Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Jordan, Syria,
Vietnam dan Indonesia sudah sah akan menguji Harimau Malaya dalam siri aksi
persahabatan namun Dollah Salleh merasakan empat perlawanan itu jauh daripada
mencukupi dalam perancangannya memantapkan pasukan.
Sehubungan itu Dollah berharap
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar mendapatkan lagi beberapa perlawanan
untuk Harimau Malaya mengasah taring dan kuku mereka sebelum Kejohanan AFF
bermula 23 November depan.
Katanya, skuadnya memerlukan
sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan pada September walaupun turut
berdepan dengan dilema kerana Sukan Asia 2014 di Incheon bulan depan akan
menyebabkan dia kehilangan beberapa pemain.
Tugas mendapatkan lagi
perlawanan persahabatan itu dilihat cukup penting kepada Dollah yang berkata,
dia tiada pilihan lain kerana hanya memiliki masa tiga bulan untuk memastikan
anak-anak buahnya dapat menyerap corak latihan serta taktikalnya.
"Kalau diikutkan, mana
cukup lagi aksi persahabatan yang saya mahukan walaupun saya sudah dapat empat
perlawanan setakat ini iaitu Jordan, Syria, Vietnam dan Indonesia. Saya masih
memerlukan lagi perlawanan supaya pemain betul-betul dapat serasi dengan corak
taktikal yang saya mahu bawa.
"Sebagai contoh pada bulan
September, saya mahukan sekurang-kurangnya tiga perlawanan namun sekarang saya
baharu dapat satu iaitu berdepan Indonesia pada 14 September.
"Itupun mereka pada
mulanya mahukan perlawanan pada 9 September tetapi terpaksa ditolak kerana kami
hanya ada beberapa hari untuk mengadakan latihan pusat kerana semua pemain akan
mula berkumpul pada 4 September.
"Selain itu, saya kena
tengok juga Sukan Asia yang akan diadakan pada 19 September dan sudah tentu
saya akan kehilangan beberapa pemain dengan Mohd. Fadhli Shas memang pasti akan
berada dalam pasukan selain tiga pemain senior lain. Ini akan menyebabkan
perancangan saya serba sedikit terjejas namun saya tiada pilihan.
"Saya dan pihak pengurusan
akan terus bekerja keras lagi mendapatkan beberapa lagi perlawanan persahabatan
sebelum Piala AFF bermula terutama pada bulan September," katanya ketika
dihubungi semalam.
Selepas berjumpa Indonesia pada
14 September, Harimau Malaya dijadualkan akan berdepan Jordan pada 11 Oktober
diikuti Syria (11 November) dan Vietnam (16 November).
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin kelmarin mengesahkan perlawanan
dengan New Zealand yang dijadualkan pada 18 November telah dibatalkan.
Menyentuh kegagalan mengadakan
aksi persahabatan dengan New Zealand yang menduduki ranking 98 dunia, Dollah
berkata, dia tidak berasa terlalu kecewa namun keputusan itu terpaksa diambil
demi kepentingan Harimau Malaya yang akan memulakan kempen dalam Kejohanan AFF
lima hari kemudian.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140819/su_02/4-perlawanan-tak-cukup-lagi#ixzz3Ap6opUid
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan