BMalaysia 2010
ARKIB : 01/01/2010
B-23 tambah yakin
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
|
KUALA LUMPUR – Kemenangan besar 4-1 skuad bola sepak negara ke atas Syria, yang menduduki ranking jauh lebih baik berbanding Malaysia, adalah satu yang bukan mustahil.
Ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, walaupun pada awalnya beliau sendiri agak terkejut dengan jumlah jaringan yang mampu dihasilkan pada perlawanan persahabatan kelmarin, namun itulah hakikat dalam dunia bola sepak.
‘‘Inilah bola sepak. Kadang kala keputusan seperti ini memang boleh berlaku. Memang kita tidak menjangka mampu menang besar, tetapi inilah hakikatnya,’’ katanya.
Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Syria berada pada kedudukan ke-91 dunia dan ke-12 di Asia.
Ia jauh lebih baik berbanding skuad bola sepak Malaysia yang menduduki ranking ke-160 dunia dan ke-33 di peringkat Asia.
Namun, di atas padang lain pula yang berlaku apabila skuad Rajagobal mendominasi perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Tanpa diduga, skuad emas Sukan SEA XXV Laos ternyata bukan tandingan Syria apabila menang menerusi dua penalti oleh Shafiq Rahim di kedua-dua babak ditambah jaringan Zaquan Adha Abdul Razak pada minit ke-77 dan K. Gurusamy pada minit ke-90.
Pasukan lawan memperoleh jaringan sagu hati juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-63.
Walaupun apa pun penilaian peminat terhadap kekuatan sebenar lawan Malaysia kelmarin, Rajagobal tetap menganggap ia kemenangan yang diperlukan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.
‘‘Kemenangan ini memberikan pemain keyakinan kepada pemain untuk berdepan UAE pada perlawanan Piala Asia nanti.
‘‘Saya memang mengharapkan prestasi skuad ini konsisten.
‘‘Kita menang ke atas Syria kerana berjaya menghasilkan gerakan-gerakan yang bagus.
‘‘Saya bangga kerana para pemain meneruskan persembahan menyakinkan setelah berjaya membawa pulang pingat emas Sukan SEA XXV.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan