Khamis, 23 Julai 2015

Kami cuba hiburkan penonton – Razman

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
RAZMAN (kanan) serta rakan sepasukan nekad memberikan aksi terbaik pada perlawanan persahabatan Pilihan Malaysia menentang Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok.

KAPTEN pasukan Pilihan Malaysia, Mohd. Razman Roslan tidak mahu meletakkan harapan tinggi mengenai peluang skuad negara menjelang aksi persahabatan menentang Li­ver­­pool di Stadium Nasional, Bukit Ja­lil, Kuala Lumpur malam esok.

Sebaliknya, bintang Pahang itu berjanji pasukan bimbingan Dollah Salleh akan mempamerkan persembahan terbaik ketika berdepan wakil Liga Perdana England itu.

Jelas bekas pemain Selangor tersebut, dia menyedari bahawa keupayaan Liverpool sememangnya cukup kuat tetapi pada masa sama, Razman percaya rakan-rakan sepasukan telah bersedia untuk menunjukkan satu persembahan menarik nanti.

“Susah untuk saya jangkakan keputusan yang akan berlaku nanti tetapi apa yang pasti, kami akan cuba hiburkan penyokong-penyokong di stadium.

“Saya percaya semua orang mengetahui kehebatan Liverpool tetapi rakan-rakan sepasu­kan juga telah bersedia untuk memberikan aksi terbaik.

“Apa yang pasti, kami akan memanfaatkan dan mahu mem­pelajari sesuatu dalam perlawanan ini,” katanya pada pemberita selepas sidang akhbar Jelajah Liverpool 2015 di Hotel Saujana Subang semalam.

Sebelum ini, Razman pernah meluahkan hasratnya untuk menolak pelawaan Dollah menyertai skuad Pilihan Malaysia ketika sesi lapor diri pelatih-pelatih di Wisma FAM, Kelana Jaya Isnin lalu.

Bagaimanapun, Razman me­ngubah keputusan itu dan kembali menyertai pasukan meskipun rakan sepasukan Tok Gajah, Dickson Nwakaeme tidak dibenarkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang untuk menyertai pasukan Pilihan Malaysia bertemu Liverpool kali ini.

Mengulas mengenai keputusan Dollah melantiknya sebagai kapten, Razman tanpa berselindung mengakui agak terkejut dengan berita tersebut.

Katanya, dia yang tidak merasai sebarang tekanan selepas dilantik sebagai kapten, berazam untuk memberikan prestasi terbaik ketika bertemu pasukan bimbingan Brendan Rodgers.

“Sejujurnya, saya sendiri terkejut sebab saya pernah meminta untuk menarik diri daripada skuad Pilihan Malaysia baru-baru ini.

“Apa pun, saya menghormati keputusan jurulatih dan mengambil tugas itu dengan penuh tanggungjawab,” ujar­nya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3ghdwIdCm Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan