Isnin, 4 Ogos 2014

Tajikistan ujian sulung Dollah

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
JURULATIH, Dollah Salleh (empat, kanan) memberi kata-kata semangat kepada para pemain sebelum memulakan sesi latihan pertama beliau bersama pasukan bola sepak kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam. - BERNAMA
PETALING JAYA - Tugasan penuh ranjau berduri bakal menanti Dollah Salleh, pada tugasan sulung selaku jurulatih baharu Harimau Malaya bagi berdepan Tajikistan 8 Ogos ini dengan tempoh persiapan selama tujuh hari bagi menentang pasukan berkenaan yang kini berada di ranking 126 dunia.

Tidak ditambah dengan tempoh perjalanan yang memenatkan pada 4 Ogos sehingga terpaksa dua kali transit di China dan Kazakhstan sebelum tiba di Dushanbe, Tajikistan pada 5 Ogos, Dollah hanya mempunyai beberapa sesi sahaja dalam mengenal pasti kekuatan serta kelemahan setiap pemain.

Hakikat itu tidak dapat dinafikan oleh Dollah yang mengakui masa begitu singkat bagi menguji kombinasi terbaik pasukan, namun mahu menganggap itu sebagai satu cabaran dan tidak mahu cepat mengeluh atau memberi alasan.

"Kalau diikutkan, saya cuma ada lima hari sahaja bagi melatih semua pemain ini bersama, namun saya tidak mahu terlalu memperkatakan perkara berkenaan, saya akan cuba dapatkan yang terbaik daripada pasukan ini.

"Memang sedikit sukar kerana dalam masa terdekat, skuad ini akan terus berlawan dengan pasukan yang ternyata lebih baik daripada kita...memang saya risau tetapi bukan sesuatu yang mustahil untuk membuat kejutan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.

Bertambah membimbangkan Dollah, lawan yang akan ditemui Harimau Malaya yang dibimbing Mukhsin Mukhamadiev merupakan sebuah pasukan yang mempunyai ciri-ciri berlandaskan benua Eropah yang mengutamakan kekuatan fizikal.

Tidak pernah mempunyai sebarang sejarah pertemuan dengan pasukan negara, Tajikistan boleh diibaratkan seperti sebuah skuad misteri dan asing di kaca mata Dollah.

"Terus-terang saya tidak tahu mengenai Tajikistan, walaupun mereka semua pasukan dari Asia Tengah, mereka lebih terarah seperti sebuah pasukan yang mempunyai gaya Eropah.

"Ranking mereka juga begitu baik dan jauh meninggalkan kita, jadi memang saya akan lihat pertemuan ini sebagai sesuatu yang bukan mudah buat saya, " katanya.

Sebanyak 22 pemain melaporkan diri pada sesi latihan semalam, kecuali Bunyamin Umar yang dilaporkan mengalami kecederaan lutut dan tempatnya bakal digantikan oleh pemain Sarawak, Ronny Harun.

"Fisioterapi telah memeriksa tahap kecederaan Bunyamin dan memang disahkan dia tidak sempat pulih, jadi kami telah memaklumkan Ronny Harun untuk melaporkan diri pada hari esok (hari ini).

"Ronny akan menyertai 23 pemain lain ke Tajikistan, tiada senarai pemain yang akan digugurkan kerana saya mahu memberi peluang kepada semua pemain membuktikan kemampuan masing-masing," katanya.

Mengenai calon ketua pasukan, Dollah berkata, dia akan membuat keputusan sama ada mengekalkan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak atau membuat perubahan dalam masa beberapa hari lagi.

"Belum ada sebarang gambaran jelas di dalam kepala saya siapa yang akan memegang lilitan kapten, ada kemungkinan kekal atau ada kemungkinan berubah (calon ketua pasukan), malahan kesebelasan utama pun saya tidak tahu lagi, semuanya masih terlalu awal," katanya.
SUMBER-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140802/su_03/Tajikistan-ujian-sulung-Dollah#ixzz39BZ1TAsM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan