Diundi dalam kumpulan maut
bersama Korea Utara, Lebanon
ROZAIDI ZULKIFLI | 24
Januari 2017 12:13 AM
PEMAIN negara berdepan laluan
penuh ranjau untuk mencari tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2019 yang akan
diadakan di UAE.
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Laluan
getir menanti Harimau Malaysia untuk merebut peluang terakhir ke Piala Asia
2019 apabila diundi dalam kumpulan maut bersama Korea Utara, Hong Kong dan
Lebanon dalam undian yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE),
hari ini.
Ketiga-tiga pasukan yang
berada dalam Kumpulan B bersama skuad Malaysia, memiliki ranking dunia lebih
baik berbanding pasukan negara yang kini menghuni ranking 161, manakala Korea
Utara (125), Hong Kong (140) dan Lebanon (148).
Ketua Jurulatih Malaysia, Datuk
Ong Kim Swee berkata, persaingan menjadi cukup mencabar untuk pasukan negara
namun beliau percaya dengan perancangan rapi, Malaysia mampu melakar kejutan.
Tambahnya, kelebihan beraksi di
laman sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin iaitu dengan meraih mata penuh
dan berharap tidak akan menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh persiapan
pasukan nanti.
“Kumpulan yang cukup mencabar
terutamanya kita tahu Korea Utara dan Lebanon, bagi saya mereka merupakan
pasukan pilihan dan tidak lupa juga Hong Kong yang kebelakangan ini telah
menunjukkan peningkatan.
“Saya juga percaya bukan laluan
mudah (untuk layak) namun kita perlu menyiapkan diri dan memastikan segala
perancangan untuk perlawanan tersebut dan perlawanan persahabatan dapat kita
lalui tanpa sebarang kekangan.
“Untuk layak ke peringkat
seterusnya sudah tentu kita perlu konsisten dan harus mendapatkan mata penuh,
terutamanya bermain di tempat sendiri namun itu bukan jalan yang mudah dan jika
kita mempunyai perancangan yang rapi, pasti kita mampu lakar sedikit kejutan,”
katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Skuad kebangsaan bakal
mengharungi ujian pertama dalam saingan kumpulan B menentang Korea Utara di
tempat lawan pada 28 Mac nanti, yang mana kempen kelayakan itu berformat liga
berkumpulan timbal balik yang bermula 28 Mac nanti hingga 27 Mac 2018.
Sekiranya mahu menempah tiket
ke pusingan akhir, skuad negara perlu menamatkan peringkat kumpulan di
kedudukan dua terbaik sama ada menjadi juara kumpulan atau naib juara bagi
mengisi dua belas slot yang ditawarkan.
Dua belas slot pusingan akhir
Piala Asia 2019 juga di Abu Dhabi sudah pun ditempah oleh tuan rumah selain
juara bertahan, Australia, China, Iraq, Iran, Jepun, Korea Selatan, Qatar, Arab
Saudi, Syria, Thailand dan Uzbekistan yang turut akan terus bertarung bagi
tiket pusingan akhir Piala Dunia Rusia 2018.
Kelayakan ini juga menjadi
petunjuk prestasi utama (KPI) kedua buat Kim Swee selepas Harimau Malaysia
terkandas seawal pusingan Kumpulan B Piala AFF di Yangon, November lalu akibat
kekalahan kepada Myanmar dan Vietnam 1-0.
Satu lagi KPI yang ditetapkan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi jurulatih kelahiran Melaka berusia 47
tahun ini ialah mencapai ranking ke-140 dunia.
Sementara itu, Kumpulan A
menyaksikan Kyrgyzstan, India, Myanmar dan Macau; Kumpulan C (Jordan, Vietnam,
Afghanistan, Kemboja); Kumpulan D (Oman, Palestin, Maldives, Bhutan); Kumpulan
E (Bahrain, Turkmenistan, Taiwan, Singapura) dan Kumpulan F dibarisi oleh
Filipina, Tajikistan, Yemen serta Nepal
SUMBER- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/laluan-getir-nanti-malaysia-1.435402#sthash.EpAQztyU.dpuf