Ahad, 29 Januari 2017

Kita bergaya belasah Macau

ARKIB : 27/06/2000
MALAYSIA memulakan kempen Kejohanan Bola Sepak Asia Bawah 19 Tahun dengan bergaya apabila menumpaskan Macau 10-0 pada perlawanan pembukaan di Stadium Shah Alam, semalam.

Ketiadaan bintang utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang tidak diturunkan kerana masalah berkenaan taraf kelayakannya, memberi peluang kepada dua penyerang utama, Rudie Ramli dan Azralan Azmi menonjolkan kehebatan, menjadi penyumbang gol terbanyak pasukan negara dengan masing-masing mengambil peluang atas kelemahan pertahanan lawan untuk mencipta jaringan hatrik.

Pemain dari Selangor, Rudie memulakan pesta gol Malaysia dengan jaringan sulung kejohanan ke-32 ini pada minit keempat sebelum dua gol lagi menyusul pada minit ke-10 dan 31.

Azralan pula menyusul dengan gol pada minit ke-18, 57 dan 61. Tiga gol lagi dihasilkan oleh Indra Putra Mahayuddin, Muhammad Juzaili Samion dan Mohamad Fadzli Shaari masing-masing pada minit ke-62, 64 dan 90.

Skuad negara nyata terlalu kuat untuk disaingi oleh para pemain Macau yang kurang cergas dan kemahiran individu, menyaksikan penjaga gol Malaysia, Mohd. Syamsuri Mustafa langsung tidak diuji.

Malah, anak buah Allan Harris sepatutnya menang dengan jumlah gol lebih besar, tetapi sikap terlalu yakin menyaksikan banyak percubaan mereka ke arah gol dilakukan secara sambil lewa sehingga melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.

''Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan kita, kita menang 10-0 dan ia adalah permulaan yang cukup baik.

''Walaupun pemain banyak membuat kesilapan, tetapi saya masih gembira dengan persembahan mereka,'' kata Harris selepas perlawanan.

Mengenai nasib malang Akmal yang tidak dapat diturunkan, jurulatih dari England itu berkata, beliau amat kesal kerana pemain yang berbakat sepertinya dan telah berusaha keras menjalani latihan tidak dapat bermain.

''Saya fikir apabila kita ada seorang pemain yang bagus, kenapa pula dia tidak dapat diturunkan. Akmal masih di bawah umur dan dia cukup berbakat dan sudah berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk kejohanan ini,'' kata beliau.

Akmal tidak dapat diturunkan kerana pemain itu pernah beraksi dalam kejohanan bawah 23 tahun dan mengikut kebiasaan, pemain yang pernah beraksi pada kejohanan bertaraf lebih tinggi tidak dibenarkan oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) menyertai pertandingan lebih rendah.

Keputusan mengenai Akmal diterima oleh Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas mesyuarat pengurus-pengurus pasukan kelmarin.

Harris bagaimanapun tidak mahu pasukannya terganggu dengan masalah itu dan menurutnya mereka akan bersedia untuk perlawanan kedua, menentang Singapura esok.

A. JAILANI ABDULLAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4XDJPdhSb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan