Selasa, 16 Januari 2018

Hati-hati Akhyar: Azraai Khor

Selasa, 16 Januari 2018 | 11:22am
 
PEMAIN skuad B-23 negara dan Kedah, Akhyar Rashid (tengah) ketika sesi latihan di Wisma FAM. - Foto Luqman Hakim Zubir
Hati-hati Akhyar: Azraai Khor
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Godaan perempuan, wang dan glamor adalah tiga perkara yang perlu ditangani dengan bijak oleh pemain muda negara, Akhyar Abdul Rashid jika mahu terus cemerlang dalam karier bola sepak.

Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, kegagalan menangani tiga elemen itu kerap menjadi racun kepada pemain muda negara sehingga akhirnya bakat luar biasa mereka tenggelam begitu saja.

Beliau mengingatkan perkara itu ekoran perhatian diterima Akhyar selepas mempamer prestasi cemerlang bersama skuad negara pada Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) yang sedang berlangsung di China.

Menurut Azraai, segala pujian serta sanjungan yang diberi memang selayaknya diterima Akhyar namun beliau bimbang ia boleh melekakan pemain berusia 18 tahun itu sehingga hilang fokus.

"Tidak dinafikan, Akhyar adalah pemain paling menonjol dalam perlawanan menentang Jordan, Sabtu lalu. Dia memang layak menerima pujian.

"Bagi saya, dengan kualiti yang dimiliki sekarang, dia mempunyai prospek untuk pergi lebih jauh tapi bergantung sejauh mana dia mampu menangani cabaran seterusnya. Ini baru permulaan, perjalanannya masih jauh.

"Selepas ini dia bakal berdepan dengan pelbagai godaan. Peminat, terutama perempuan akan mula 'menghimpit' dirinya, tawaran gaji lumayan pasti menjelma dan kehidupan bertukar glamor.

"Tiga faktor ini sering menjadi pemusnah karier pemain muda kita bila mereka mula leka dibuai keseronokan, kemewahan dan kemasyhuran. Akhirnya bakat mereka hanyut dan tenggelam.

"Oleh itu, nasihat saya kepada Akhyar, berhati-hatilah, jangan mudah gelap mata dan tersalah langkah kerana ia amat merugikan," katanya.

Azraai juga mahu pemain muda Kedah itu memasang impian di luar kotak pemikiran kebanyakan pemain Malaysia yang lebih selesa bermain di negara sendiri.

"Saya harap Akhyar tidak akan jadi katak di bawah tempurung kerana jika kekal bermain dalam liga kita, bakatnya akan terbantut dan tidak sampai ke mana.

"Kalau boleh, saya mahu melihat dia beraksi dalam Liga Jepun atau Korea Selatan satu hari nanti. Namun, dia perlu merancang dengan baik serta mempunyai mental yang kuat. Sudah tentu apabila bermain di luar negara, dia akan berdepan pelbagai cabaran seperti corak latihan, persekitaran, budaya, makanan dan iklim. Tapi, untuk berjaya dia perlu menghadapinya," kata Azraai.

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 16 Januari 2018 | 11:22am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan