Rabu, 30 September 2020

Tindakan Selangor berunding dengan Sumareh tak salah

Oleh Zulfaizan Mansor - September 24, 2020 @ 12:29pm

zulfaizan@bh.com.my



MOHAMADOU Sumareh.

KUALA LUMPUR: Tindakan Selangor berunding dengan Mohamadou Sumareh dianggap tidak menjadi kesalahan sekiranya pemain itu benar-benar sudah menamatkan kontrak bersama Pahang.

Ketua Pegawai Operasi Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar berkata, bukan sahaja Selangor, malah mana-mana pasukan juga boleh berunding dengan Sumareh jika dia sudah sah berstatus ejen bebas.

Beliau turut menjelaskan mana-mana pasukan juga sebenarnya tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika mahu berunding dengan pemain yang mereka mahu ambil.

"Paling penting pembatalan kontrak Sumareh itu perlu kukuh (sah) dan mendapat pengesahan dari FAM dan bila kata kontrak dibatalkan, pemain boleh berunding dengan mana-mana pasukan tanpa halangan. Cuma pasukan baru tidak boleh mendaftarkan pemain itu kerana liga masih berlangsung serta bukan dalam jendela perpindahan pemain.

"Bila (Sumareh) sudah hantar surat (pembatalan kontrak), dia tak perlu pergi latihan. Maksudnya klausa 8.7 sudah diaktifkan, kecuali jika dia ubah fikiran dan tarik balik surat pembatalan kontrak.

"Sekiranya seseorang pemain sudah sah menjadi ejen bebas, jadi pasukan yang ingin mendapatkannya juga tidak perlu berunding dengan pasukan lama pemain itu," kata Faidauz yang juga ejen pemain yang berdaftar dengan FAM, semalam.

Berdasarkan kenyataan FAM, pada 4 Ogos lalu, Sumareh menghantar surat pembatalan kontraknya kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengikut Klausa 8.7 yang menyatakan pemain boleh membatalkan kontrak jika pasukannya tidak membayar gaji lebih dari satu kali.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon juga dilaporkan berkata pihaknya tidak melakukan tindakan 'tapping up' atau rundingan pintu belakang dalam usaha mendapatkan Sumareh.

Kontroversi antara Selangor dan Sumareh muncul selepas pemilik kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan perbincangan antara FAS dan pemain Harimau Malaya itu.

Pendedahan itu sekali gus membawa Selangor dalam episod 'cerita kontroversi Sumareh' selepas sebelum ini JDT dikaitkan sebagai pasukan yang akan disertai pemain Gambia itu. -SUKAN BH ONLINE SUMBER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan