Sabtu, 25 Julai 2015

Tampil aksi garang

Kuala Lumpur: Aksi yang pada awalnya dilabel lauk buat Liverpool, sebaliknya bertukar sengit apabila barisan campuran pemain tempatan dan import yang membentuk pasukan Pilihan Malaysia tampil lebih garang buat menghampakan anak buah Brendan Rodgers yang sekadar seri 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Dibantu dengan lima tonggak import yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia, nyata membuahkan hasil walaupun sebelum itu persiapan kem negara menghadapi pelbagai ujian ekoran keengganan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melepaskan tiga pemain mereka selain penarikan diri penyerang import Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Dramane Traore pada saat akhir.

Namun semua masalah itu dapat diatasi barisan pemain negara yang memperagakan aksi menarik hingga membuatkan Rodgers tidak senang duduk sambil Dollah pula puas menyaksikan persembahan memukau pasukannya.

“Saya ucapkan tahniah kepada pemain saya kerana tak menjangka kami dapat main dalam 90 minit biarpun pasukan hanya sempat berlatih untuk empat hari sahaja terutama pemain muda tempatan.

“Apa yang saya lihat banyak peningkatan dan ilmu yang mereka (pemain tempatan) dapat daripada pemain import kita yang mana tonggak tempatan belajar sesuatu daripada pemain luar lebih-lebih lagi Thiago di bahagian belakang yang banyak memimpin rakan lain.

“Secara keseluruhan ini menunjukkan petanda baik kepada pasukan negara dan juga amaran kepada pemain senior lain untuk merebut tempat selepas ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus tamat aksi.

Penyerang tinggi lampai PKNS FC dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh mengejutkan pasukan pelawat apabila berjaya meletakkan Pilihan Malaysia mendahului 1-0 pada minit ke-13, sebelum Jordon Ibe menyamakan kedudukan minit ke-28 menerusi rembatan deras yang sama sekali menewaskan Khairul Azhan Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:05 AM
DISYORKAN

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/66066#sthash.9f3PZavb.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan