Sabtu, 25 Julai 2015

‘Dollah Salleh sindir FAS’


 Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
DOLLAH menyifatkan aksi menentang Liverpool memberi peluang kepada pemain tempatan berdepan pemain bertaraf dunia.


JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh menyifatkan persatuan negeri mahupun kelab seharusnya memberikan peluang kepada pemain-pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Kelmarin, skuad Pilihan Malaysia berjaya mengejutkan wakil Liga Perdana England, Liverpool apabila berjaya mengikat juara lima kali Eropah tersebut dalam aksi terakhir Jelajah Asia 2015 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Keputusan itu sekali gus membuktikan Dollah yang sebelum ini menerima tamparan selepas tidak mendapat kebenaran daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk memanggil Mohd. Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan Robert Cornwaithe, masih memiliki magis tersendiri dengan menggunakan pemain-pemain sedia ada.

Pada aksi itu, skuad Pilihan Malaysia mendahului perlawanan menerusi bintang Selangor PKNS, Patrick Ronal­dinho Wleh pada minit ke-13 sebelum Jordon Ibe menyamakan kedudukan pada minit ke-28.

Mengulas lanjut, Dollah berharap persatuan negeri mahupun kelab memahami situasinya dalam memilih pemain kerana perlawanan menentang jaguh dunia se­perti Liverpool seharusnya diberikan peluang kepada pemain-pemain tersebut.

“Biarpun saya berdepan masalah beberapa pemain dalam senarai awal tidak dilepaskan pengurusan pasukan negeri atau kelab, sekurang-kurangnya pemain yang saya ada ini berjaya menunjukkan sesuatu pada perlawanan ini.

“Jadi saya harap, pihak pengurusan pasukan perlu faham yang perlawanan seperti ini cukup memberi makna besar buat seseorang pemain dan persatuan sepatutnya sedar kerana ini peluang buat pemain mereka berdepan pasukan kelab luar dengan pemain bertaraf bintang,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.

Kosmo! Ahad sebelum ini melaporkan bahawa FAS menerusi pengurusnya, Amirudin Shari menegaskan bahawa persatuan negeri itu memiliki hak untuk tidak melepaskan tiga pemain tersebut memandangkan skuad Gergasi Merah dalam landasan terbaik untuk memburu kejuaraan Liga Super yang berbaki tujuh perlawanan lagi.

Dalam perkembangan sama, Dollah memuji karakter skuad kendaliannya yang mana bekas pengendali Pahang itu tidak menolak cadangan untuk mengambil pemain-pemain naturalisasi dalam memperkuatkan pasukan kebangsaan.

“Saya nampak pemain-pemain tempatan kita dapat mengikut apa yang lima pemain import kita lakukan di atas padang terutama Thiago Junior yang mengemudi barisan pertahanan dengan cukup baik.

“Saya ingat pemain asing banyak mengajar pemain tempatan, terutamanya Thiago di bahagian pertahanan. Jadi, itulah sebab pemain-pemain import berjaya mengekang asakan lawan dan mereka (pemain import dan tempatan) menunjukkan satu persembahan yang mantap.

“Diharapkan boleh (menggunakan pemain naturalisasi). Sebenarnya, kelemahan kami adalah fizikal sebab itu kita perlukan pemain ­asing. Kita tengok Thiago dan Bikana di bahagian pertahanan yang mana mereka boleh mengekang pemain-pemain dunia,” katanya.


SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3gwlqvDnJ Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan