Jumaat, 30 Ogos 2019

Cheng Hoe pening


SUKAN»Bola
Khamis, 29 Ogos 2019 | 3:03pm
 
Cheng Hoe pening
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Mata untuk ranking Persekutuan Bolasepak Malaysia (FIFA) atau mencari kombinasi terbaik menentang Indonesia?

Itu dua perkara yang berlegar dalam fikiran pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelang aksi persahabatan menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Keputusan positif ke atas Jordan bakal menawarkan mata untuk Malaysia ‘memanjat’ tangga ranking, namun eksperimen masih perlu dilakukan untuk mencari kombinasi terbaik memandangkan Indonesia sedang menunggu mereka di Jakarta untuk aksi pertama Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, 5 September ini.

Namun, kedua-dua perkara itu jelas menjadi buruan Cheng Hoe untuk aksi itu di mana kemenangan tetap menjadi sasaran, selain cuba mendapatkan gandingan terbaik untuk berdepan Indonesia nanti.

“Perlawanan menentang Jordan adalah perlawanan ujian buat semua pemain dan mereka sedar tahap pasukan lawan yang akan kita hadapi malam esok.

“Perlawanan ini memberikan mata untuk ranking, jadi sudah tentu kita mahukan keputusan memberangsangkan dan kita masih mencari kombinasi yang terbaik di mana kita juga belum pasti untuk kesebelasan utama. Senarai 23 pemain akan diumumkan selepas aksi malam esok.

“Saya mahu pemain meningkatkan intensiti permainan dan tampil dengan persembahan lebih kemas serta turun dengan keyakinan yang tinggi,” katanya pada sidang media praperlawanan di Bukit Jalil, sebentar tadi.

Mengulas lanjut aksi bertemu pasukan di ranking ke-99 itu, Cheng Hoe jelas bersedia dengan sebarang kemungkinan ketika pasukan lawan dijangka  menurunkan barisan kedua sebagai persiapan mereka untuk bertemu Taiwan, minggu hadapan.

“Setakat ini, saya tahu mereka sudah mengumpulkan ramai pemain mereka untuk aksi malam esok. Sebagai jurulatih, kita perlu sentiasa fokus sama ada kita bertemu barisan utama ataupun barisan kedua.

“Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, ini adalah peluang terbaik buat kita kerana corak permainan Jordan lebih kurang sama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“UAE sememangnya berada pada tahap yang lebih tinggi tetapi kita tidak boleh memandang rendah Jordan kerana mereka juga antara pasukan terbaik di Timur Tengah,” katanya.

KETUA jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe pada sidang media perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil jumaat ini. NSTP/Owee Ah Chun.  
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 29 Ogos 2019 | 3:03pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan