Jumaat, 18 September 2020

Beri peluang anak tempatan galas tanggungjawab

 



Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

KETUA jurulatih pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, Sulaiman Hussin menyifatkan Datuk Ong Kim Swee sebagai individu paling layak mengisi jawatan pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, selain berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan, beliau yang kini menjawat jawatan Ketua Unit Pembangunan Belia FAM, juga mempunyai karektor dan gaya kepemimpinan.

"Secara peribadi, saya menyifatkan Kim Swee adalah calon paling layak menjawat jawatan pengarah teknikal FAM.

"Menerusi pengalaman luas beliau dalam bidang kejurulatihan dan arena bola sepak tempatan, saya yakin dan percaya Kim Swee mampu membantu menaikkan mutu bola sepak negara.

"Malah, beliau juga berupaya mencurahkan kepakaran dan pengalamannya kepada jurulatih bola sepak tempatan sekali gus dapat membantu mereka meningkatkan lagi keupayaan dalam bidang kejurulatihan," katanya.

Sulaiman berkata, badan induk bola sepak negara itu harus memberi peluang kepada anak tempatan mengisi jawatan berkenaan daripada penyandangnya, Peter de Roo.

Menurutnya, Kim Swee juga bukan baharu dalam arena bola sepak negara kerana pernah membimbing skuad kebangsaan dan skuad B-23.

"Saya pernah bersama beliau (Kim Swee) dalam kursus kejurulatihan sebelum ini dan saya dapat lihat serta rasakan, sememangnya beliau mempunyai ketokohan sebagai pemimpin dan sesuai untuk menjawat jawatan berkenaan," katanya.

Kontrak De Roo sebagai pengarah teknikal berakhir hujung tahun ini selepas pengendali berasal dari Belanda itu membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya selepas mula dilantik pada 2017.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 7:25 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan