Sabtu, 25 Julai 2015

‘Kami buka mata semua’


Persatuan negeri, kelab patut lepaskan pemain mereka – Dollah
FADHILUL IZMEL ISHAK DAN ROZAIDI ZULKIFLI  |  25 Julai 2015 1:27 AM 
PATRICK RONALDINHO (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika membantu Pilihan Malaysia mengikat Liverpool 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

KUALA LUMPUR - Selepas berdepan pelbagai kesukaran dalam persiapan menghadapi Liverpool, pe­ngendali Pilihan Malaysia, Dollah Salleh percaya kejayaan mengikat gergasi Liga Perdana Inggeris itu 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam membuka mata banyak pihak yang sebelum ini memperlekehkan perlawanan tersebut.
Lebih penting lagi kata Dollah, peluang berkongsi padang bersama pemain bertaraf antarabangsa Reds memberi pengalaman berguna buat semua pemain liga tempatan, terutama pemain Malaysia untuk meningkatkan skil mereka.
“Saya memang tidak sangka kami mampu memberi tentangan sengit kepada Liverpool walaupun hanya diberi tempoh yang sangat singkat untuk mempersiapkan pasukan.
“Apa yang penting daripada perlawanan ini, saya harap ia akan membuka mata pihak pengurusan persatuan bola sepak negeri dan kelab untuk melepaskan pemain mereka dalam perlawanan seperti ini pada masa akan datang.
“Peluang untuk beraksi dan menimba pengalaman bersama pemain antarabangsa tidak selalunya hadir, mereka yang beraksi malam ini telah meraih pengalaman yang sangat berguna,” kata Dollah.
Dollah turut memuji prestasi anak-anak buahnya yang me­nunjukkan semangat juang tinggi, malah terlebih dulu membolosi gawang lawan menerusi jaringan pantas Patrick Ronaldinho pada minit ke-13.
Sementara itu, tonggak pertahanan Pilihan Malaysia, Thiago Junior Aquino gembira kerana menjadi watak utama bagi mematahkan serangan Liverpool.
Pertahanan Perak itu percaya, kebanyakan peminat bola sepak Malaysia tentu menjangkakan skuad bimbingan Dollah akan di­belasah di Bukit Jalil.
Namun, mereka membuktikan perkara itu tidak berlaku, sebaliknya telah memberi satu persembahan terbaik.
“Sudah pasti kami gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh pasukan pada malam ini apabila benteng pertahanan berjaya mematahkan beberapa percubaan berbahaya daripada pasukan pe­lawat.
“Saya tahu dan sedar peminat yang hadir majoritinya menyokong Liverpool dan mereka mahu melihat gawang gol kami dibolosi.
“Bagaimanapun saya gembira kerana tidak membenarkan perkara itu terjadi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih (Dollah) kerana memberi peluang untuk saya beraksi menentang Liverpool yang merupakan antara kelab gergasi di dunia.
“Terima kasih juga kepada rakan-rakan sepasukan kerana memberi kerjasama dengan baik kepada saya,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja tamat perlawanan di sini semalam.
Dalam perlawanan tersebut, Thiago dilihat menjadi watak penting di bahagian pertahanan dengan mematahkan beberapa percubaan berbahaya daripada Reds.
Malah, dia juga dilihat menunjukkan keserasian yang bagus bersama pemain import Terengganu, Vincent Bikana.
“Semua orang tahu Liverpool sedang melakukan jelajah pramusim mereka, tetapi kami tidak hanya menjadikan perlawanan ini sekadar aksi persahabatan.
“Kami menimba pengalaman daripada perlawanan tersebut kerana lawan kita terdiri daripada pemain bertaraf dunia.
“Saya rasa, bagi lagi kelemahan dan permainan kami yang boleh dipertingkatkan dan perlawanan ini sangat membantu,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-kami-buka-mata-semua-8217-1.116686#sthash.JAl4ukuX.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan