PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan menumpaskan Australia 3-0 dalam aksi keempat Kumpulan B, Kejuaraan AFF B-18 di Ho Chi Minh, Vietnam semalam. - Gambar Ihsan NFDP
14 Ogos 2019 7:00 AM
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Lukman Hakim Shamsudin percaya, biarpun berdepan lawan sehebat Australia, namun yakin terhadap kekuatan sendiri adalah kunci kejayaan Malaysia melakar kemenangan 3-0 dalam Kejuaraan AFF Bawah 18 (B-18) di Vietnam malam tadi.
Luqman yang kini diintai kelab divisyen satu Liga Jepun (Liga J1), Cerezo Osaka meledak dua gol dalam aksi di Stadium Thanh Long, Ho Chi Minh manakala satu lagi jaringan disempurnakan oleh Muhammad Azam Azmi.
"Syukur Alhamdulillah kerana doa ibu bapa, para jurulatih dan semua rakyat Malaysia telah memberikan kejayaan kepada kami pada hari ini. Saya akan cuba lebih baik dalam perlawanan seterusnya.
"Saya dan pasukan ada kekuatan sendiri meskipun berdepan Australia. Tak kisahlah mereka kuat mana, kami tetap bermain dengan semangat tinggi" kata Lukman yang dipetik dalam Facebook Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia (NFDP).
Kemenangan ke atas juara empat kali itu meletakkan skuad bimbingan Brad Maloney pada landasan terbaik untuk menamatkan Kumpulan B selaku dua pasukan teratas, sekali gus mara ke separuh akhir.
Turun sebagai juara bertahan, Malaysia akan menentang juara lima kali, Thailand dalam aksi terakhir esok untuk mengesahkan tiket ke peringkat empat terbaik.
Kejayaan Thailand mengikat Vietnam 0-0 malam tadi membolehkan pasukan negara kini mengungguli Kumpulan B dengan sembilan mata, berkongsi mata bersama Australia tetapi dipisahkan oleh perbezaan jaringan.
Sementara itu, Maloney memuji disiplin tinggi pemain negara yang mengikuti semua arahannya sejak awal permainan.
“Selepas mengkaji permainan Australia, kita tahu macam mana mereka bermain dan telah kenal pasti segala kelemahan serta kekuatan mereka.
“Hari ini, pemain beraksi mengikut strategi yang dirancang. Mereka memberi tekanan sejak awal permainan dan bermain seperti ketika latihan.
“Pujian harus diberi kepada pemain kerana mengikut arahan dengan baik,” kata Maloney kepada ASEAN Football semalam.
Malaysia sebelum ini memulakan kempen dengan tewas 0-1 kepada Vietnam, sebelum bangkit mengalahkan Singapura 3-1, diikuti Kemboja 3-0. – SUMBER-UTUSAN ONLINE 14 Ogos 2019 7:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan