PETALING JAYA: Pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak kekal menerajui skuad Harimau Malaya sebagai ketua pasukan menjelang perlawanan persahabatan menentang Tajikistan pada Jumaat ini.
Jurulatih kebangsaan Dollah Salleh berkata, pemilihan Aidil Zafuan adalah berdasarkan pengalaman dan prestasi konsisten yang dipamerkan pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu, di samping keserasian beliau dengan anggota pasukan lain.
"Selepas perbincangan dengan penolong jurulatih dan beberapa yang lain, kita sebulat suara mengekalkan Aidil sebagai ketua pasukan dan Amri (Amri Yahyah) sebagai penolong ketua pasukan.
"Ia adalah berdasarkan pengalaman, karakter Aidil dalam padang yang boleh mengarahkan pemain dengan baik. Dari segi prestasi, saya agak selesa dengan cara Aidil bermain," katanya ketika ditemui di Wisma FAM di sini, hari ini.
AIDIL Zafuan (kanan) bersama Penolong Kapten Mohd Amri Yahyah. FOTO Osman Adnan
Aidil Zafuan, 27, mengambil alih tugas ketua pasukan daripada Safiq Rahim sepanjang tahun ini ketika skuad Harimau Malaya di bawah kendalian sementara Datuk Ong Kim Swee.
Skuad Harimau Malaya berlepas ke Dushanbe, Tajikistan hari ini untuk menentang skuad dari Asia Tengah itu pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dollah yang mengakui masih 'belum cukup puas' dengan tahap kecergasan pemain, berkata ia bukan alasan untuk pasukan kebangsaan tidak mencipta sesuatu pada perlawanan itu.
"Saya tidak ada masalah untuk membentuk satu pasukan kerana mereka (pemain) semua dah berpengalaman cuma dari segi kecergasan sahaja masih belum cukup.
"Yang pasti kita pergi ke sana tidak mahu sebagai team belasahan dan pastikan kita akan buat sesuatu," katanya.
Walaupun masih belum mengenali pasukan lawan yang 'misteri' itu, beliau berkata pasukan yang berada di ranking ke-126 dunia itu dilihat sudah bersiap sedia untuk menentang Malaysia.
Mengenai barisan pemain, Dollah berkata kesemua 23 pemain yang disenaraikan termasuk Ronny Harun yang baru menyertai kem latihan menggantikan Bunyamin Umar, boleh disenaraikan antara kesebelasan utama.
"Cumanya, saya perlu pastikan kesebelasan pertama yang terbaik pada perlawanan itu nanti," katanya.
Sementara itu, Aidil Zafuan berkata, beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Dolah untuk terus menerajui skuad Harimau Malaya.
"Menjadi ketua pasukan adalah bonus dan ia satu tanggungjawab yang besar. Sebenarnya, saya lebih mengejar tempat dalam kesebelasan utama tapi saya hargai kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih," katanya.
Menurutnya apa yang penting ialah prestasi dan pencapaian pasukan pada perlawanan persahabatan kali ini untuk membaiki ranking di samping sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFF tidak lama lagi. - Bernama
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04
Tiada ulasan:
Catat Ulasan