Nasir

ARKIB : 28/01/2006
Oleh: JOHARI SYAWAL
PETALING JAYA - Penolong jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Nasir Yusof belum mampu memberi sebarang ulasan mengenai barisan pelatih negara, biarpun skuad itu menang 4-0 ke atas Polis dalam aksi persahabatan pertama di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

``Saya tidak boleh katakan apa-apa mengenai pasukan baru ini ketika ini. Ini adalah kali pertama mereka diuji.

``Biarpun kami menang, secara peribadi saya belum boleh mengulas apa-apa. Tunggulah selepas persahabatan-persahabatan lain nanti,'' katanya.

Nasir berkata, apa yang dapat dilihatnya, semua pemain yang diuji dalam perlawanan itu begitu bersemangat dan bermain dengan bersungguh-sungguh.

``Ini kali pertama mereka berhimpun dan tentulah mereka belum ada kesesuaian antara satu sama lain. Tetapi kita akan tengok nanti dalam latihan-latihan berikutnya,'' katanya.

Skuad negara seramai 25 pemain mula menjalani latihan fasa satu sejak Selasa lepas sehingga Selasa ini.

Persahabatan dengan pasukan Liga Perdana, Polis itu adalah sebahagian persiapan pasukan negara yang dibimbing jurulatih, Norizan Bakar untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang New Zealand pada 19 dan 23 Februari ini.

Norizan ketika ini berada di Mekah kerana menunaikan haji dan akan kembali dan mula melatih skuad negara pada 9 Februari.

Nasir juga enggan mengulas mengenai jentera serangan negara yang diujinya terutama penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Safee Sali yang masing-masing menjaringkan satu gol dalam perlawanan semalam.

Pasukan negara mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Amri tetapi kelihatan buntu pada babak kedua.

Tiga gol lagi diperoleh pada enam minit terakhir perlawanan.

 SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz44kUeRae0
© Utusan Melayu (M) Bhd


Dua ujian sebelum ke New Zealand

ARKIB : 26/01/2006
 
NASIR Yusof (kanan) memberikan arahan kepada skuad pelatih bola sepak kebangsaan selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam bagi menghadapi New Zealand, bulan depan. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.

PETALING JAYA - Skuad pelatih bola sepak kebangsaan bakal menggunakan dua perlawanan persahabatan dengan dua pasukan Liga Malaysia untuk membuat saringan awal pemilihan barisan pemain menghadapi New Zealand, bulan depan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Dua perlawanan yang salah satunya menentang pasukan Liga Perdana, Polis di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat ini, turut menjadi kayu pengukur penolong jurulatih, Nasir Yusof selain menilai prestasi semasa mereka sepanjang sesi latihan pusat.

``Kami tengah mencari satu lagi perlawanan persahabatan selepas Polis bersetuju tetapi perlu menanti mana-mana pasukan yang kelapangan masa setelah mereka baru menamatkan persaingan liga, masing-masing,'' katanya.

Menurut beliau, sesi latihan di Wisma FAM, lebih banyak menekankan aspek kecergasan pemain dan memupuk keserasian dan persefahaman gandingan tonggak senior dan muka baru yang dipanggil menjalaninya sejak kelmarin hingga Selasa depan.

Skuad negara yang majoritinya dibentuk daripada 10 pemain Bawah 23 Tahun yang meraih pingat gangsa Sukan SEA Filipina, bulan lalu, akan menghadapi New Zealand di Christchurch dan Albany, Auckland pada 19 dan 23 Februari ini.

Hanya pemain Selangor, Amri Yahyah yang tidak hadir kelmarin kerana menghadapi perlawanan persahabatan dengan skuad Bawah 23 Tahun Singapura, menyertai skuad 19 pelatih kebangsaan semalam yang tetap berlatih dalam hujan lebat hampir setengah jam.

Enam lagi pelatih - Indra Putra Mahyuddin, Fadzli Saari, Norhafiz Zamani Misbah, Azi Shahril Azmi, Saramsak Kram dan P. Gunalan dikecualikan masing-masing kerana masalah peribadi, aksi terakhir Liga Super Pahang-Perlis dan kecederaan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz44kKTbQxb © Utusan Melayu (M) Bhd




Skuad negara tiada pengurus

ARKIB : 25/01/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA - Dua puluh lima pemain sudah dipanggil, jurulatih pun sudah ditetapkan tetapi skuad pelatih bola sepak negara masih kekurangan satu lagi elemen persiapan menjelang menentang New Zealand, bulan depan - seorang pengurus pasukan.

Ketika diajukan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, penyandang jawatannya dikatakan hanya akan dilantik dalam minggu ini tetapi masih tanpa sebarang nama yang dicalonkan lagi.

Beliau turut menolak Datuk Anifah Aman sebagai calonnya kerana naib Presiden FAM itu sudah ditetapkan sebagai pengurus pasukan Bawah 23 Tahun yang bakal menyertai Piala Singapura sebagai pertukaran dengan republik itu beraksi pada Piala FA.

Anifah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), merupakan pengurus pasukan skuad Bawah 23 Tahun yang meraih pingat gangsa Sukan SEA ke-23 di Bacolod City, Filipina, bulan lalu.

``Skuad kebangsaan perlukan pengurus baru dan bukan beliau yang kami maksudkan ketika ini (untuk jawatan tersebut),'' katanya ketika menyaksikan hari pertama sesi latihan pusat skuad negara di Wisma FAM, semalam.

Penolong jurulatih negara, Nasir Yusof mengendalikan sesi berkenaan ekoran ketiadaan ketua jurulatih, Norizan Bakar yang masih berada di Mekah selepas mengerjakan haji dan hanya akan pulang ke tanah air, bulan depan.

Skuad negara yang kali terakhir dibentuk bagi menghadapi Piala Tiger 2004-2005, bakal menentang New Zealand di Christchurch dan Albany, Auckland dalam dua perlawanan persahabatan pada 19 dan 23 Februari ini.

Enam daripada 25 pemain yang dipanggil bagaimanapun tidak menghadiri sesi latihan semalam, masing-masing kerana masalah peribadi, kecederaan, terlibat dengan aksi Liga Super bagi Perlis-Pahang di Kangar dan perlawanan persahabatan.

Mereka ialah Indra Putra Mahyuddin, Fadzli Shaari, Norhafiz Zamani Misbah (Pahang), Azi Shahril Azmi (Perlis), Saramsak Kram (Kedah) dan Amri Yahyah serta P. Gunalan (Selangor).

Indra meminta pengecualian kerana masalah kesihatan isteri, Gunalan tercedera, Fadzli, Norhafiz dan Azi Shahril beraksi malam tadi, Saramsak tiba lewat dan Amri menyertai Selangor menentang skuad Bawah 23 Tahun Singapura.

Senarai pelatih negara

Syamsuri Mustaffa, Faizal Rashid, Nasril Nourdin, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabudin Hussain, P. Gunalan, K. Linggam , Ronny Harun, V. Thirumurugan, Ahmad Azlan Zainal, Mat Saiful Mohammad.

Zairo Anuar Zalani, Indra Putra Mahyuddin, Fadzli Saari, K. Nanthakumar, Fazli Baharuddin, Hardi Jaafar, Azi Shahril Azmi, Yazli Yahya, Rudie Ramli, Safee Sali, Saramsak Kram, Mohizam Shah Dawood Shah, Amri Yahyah, R. Surendran.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz44kHmFdAd © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 1 April 2016

Misi mesti menang – Norizan

ARKIB : 23/01/2007
Oleh AMRAN MULUP
PEMAIN-pemain negara tekun menjalani latihan melakukan set piece menjaringkan gol di Stadium Shah Alam, semalam dengan Hairuddin Omar (kiri) dan Nizaruddin Yusof (dua dari kiri) dilihat menjadi tumpuan untuk membolosi kubu Singapura apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF, hari ini. – Gambar NASIRUDDIN YAZID.

PETALING JAYA – Kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sokongan moral peminat bakal menyuntik kekuatan skuad bola sepak kebangsaan berhajat menewaskan penyandang juara Singapura pada saingan separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Asean di Stadium Shah Alam, malam ini.

Peluang yang terhidang tidak akan disia-siakan malah kesebelasan utama yang bakal diturunkan oleh jurulatih Norizan Bakar (gambar) tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Sebaliknya, mereka mahu memahatkan kemenangan awal untuk dijadikan sebagai bekalan terbaik sebelum berkunjung ke kota Singapura bagi mengharungi saingan separuh akhir kedua Sabtu ini.

Biarpun tampak longlai aksi di peringkat kumpulan di Bangkok sekadar menewaskan Filipina 4-0, seri 0-0 bertemu Myanmar dan tewas 1-0 kepada juara tiga kali Thailand, namun jurulatih Norizan Bakar percaya aksi di separuh akhir bakal membawa kelainan.

Berdepan Singapura yang turun selaku penyandang juara nyata tidak begitu meresahkan Norizan kerana pertemuan kedua-dua pasukan sudah menjadi lumrah hampir setiap tahun.

‘‘Saya menjangkakan pertemuan yang cukup sengit seperti tahun lalu apabila kita seri dalam dua perlawanan dan keadaan ini bakal terjadi lagi malam esok (malam ini).

‘‘Namun kehadiran pemain kebangsaan adalah untuk menang kerana ini adalah peluang terbaik yang tidak sepatutnya mereka sia-siakan, entah bila lagi kita akan dapat peluang macam ini.

‘‘Saya yakin pemain akan dapat memberikan persembahan terbaik tidak seperti aksi sewaktu saingan di peringkat kumpulan,’’ ujar Norizan dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Buat Norizan, beliau mahu mengikut jejak langkah bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan yang membawa skuad kebangsaan mara ke perlawanan akhir edisi pertama kejohanan ini tetapi ditewaskan oleh Thailand 1-0 di Singapura pada 1996.

Sejak itu, penampilan skuad kebangsaan bersilih ganti bertukar jurulatih sekadar menyaksikan kemaraan kita hingga ke separuh akhir pada edisi 2000, 2002 dan 2004.

Dua tahun lalu di bawah jurulatih Bertalan Bisckei kita hampir-hampir mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan Indonesia 2-1 di Jakarta tetapi tewas 4-1 beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Norizan dijangka menurunkan kesebelasan utama yang sama sewaktu menentang Thailand sambil menyaksikan satu pertukaran apabila Fauzi Nan dijangka mengambil alih kekosongan tempat Irwan Fadli Idrus yang digantung satu perlawanan.

Sepanjang tiga hari sesi latihan melihat gandingan pertahanan menerusi Fauzi Nan, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Khaironnisam dan V. Thirumurugan untuk menyekat kelincahan penjaring terbanyak Singapura, Mohd. Noh Alam Shah.

Manakala bahagian tengah masih disandarkan harapan ke atas gandingan Mohd. Hardi Jaafar, Muhammad Shukor Adan, K. Nanthakumar dan Eddy Helmi Manan.

Dua penyerang veteran, Mohd. Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar terus mendapat kepercayaan mengemudi jentera serangan.

‘‘Saya mengharapkan kehadiran penyokong akan dapat menyemarakkan semangat pemain dan kita turun untuk menang.

‘‘Pemain juga sedar tanggungjawab mereka untuk membawa kejayaan dan membuktikan kepada rakyat betapa kita masih ada pasukan yang baik.

‘‘Untuk menyakinkan semula peminat hanyalah kemenangan dapat mengubat segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan sebelum ini,’’ ujarnya.

Buat Norizan mengharapkan tuah dengan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mengukir kemenangan sebagai bekalan terbaik untuk mengharungi Singapura di Stadium Nasional negara itu Sabtu ini.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44bncN0u7 © Utusan Melayu (M) Bhd