Selasa, 24 Januari 2017

Laluan getir nanti Malaysia

Diundi dalam kumpulan maut bersama Korea Utara, Lebanon
ROZAIDI ZULKIFLI  |  24 Januari 2017 12:13 AM

PEMAIN negara berdepan laluan penuh ranjau untuk mencari tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2019 yang akan diadakan di UAE.

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Laluan getir menanti Harimau Malaysia untuk merebut peluang terakhir ke Piala Asia 2019 apabila diundi dalam kumpulan maut bersama Korea Utara, Hong Kong dan Lebanon dalam undian yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.
Ketiga-tiga pasukan yang ber­ada dalam Kumpulan B bersama skuad Malaysia, memiliki ranking dunia lebih baik berbanding pa­sukan negara yang kini menghuni ranking 161, manakala Korea Utara (125), Hong Kong (140) dan Lebanon (148).
Ketua Jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata, persaingan menjadi cukup mencabar untuk pasukan negara namun beliau percaya dengan perancangan rapi, Malaysia mampu melakar kejutan.

Tambahnya, kelebihan beraksi di laman sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin iaitu dengan me­raih mata penuh dan berharap tidak akan menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh persiapan pasukan nanti.
“Kumpulan yang cukup mencabar terutamanya kita tahu Korea Utara dan Lebanon, bagi saya mereka merupakan pasukan pilihan dan tidak lupa juga Hong Kong yang kebelakangan ini telah me­nunjukkan peningkatan.
“Saya juga percaya bukan laluan mudah (untuk la­yak) namun kita perlu me­nyiapkan diri dan memastikan segala perancangan untuk perlawanan tersebut dan perlawanan persahabatan dapat kita lalui tanpa sebarang kekangan.
“Untuk layak ke peringkat seterusnya sudah tentu kita perlu konsisten dan harus mendapatkan mata penuh, terutamanya bermain di tempat sendiri namun itu bukan jalan yang mudah dan jika kita mempunyai perancangan yang rapi, pasti kita mampu lakar sedikit kejutan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Skuad kebangsaan bakal mengharungi ­ujian pertama dalam saingan kumpulan B menentang Korea Utara di tempat lawan pada 28 Mac nanti, yang mana kempen kelayakan itu berformat liga berkumpulan timbal balik yang bermula 28 Mac nanti hingga 27 Mac 2018.
Sekiranya mahu menempah tiket ke pusingan akhir, skuad negara perlu menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan dua terbaik sama ada menjadi juara kumpulan atau naib juara bagi mengisi dua belas slot yang ditawarkan.
Dua belas slot pusingan akhir Piala Asia 2019 juga di Abu Dhabi sudah pun ditempah oleh tuan rumah selain juara bertahan, Australia, China, Iraq, Iran, Jepun, Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi, Syria, Thailand dan Uzbekistan yang turut akan terus bertarung bagi tiket pusingan akhir Piala Dunia Rusia 2018.
Kelayakan ini juga menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) kedua buat Kim Swee selepas Harimau Malaysia terkandas seawal pu­singan Kumpulan B Piala AFF di Yangon, November lalu akibat kekalahan kepada Myanmar dan Vietnam 1-0.
Satu lagi KPI yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi jurulatih kelahiran Melaka berusia 47 tahun ini ialah mencapai ranking ke-140 dunia.
Sementara itu, Kumpulan A menyaksikan Kyrgyzstan, India, Myanmar dan Macau; Kumpulan C (Jordan, Vietnam, Afghanistan, Kemboja); Kumpulan D (Oman, Palestin, Maldives, Bhutan); Kumpulan E (Bahrain, Turkmenistan, Taiwan, Singapura) dan Kumpulan F dibarisi oleh Filipina, Tajikistan, Yemen serta Nepal

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/laluan-getir-nanti-malaysia-1.435402#sthash.EpAQztyU.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan