PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan
menumpaskan Australia 3-0 dalam aksi keempat Kumpulan B, Kejuaraan AFF B-18 di
Ho Chi Minh, Vietnam baru-baru ini.- Gambar Ihsan NFDP
15 Ogos 2019 6:48 PM
KUALA LUMPUR 15 Ogos- Malaysia
menarik nafas lega apabila mara ke separuh akhir Kejuaraan AFF Bawah 18 tahun
(B-18) meskipun tumpas 0-1 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B di Ho
Chi Minh, sebentar tadi.
Anak-anak buah Brad Maloney harus
berterima kasih kepada Kemboja yang mengejutkan tuan rumah 2-1 untuk
membolehkan mereka mengiringi Australia ke peringkat empat terbaik selaku naib
juara kumpulan.
Dua hari selepas menumpaskan
Australia 3-0, keletihan jelas terpancar di wajah pemain negara apabila gagal
memperagakan aksi tersusun dan sering diasak pada babak pertama.
Pemain tengah negara, Firdaus
Kaironnisam hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-34 namun rembatan dalam
kotak penalti berjaya dihalang penjaga gol Thailand, Thirawooth Srunson.
Thailand yang lebih banyak
mencipta peluang menjaringkan gol, hampir di depan pada minit terakhir babak
pertama namun tampanan terlalu kuat Thana Isor yang hanya berdepan gawang
kosong menyaksikan bola melepasi palang gol negara, sekali gus memberi kelegaan
kepada kem negara.
Tiga minit babak kedua
bersambung, hantaran lintang penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin yang
ditampan pertahanan lawan sekadar menggegar palang gol.
Usaha juara lima kali, Thailand
untuk membolosi gawang Malaysia akhirnya berhasil pada minit ke-69 selepas
pemain gantian, Sitthinan Rungrueang memanfaatkan kesilapan penjaga gol negara,
Firdaus Iman Mohd. Fadhil.
Firdaus cuba mengelecek bola
namun gagal, dan situasi itu dimanfaatkan oleh Sitthinan yang mudah menolak
bola ke dalam gawang.
Pasukan negara yang turun sebagai
juara bertahan kini akan menentang juara Kumpulan A, Indonesia dalam separuh
akhir, Sabtu ini manakala Australia bertemu Myanmar. – SUMBER-UTUSAN ONLINE 15
Ogos 2019 6:48 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan