DOLLAH Salleh (kanan) pada
sidang media perlawanan persahabatan di antara Pilihan Malaysia (PM) menentang
Liverpool FC di Ballroom Saujana Hotel, Subang sambil diperhati Ketua Jurulatih
Liverpool, Brendan Rodgers (kiri). - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih
negara, Dollah Salleh memuji pemain muda dalam skuad Pilihan Malaysia (PM) yang
menampilkan aksi cemerlang untuk mengikat kelab gergasi England, Liverpool, 1-1
dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, di
sini, malam tadi. Mengambil contoh penyerang skuad Harimau Muda B, S.
Kumaahran, jurulatih berusia 51 tahun itu berkata, pemain berkenaan menampilkan
persembahan terbaiknya biarpun diturunkan pada babak kedua perlawanan itu.
Oleh itu, katanya, aksi pemain
itu memberi amaran kepada pemain senior supaya memberikan usaha yang lebih baik
untuk memburu tempat dalam skuad negara bagi menghadapi baki perlawanan
pusingan kelayakan Piala Asia 2009 yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala
Dunia 2018.
"Saya tidak menjangka pemain itu bermain
dengan sungguh baik walaupun diturunkan pada babak kedua perlawanan. "Bagi
saya, semua pemain perlu berjuang untuk menempah tempat dalam skuad
negara," katanya selepas perlawanan itu. Dollah juga bangga dengan
keputusan itu walaupun skuad bimbingannya mempunyai masa yang singkat untuk
melakukan persiapan. Dalam aksi malam tadi itu, skuad bimbingan Dollah tidak
mengecewakan hampir 50,000 penonton apabila mengejutkan Liverpool dengan
membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi penyerang import PKNS FC,
Patrick Ronaldinho Wleh. Wleh menyempurnakan gol pendahulu itu apabila
mengecewakan penjaga gol simpanan skuad The Reds, Adam Bogdan. Tersentak dengan
jaringan itu, Liverpool memperkemaskan semula taktik dengan melakukan serangan
bertali arus sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi
rembatan deras pemain sayap berusia 19 tahun, Jordan Ibe. - BERNAMA
SUMBER:
http://www.bharian.com.my/node/69955
Tiada ulasan:
Catat Ulasan