Khamis, 26 Januari 2017

Kim Swee harap magis

KIM SWEE (kiri) tuntut aksi konsisten anak buah.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee tetap menaruh harapan anak buahnya dapat melakukan kejutan bagi melepasi halangan peringkat Kumpulan B pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 bermula Mac depan.
Beliau mengakui bukan tugas mudah untuk melakukannya selepas menyaksikan Malaysia diundi dalam satu kumpulan bersama Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong.

“Kumpulan B cukup mencabar terutama kita tahu yang Korea Utara dan Lubnan memang pasukan pilihan. Hong Kong juga kebelakangan ini menunjukkan peningkatan jadi laluan kita bukan mudah.
“Kita perlu mempersiapkan pasukan dan memastikan segala perancangan untuk perlawanan sebenar serta aksi persahabatan tanpa sebarang kekangan,” katanya.
Di antara empat pasukan itu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menduduki ranking FIFA paling rendah 161, berbanding Korea Utara (125), Hong Kong (140) dan Lubnan (148).
Susulan Korea Utara tampak sukar digugat, Harimau Malaysia yang layak beraksi di pusingan ketiga kelayakan selepas mengalahkan Timor Leste menerusi agregat 6-0 pada play-off Jun tahun lalu perlu bersaing merebut satu lagi slot bersama Lubnan dan Hong Kong untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Kita perlu konsisten, cuba dapatkan mata penuh di tempat sendiri tapi dengan persediaan rapi kita mungkin boleh melakukan sedikit kejutan.
“Kita perlu membuat persiapan awal untuk menghadapi perlawanan pertama dengan Korea Utara di tempat lawan (28 Mac). Belum pasti kita akan mengadakan aksi persahabatan dengan Bahrain di Manama pada 22 Mac ini kerana faktor masa dan jarak sebelum berdepan Korea Utara,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 10:22 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan