Sabtu, 6 Januari 2018

Hadi yakin pikat Kim Swee

HADI FAYYADH ABDUL RAZAK (tengah) yakin mampu menarik perhatian
HADI FAYYADH ABDUL RAZAK (tengah) yakin mampu menarik perhatian Ong Kim Swee.
Fadhilul Izmel Ishak

05 Januari 2018 1:54 PM

445
NANJING 5 Jan. - Biarpun mengetahui persaingan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad Bawah 23 (B-23) sengit, namun penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Hadi Fayyadh Abdul Razak percaya dia mampu menarik perhatian Datuk Ong Kim Swee.

Penyerang berusia 18 tahun itu berkata, meskipun diturunkan sebagai pemain gantian ketika pasukan B-23 negara mengadakan tiga perlawanan persahabatan di Mokpo, Korea Selatan, bulan lalu namun berdasarkan prestasi peribadinya, Hadi percaya dia mampu memikat hati jurulatih, Kim Swee.


“Sebelum ini semasa kami bermain tiga perlawanan persahabatan di Korea Selatan saya berjaya mencipta dua gerakan gol dan walaupun tidak menjaringkan gol namun saya percaya prestasi saya di sana pasti diambil kira oleh jurulatih.

“Saya percaya peluang saya untuk diserapkan ke dalam kesebelasan utama pasukan cerah dan walaupun persaingan tinggi daripada rakan sepasukan lain saya tidak fikir itu mampu menggugat keyakinan saya.

“Sudah pasti saya mahu beraksi dan saya yakin peluang saya dalam kesebelasan utama adalah cerah. Saya juga akan berusaha untuk menjaringkan gol serta membantu pasukan bagaimanapun itu semua terpulang kepada jurulatih sama ada mahu menurunkan saya atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya lagi, antara pengalaman berguna yang diperoleh sepanjang berada di bawah kendalian Kim Swee adalah dapat mempelajari bagaimana untuk memainkan peranan sebagai ‘holding striker’ berikutan memiliki susuk tubuh yang tinggi.

Aksi persahabatan menentang Syria B-23 yang dijadual berlangsung di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing pada pukul 4 petang ini bagaimanapun ditunda esok kerana cuaca buruk.

Skuad B-23 akan memulakan kempen Kejuaraan B-23 AFC dengan menentang Iraq pada 10 Januari sebelum menghadapi Jordan pada 13 Januari di Changshu dan Arab Saudi (16 Januari) di Kunshan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kariernya di Johor, Hadi mengakui dia memasang hajat untuk menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) namun bukan dalam masa terdekat kerana mahu memberi tumpuan terhadap pasukannya terlebih dahulu.

“Saya bermula dengan JDT II kemudian pada April lalu saya dinaikkan pangkat untuk menyertai JDT sebelum kembali bersama JDT II pada Julai lalu.

“Sudah menjadi idaman kepada setiap pemain JDT II untuk dinaikkan pangkat menyertai JDT namun saya tidak perlu terburu-buru kerana masih muda dan mahu banyak beraksi bersama JDT II dan memberi saingan terutamanya kepada import,” katanya. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hadi-yakin-pikat-kim-swee-1.585127#ixzz53PU4i9sg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan