24 Julai 2015 12:28 AM
SEBAHAGIAN penyokong Liverpool yang hadir di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam untuk menonton sesi latihan pertama Reds dan Pilihan Malaysia, semalam.
KUALA LUMPUR – Pemain tengah Sarawak, Joseph Kalang Tie melaungkan amaran untuk membantu Pilihan Malaysia membolosi gawang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada, malam ini.
Tegasnya, biarpun berdepan pasukan bertaraf antarabangsa, namun tidak mustahil untuk dia meledak sekurang-kurangnya satu gol.
“Saya mempunyai misi peribadi dalam perlawanan ini kerana saya mahu menjaringkan gol untuk pasukan.
“Saya tahu ia tidak mustahil, namun kita tidak tahu apa yang bakal terjadi.
“Sekiranya saya berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan itu tetapi kami kalah sudah pasti ia tidak memberi sebarang makna. Apa yang penting saya perlu berusaha keras untuk mendapatkan gol demi pasukan,” katanya.
Dalam masa sama, Joseph berkata, 3-6 Malaysia 6-3 ketika menentang Liverpool empat tahun lalu tidak perlu dikenang lagi.
“Saya tahu dulu kita pernah tewas kepada Liverpool, namun bagi saya itu adalah rekod pertemuan sahaja. Kita tidak boleh samakan dengan pertemuan yang pertama kerana kali ini kita dibarisi skuad yang berlainan,” katanya lagi.
Tambah Joseph, dia turut teruja untuk berdepan Liverpool kerana menyedari peluang sebegini bukan selalunya hadir dan mungkin hanya sekali dalam seumur hidup.
“Saya mahu mengambil perlawanan ini sebagai peluang untuk menimba pengalaman beraksi bersama pasukan antarabangsa kerana saya tahu bukan mudah untuk diberi peluang beraksi dalam perlawanan seperti ini.
“Sebagai pemain profesional sudah pasti saya mahu belajar daripada perlawanan ini dan harap dapat mencuri sedikit ilmu daripada pemain Liverpool,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol Pilihan Malaysia, Mohd. Zamir Selamat enggan melakukan kesilapan mudah yang boleh mengakibatkan gawang pasukan dibolosi.
“Sebagai penjaga gol sekiranya gawang kita dibolosi itu adalah perkara biasa cuma saya tidak mahu melakukan kesilapan mudah sehingga memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol.
“Saya tidak tertekan berdepan dengan Liverpool cuma kami perlu mengetahui kekuatan masing-masing bagi menghadapi mereka,” katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kalang-mahu-ledak-gol-8232-zamir-elak-buat-silap-bodoh-1.116209#sthash.smxiIH67.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan