September 25, 2020 @ 6:14pm
AFF harap Piala AFF berlangsung dalam format penuh.
KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) mengumumkan Piala AFF 2020 akan diadakan pada 11 April hingga 8 Mei tahun depan.
Kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada November hingga Disember tahun ini terpaksa ditunda susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
"Kami gembira dengan sokongan positif daripada ahli gabungan untuk kami mendapatkan jendela yang sesuai tahun depan bagi melangsungkan kejohanan yang paling dinantikan," kata Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth dalam kenyataan, hari ini.
"Walaupun kita sedia maklum bahawa perjuangan melawan wabak global belum berakhir, kita optimis Piala AFF 2020 akan berlangsung dalam format penuh dan kami berharap dapat memberikan yang terbaik dari kejohanan tahun depan.
"AFF juga berharap pengumuman tarikh bagi kejohanan 2021 akan memberikan beberapa kecerahan mengenai perancangan buat rakan penganjur termasuk penaja dan media penyiaran, ketika masa yang tidak menentu.
"AFF dan ahli gabungan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat, pemain, jurulatih, pegawai, media dan rakan kongsi kami atas sokongan serta komitmen mereka sepanjang tempoh yang mencabar ini," tambah kenyataan itu.
Keputusan terbaru itu dibuat bagi memastikan kejohanan itu diteruskan dengan format penuh - dimainkan di tempat sendiri dan di gelanggang lawan - dengan prosedur berkaitan COVID-19.SUMBER-BH ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan