Ahad, 29 Januari 2017

FAM terima peletakan jawatan Paul Mony -- Dell dilantik setiausaha FAM

ARKIB : 26/06/2000
SAC II, Datuk Dell Akbar Khan dipilih untuk mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan peletakan jawatan oleh Datuk Paul Mony Samuel.

Jawatankuasa Eksekutif FAM yang bermesyuarat di Kuala Lumpur semalam menerima peletakan jawatan Paul.

Selepas 21 tahun menyandang jawatan itu, Paul akhirnya menyerahkan surat peletakan semalam selepas bersetuju menerima jawatan Penyelaras Projek Gol Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi rantau Asia.

Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah berkata, walaupun melepaskan Paul merupakan satu keputusan yang sukar, namun 12 anggota majlis terpaksa akur selepas mendengar penjelasannya.

Peletakan Paul berkuatkuasa pada hujung bulan ini, dan beliau dijadualkan memulakan tugas baru bersama FIFA pada Ogos depan.

''Majlis FAM menerima surat peletakan beliau pagi ini,'' kata Sultan Ahmad Shah selepas mempengerusikan mesyuarat exco FAM yang berlangsung hampir tiga jam di Kuala Lumpur, semalam.

''Walaupun berat untuk kami melepaskan beliau, namun majlis bersetuju untuk menerimanya selepas mengkaji aspek kepentingan bola sepak,'' katanya lagi.

Katanya, meskipun ketiadaan Paul adalah kehilangan besar buat badan bola sepak kebangsaan itu, tetapi pelantikannya sebagai pegawai penting FIFA merupakan satu pengiktirafan buat bola sepak Malaysia keseluruhannya.

Dengan pemilihan Dell sebagai setiausaha, penolong setiausaha agung sekarang Yap Nyim Keong, akan meneruskan tugasnya seperti biasa.

''Saya berhasrat melantik Dell untuk mengambil alih tugas Paul... tugas setiausaha ini dilantik oleh presiden seperti yang termaktub di bawah perlembagaan 406 FAM,'' katanya.

Dell, yang merupakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya kini menjawat jawatan pengerusi jawatankuasa disiplin FAM.

Paul ketika ditemui berkata, walaupun berat baginya untuk meninggalkan FAM, namun keputusan itu perlu dibuat demi masa depan kariernya.

''Inilah peluang untuk saya menentukan masa depan saya. Hasrat tersebut sebenarnya sudah lama terpendam, dan saya tidak mahu dianggap hendak menguasai FAM.

''Saya sedar bahawa seseorang itu tidak boleh terlalu lama memegang sesuatu jawatan (dalam sesebuah organisasi) dan masanya telah tiba untuk saya mengundur diri.

''Pemergian saya nanti membolehkan perubahan dilakukan dalam struktur FAM, di mana muka baru akan mengambil alih tempat saya,'' kata Paul lagi.

Mengulas mengenai jawatan barunya, Paul berkaya: ''Ia lebih memberi jaminan kerana saya tidak terikat secara kontrak.

''Jawatan itu adalah satu pelantikan dan karier saya akan berakhir sekiranya FIFA menolak saya ataupun projek ini dimansuhkan.''

Projek gol FIFA dilancarkan dua tahun lalu, selepas Blatter mengambil alih jawatan presiden.

Selain Kuala Lumpur, projek pusat projek berkenaan di Asia adalah di Dubai (Qatar) dan Colombo (Sri Lanka).

Antara fokus utama projek tersebut adalah bantuan dari segi pentadbiran persatuan kebangsaan, latihan kejurulatihan, pengadilan, perubatan dan pembangunan infrastruktur.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4XDGFlc9G © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan