WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Julai 2015
Langkah tepat turunkan pemain muda
Mohamad Nasir Basharuddin (kiri) pemain muda negara yang beraksi cemerlang ketika berdepan Liverpool.
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan taktikal Dollah Salleh mengenengahkan pemain muda ketika beraksi menentang Liverpool, malam kelmarin, sebagai tindakan tepat, lapor KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB.
Menurut beliau, seandainya usaha tersebut dapat diteruskan dan mendapat tumpuan sewajarnya, tidak mustahil mutu bola sepak tanah air, termasuk Negeri Sembilan akan melangkah ke era baharu.
“Banyak budak-budak (pemain) kita yang bukan regular masa lawan Liverpool. Tapi, mereka bermain secara bermati-matian.
“Beri peluang kepada anak-anak muda untuk buktikan kebolehan masing-masing di peringkat negeri atau negara pada masa depan. Bakat mereka perlu kita gilap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di rumahnya di Kampung Tanjung, Rantau, Seremban, semalam.
Selain itu, Mohamad berkata, setiap pemain mesti ada semangat yang tinggi untuk mempamerkan aksi terbaik semasa di atas padang.
“Bola sepak bukanlah rumit. Sesiapa pun boleh main. Tapi, kadang kala jadi susah sebab memang tidak mahu main (sungguh-sungguh). Depan gawang yang tidak ada penjaga gol pun, gagal buat jaringan.
“Jadi, semangat ini perlu dibina dalam kalangan pemain muda. Kena tebal macam zaman dulu. Walaupun cuma dibayar RM10, RM20 sekali main pada masa itu, mereka tetap bersemangat,” katanya.
Justeru, beliau berkata, memang sudah tiba masanya skuad Harimau Malaya menampilkan muka baharu untuk mewakili negara.
“Cukuplah. Lebih baik dapatkan pemain baharu. Latih mereka betul-betul dan tanam semangat untuk menaikkan nama negeri dan negara. Itu yang kita perlu buat dari sekarang.
“Tidak usahlah kita cuba memperbaiki labu yang ditebuk tikus. Apa yang rosak, tidak akan elok lagi. Macam beras sudah menjadi antah. Lupakanlah antah itu. Saya tidak menuduh apa-apa, tapi inilah kenyataannya,” katanya.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 26.7.2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan