Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Luqman Hakim (kiri) ketika menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan.
Kuala Lumpur: Perkembangan positif bintang muda bola sepak negara di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin nyata menggembirakan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang percaya penyerang lincah itu bakal menjadi aset berharga buat pasukan negara selepas ini.
Menurut Cheng Hoe, beliau sentiasa memantau dan mengikuti rapat prestasi semasa ayam tambatan KV Kortrijk (KVK) itu yang dilihat kini kerap diturunkan dalam perlawanan pramusim.
Katanya, walaupun ia hanya bersifat aksi persiapan menjelang pembukaan Liga Belgium hujung bulan ini, namun beliau menganggap pendedahan yang diberikan itu akan mampu mematangkan lagi permainan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu."Inilah pentingnya untuk Luqman mendapatkan lagi minit permainan bersama kelabnya. Jika kerap diturunkan sama ada sebagai pemain gantian ataupun utama, Luqman akan meraih pengalaman berguna untuk dirinya.
"Dia seorang pemain yang berusaha keras dan ada keistimewaan, saya yakin dia akan jadi lebih baik dari semasa ke semasa dan itu beri kebaikan bukan saja untuk dirinya, tetapi juga pasukan kebangsaan apabila ada tugasan antarabangsa," katanya kepada Arena Metro.
Luqman, 19, yang mula menyertai KVK pada Ogos tahun lalu dengan kontrak panjang selama lima tahun, semakin menunjukkan peningkatan apabila berjaya membawa impak setiap kali diturunkan.
Terbaharu, dalam beberapa aksi persahabatan sejak awal bulan ini, kemasukan Luqman sebagai tonggak gantian berjaya mengubah keputusan perlawanan termasuk ketika KVK menewaskan kelab terkemuka Belgium, Club Brugee 1-0, pada 4 Julai lalu.
Biarpun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada lima minit terakhir babak kedua, kelincahannya dilihat berjaya mengucar kacirkan benteng pertahanan lawan yang gagal mengekang kepantasannya.
Malah sebelum itu, dia juga beraksi cemerlang membantu KVK menewaskan KRC Harelbeke 5-0 dan pengendali kelab, Luka Elsner dilihat mula menaruh kepercayaan kepadanya.
"Kalau dia terus konsisten dan tunjukkan sikap positif dalam perlawanan mahupun pada luar latihan, tak mustahil jurulatih kelab dia akan beri peluang kepada Luqman untuk bermain apabila liga di sana bermula nanti," tambah Cheng Hoe.
KVK akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang kelab gergasi Perancis, Lille yang juga juara bertahan Ligue 1 selepas mengenepikan kelab kaya, Paris Saint Germain pada musim lalu dengan perlawanan ujian itu pada hujung minggu ini.
Luqman dan rakan sepasukan dijadual memulakan kempen musim ini dengan menentang RFC Seraing pada 25 Julai ini.Disiarkan pada: Julai 12, 2021 @ 8:38pm.1
_____________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/729836/perkembangan-luqman-gembirakan-cheng-hoe
Tiada ulasan:
Catat Ulasan