Sabtu, 31 Disember 2016

Titus wakil tunggal Asia berlatih dengan Le Harve

ARKIB : 14/06/2000
BINTANG bola sepak remaja negara, Titus James menjadi wakil tunggal Asia yang meneruskan latihan dengan kelab Perancis, Le Harve pada Mei lalu, bersama rakan dari Cameroon, Madagascar dan Senegal bagi peringkat umur.

Titus, 13, pernah menjadi bintang iklan Coca-Cola untuk televisyen tempatan bagi memeriahkan pusingan akhir Piala Dunia di Perancis, dua tahun lalu.

Dengan sokongan kewangan daripada penaja, Coca-Cola Far East Limited, Titus berjaya kembali menyambung latihan bersama kelab terkemuka Perancis itu.

Pengurus hal ehwal luar Coca-Cola Far East, Mohd. Kadri Taib berkata, sokongan syarikat itu terhadap Titus adalah sebahagian komitmen bagi membantu matlamat menaikkan taraf permainan bola sepak di negara ini.

''Kami bangga dapat memainkan peranan dengan mengesan bakat Titus yang muncul antara pemain cemerlang dari kalangan 80 kanak-kanak mewakili 22 negara para perlawanan pra-Piala Dunia 1998,'' kata Kadri.

Bakat luar biasa Titus juga mencuri perhatian pencari bakat baru, Francis Herbert yang kini memikul tanggungjawab dalam kemajuan latihan pemain remaja negara itu.

''Dengan sokongan Coca-Cola, kami yakin Titus akan mencapai cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak terkenal satu ketika nanti, selain menjadi contoh kepada remaja lain di Malaysia,'' tambah Kadri.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4UTyps2p2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 Disember 2016

ANUGERAH BOLA SEPAK KEBANGSAAN 2016

Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016:

Anugerah Laman Web Terbaik
Johor Darul Ta'zim

Anugerah Media Sosial Terbaik
Johor Darul Ta'zim

Anugerah Khas Piala Belia 2016
Sekolah Sukan Bukit Jalil

Anugerah Khas Piala Presiden 2016
Kelantan

Anugerah Komuniti
Subadron Aziz Academy & Kindness Malaysia

Anugerah Khas Selamat Datang
PKNP & MISC-MIFA

Anugerah Pemain Wanita Terbaik
Dandree Rofinus (MISC-MIFA)

Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2016
Fazrul Hazli (Perak)

Anugerah Penjaring Terbanyak Import Liga Super 2016
Jorge Pereyra Diaz (JDT)

Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan 100PLUS Liga Premier 2016
Abdul Malik Mat Ariff (Kuantan FA)

Anugerah Penjaring Terbanyak Import 100PLUS Liga Premier 2016
Illija Spasojevic (Melaka United)

Anugerah Fair Play 2016
Negeri Sembilan

Anugerah Pemain Muda Harapan 2016
Safawi Rasid (T-Team)

Pasukan Bolasepak Terbaik 2016
Johor Darul Ta'zim

Penyokong Terbaik 2016
Johor Darul Ta'zim & Melaka United

Penghormatan Khas
Ah Wa (Penyokong tegar bolasepak Perak)
MOHD. FAIZ SUBRI
Penghargaan Khas
Faiz Subri (Anugerah FIFA Puskas 2016)

Anugerah Pemain Paling Popular Best XI (Undian Peminat)
Liridon Krasniqi (Kedah)

Anugerah Kasut Emas 2016
Illija Spasojevic (Melaka United)

Pemain Import Terbaik
Jorge Pereyra Diaz (JDT)

Penjaga Gol Terbaik 2016
Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pertahanan Terbaik 2016
Rizal Ghazali (Kedah)

Pemain Tengah Terbaik 2016
Safiq Rahim (JDT)

Pemain Penyerang Terbaik 2016
Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

Jurulatih Terbaik 2016
Tan Cheng Hoe (Kedah)

Pemain Paling Bernilai 2016
Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

Anugerah Best XI Pilihan Peminat
Izham Tarmizi, Marcos Antonio, Aidil Zafuan, Fazly Mazlan, Rizal Ghazali, Safiq Rahim, Liridon Krasniqi, Andik Vermansah, Amirul Hisyam, Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz

Sumber-http://www.ligamalaysia.net/

Ahad, 25 Disember 2016

TMJ serah kepada KJ

 
Tunku Ismail serah pemacu pena kepada Khairy. FOTO Johor Southern Tigers

BERNAMA
Kuala Lumpur: Pemacu pena yang didakwa mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berada di tangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sebelum ini menyimpan pemacu pena itu, menyerahkannya kepada Khairy ketika menerima kunjungan menteri tersebut di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor dalam entri terkini dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, berkata beliau memutuskan untuk menyerahkan pemacu pena itu kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM.


Menurutnya FAM bukan masalahnya, sekaligus mahu menumpukan perhatian kepada kelab kecilnya, JDT.

Selain itu, dalam pertemuan dengan Khairy, antara topik yang dibincangkan mereka adalah berkaitan program pembangunan belia dan berkongsi pendapat mengenai isu semasa terutama melibatkan sukan bola sepak.

Tunku Ismail sebelum ini pernah mendedahkan memiliki pemacu pena yang di dalamnya terkandung aktiviti dalaman FAM termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau berkata pemacu pena itu diperoleh menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 4:45 PM

Masih ada slot

 
KIM Swee mahu pemain pamer aksi cemerlang demi maruah negara.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mempertahankan pemilihan 24 pemain biarpun ada pihak mempersoalkan ketiadaan beberapa pemain yang sepatutnya turut mendapat tempat dalam skuadnya.

Kim Swee memanggil 13 muka baru untuk menghadiri kem latihan pusat bermula Isnin ini bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Solo pada 6 September, namun senarai pemain itu seperti belum lengkap.


Dalam kalangan pemerhati bola sepak dan peminat tempatan, pemain seperti Muhammad Hadin Azman dari FELDA United, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri dan Kenny Pallraj Davaragi (Perak) antara yang wajar diberikan peluang kerana prestasi semasa mereka.

“Hadin dan Fazrul memang ada dalam perancangan asal saya, tapi saya juga ada memanggil dua lagi pemain baru di posisi sayap iaitu Fakrul Aiman Sidid (PDRM) dan Safawi Rasid (T-Team) jadi saya tidak boleh memanggil empat pemain baru serentak.

“Pemain seperti Kenny Pallraj, saya tak nafikan dia mempamerkan peningkatan bersama Perak, tapi untuk posisi pertahanan tengah saya sudah memiliki pemain lain seperti Ronny Harun, Shahrul Saad dan Fadhli Shas. Mungkin belum masa untuk memanggilnya.

“Kami hanya mempunyai satu perlawanan persahabatan dengan kemungkinan sukar untuk saya menurunkan ramai pemain baru dalam perlawanan itu. Jika mereka terus konsisten, mungkin selepas ini dalam persediaan perlawanan menentang Singapura dan Afghanistan mereka boleh dipanggil dan diberi peluang,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Susulan persaraan empat tonggak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) membabitkan kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal serta beberapa pemain dilanda kecederaan, Kim Swee hanya mengekalkan 11 pemain daripada skuad ke Jelajah Oceania pada Jun lalu.

Kemunculan buat kali pertama kapten Harimau Muda A Irfan Fazail serta Nazirul Naim Che Hashim, Shahrul Saad, Amer Saidin dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang dipanggil semula, melengkapkan senarai sembilan bekas pemain Kim Swee.

‘Mereka ini bermain baik bersama pasukan masing-masing di peringkat domestik dan juga mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa apabila Sukan SEA, kelayakan Olimpik, perlawanan persahabatan antarabangsa bersama Harimau Muda sebelum ini.

“Biarpun mereka ini dianggap pelapis kepada pemain senior, tapi tiada tiket automatik untuk mereka berada dalam skuad negara. Jika tiada kesungguhan ketika latihan dan prestasi pula tidak baik, saya tetap akan gugurkan mereka,” tegas Kim Swee yang menggalas misi besar untuk mengharungi cabaran Piala AFF pada November.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:15 AM


Sabtu, 24 Disember 2016

Tiada hala tuju

 
SADEK

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Selagi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tak selesaikan masalah kepimpinan mereka, selagi itu bola sepak negara tak ada hala tuju,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam Mohd Sadek Mustaffa.

Beliau berkata, untuk bergerak ke depan, badan induk bola sepak tanah air itu perlu meletakkan pelan dalam tempoh tertentu untuk mencapai kejayaan sama ada di pentas Asia, Olimpik mahupun Piala Dunia.


“Mungkin mereka ada pelan jangka masa panjang tapi disebabkan isu letak jawatan Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah), perkara itu terpaksa ditangguhkan. Apa yang FAM lakukan ketika ini hanya menguruskan kerja harian mereka.

“Untuk kita melancarkan sesuatu pelan, ia memerlukan dana dan tanpa presiden, bagaimana ia akan dilakukan. Sukar untuk mencari penaja apatah lagi dengan FAM dihimpit dengan kes dakwaan penyalahgunaan kuasa.

“Penyokong sekarang pun sudah jemu dengan isu sama dengan latihan tak cukup sebab tak ada perancangan,” kata Sadek kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini melaporkan mengenai pandangan bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh yang mahu FAM turut memandang serius mengenai kelayakan Olimpik selepas 36 tahun Malaysia gagal beraksi di temasya sukan itu.

Beliau berkata, semua pihak khususnya FAM perlu memasang impian besar dan bukan sekadar hanya memberi perhatian kepada persiapan kejohanan di Asia Tenggara saja.

Menurut Sadek, FAM memerlukan ahli jawatankuasa pengurusan baharu yang lebih proaktif, dinamik serta klinikal dalam melihat perancangan empat hingga 12 tahun akan datang.

“Banyak cadangan yang disuarakan tapi bergantung kepada ahli Exco (FAM) yang terdiri daripada ahli politik. Mereka ini tidak serius dan ini yang membantutkan perkembangan bola sepak negara.

“Seharusnya kita sudah menyediakan program mantap untuk mendapat keputusan baik di Sukan Asia, Piala Asia, kemudian Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Kalau kita sudah sampai tahap Sukan Olimpik, kita sudah boleh layak ke Piala Dunia,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:49 AM

Kata dua Kim Swee

 
HAMIDIN (belakang dua kiri), Kim Swee (berdiri kiri) bergambar bersama sebahagian pasukan Dugong All Stars pada sidang media perlawanan amal Hari Malaysia 2016.

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my 
Petaling Jaya: “Jika Presiden baharu (FAM) mahu saya kekal, saya akan kekal, jika tak mahu saya akan pergi,” kata pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mengenai kemungkinan kedudukannya bakal terjejas jika berlakunya perubahan pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tahun depan.

Menurut pengendali berusia 46 tahun itu, beliau tidak mahu masalah pentadbiran FAM mengganggu tugasnya mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala AFF di Yangon, Myanmar dua bulan lagi.


“Saya ada tugas, saya tak perlu fikir siapa yang akan menjadi presiden. Apa yang penting untuk memberi tumpuan kepada Piala AFF. Itu lebih penting daripada isu lain,” tegas Kim Swee kepada pemberita selepas majlis pelancaran perlawanan amal Hari Malaysia dan pengumuman logo baharu Harimau Malaysia semalam.

Kim Swee, bekas jurulatih Harimau Muda A menandatangani kontrak dua tahun awal tahun ini bagi mengambil alih tugas Dollah Salleh yang meletakkan jawatan susulan kekalahan memalukan skuad kebangsaan 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada September tahun lalu.

Bagaimanapun kedudukannya menjadi tanda tanya apabila Exco FAM bulan lalu membuat keputusan untuk mempercepatkan Kongres Pemilihan bagi memilih presiden dan barisan Exco baharu yang sepatutnya diadakan pada 2018.

Lebih mengejutkan apabila pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan di laman media sosial Facebook Johor Southern Tigers kelmarin mendakwa Kim Swee dan jurula
tih Skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt tidak akan memegang jawatan mereka lagi tahun depan.

Malah Tunku Ismail juga mengakui mengetahui pengganti jurulatih berkenaan dan juga presiden baharu FAM bagaimanapun dalam tinjauan Arena Metro semalam, entri berkenaan sudah dikeluarkan dari Facebook rasmi kelab itu.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Tunku Ismail itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, apa saja keputusan mengenai pengurusan FAM bergantung kepada barisan Exco yang baharu nanti.

“Saya tak pasti, mungkin itu pandangan Tunku Mahkota Johor sendiri, saya tak pasti apa maksud beliau. Kerana apa yang saya katakan pemilihan akan diadakan secepat mungkin pada tahun depan, pemilihan itu akan memilih presiden dan barisan Exco seperti pemilihan sebelum ini.

“Terpulang kepada barisan baharu akan datang untuk tentukan (kedudukan Kim Swee dan Bernhardt),” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:26 AM

Jafri janji lebih berbisa

 
SKUAD B-22 negara berlatih ketika hujan di padang MSN.

Kuala Lumpur: Penyerang skuad Projek Sukan SEA 2017, Jafri Firdaus Chew mengakui bersedia untuk tampil lebih ‘tajam’ apabila berdepan barisan Bawah-22 (B-22) Bahrain buat kali kedua di Stadium UiTM Shah Alam, petang ini.

Selepas gagal membantu skuad kendalian Frank Bernhardt mencapai kemenangan pada aksi pertama di Stadium Shah Alam Selasa lalu, penyerang Pulau Pinang itu berjanji untuk memastikan namanya terpahat selaku penjaring.

“Aksi sebelum ini kami beraksi baik dengan banyak peluang terhidang namun gagal menterjemahkan kepada jaringan.


“Kecewa memang ada tapi saya tekad untuk menebus kesilapan itu dalam aksi kedua bertemu mereka esok (hari ini) dan berharap jurulatih dapat menurunkan saya.

“Dalam latihan dua hari ini, Alhamdulillah saya berjaya baiki kelemahan dan berharap ada jaringan gol dapat dilakukan. Namun sekiranya rakan lain lebih berpeluang untuk menjaringkan gol, sudah pasti saya akan membantu asalkan kami meraih kemenangan,” kata kepada Arena Metro, semalam.

Pada aksi persahabatan antarabangsa pertama sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan biarpun jelas pasukan muda negara menguasai hampir keseluruhan tempoh perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:34 AM