Sabtu, 25 Julai 2015

Liverpool gagal menyinar di Malaysia

RONALDINHO (depan) menjaringkan gol pertama ketika membantu Pilihan Malaysia mengikat Liverpool 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

HAJAT lebih 50,000 peminat Liverpool untuk menyaksikan skuad The Reds kesayangan mereka mencatat kemenangan tidak kesampaian apabila ia sekadar seri 1-1 pada aksi menentang Pilihan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Keputusan itu disifatkan sebagai penebus maruah buat skuad negara bimbingan Dollah Salleh selepas menyaksikan Harimau Malaya yang dibimbing bekas jurulatih, Datuk K. Rajagobal tewas 3-6 kepada The Reds pada tahun 2011.

Dollah sudah pasti menjadi individu paling gembira kerana mengotakan janjinya mahu mengelak menjadi pasukan belasahan sepanjang kunjungan wakil-wakil Liga Perdana England ke negara ini.

Pilihan Malaysia terlebih dahulu menggegar gawang skuad bimbingan Brendan Rodgers menerusi jaringan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-13.

Bagaimanapun, kegembiraan skuad kebangsaan yang turut dibarisi lima pemain import Liga Malaysia tidak bertahan lama apabila The Reds menyamakan kedudukan menerusi jaringan Jordon Ibe pada minit ke-28.

Sebelum berkunjung ke Malaysia, Liverpool berjaya menewaskan pasukan Pilihan Thailand 4-0, Brisbane Roar (2-1) dan Adelaide United (2-0) sebelum bertemu Pilihan Malaysia pada Jelajah Asia 2015.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0725&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3gsrqblGW Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan