SHAH ALAM - Para peminat dan pemerhati bola sepak negara mungkin akan memperlihatkan satu perbezaan ketara di dalam corak permainan Harimau Malaya apabila pengendali baharu, Dollah Salleh menjanjikan akan ada satu perbezaan ketara dalam corak permainan skuad negara.
Selepas ini, tiada istilah corak permainan bertahan akan disaksikan daripada pasukan negara sebaliknya Dollah berkata, dia mahu setiap pemain mempunyai mentaliti 'menyerang' dalam setiap perlawanan yang dilalui Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
"Konsep yang mahu saya tekankan kepada pasukan negara adalah cara permainan menyerang, saya tidak akan pergi main sekadar untuk bertahan dengan mana-mana pasukan yang difikirkan lebih kuat.
"Kita tidak mahu bila lawan pasukan-pasukan tertentu, kita kena main bertahan dan itu bukan cara saya, walaupun saya tidak nafikan dalam satu permainan ada masa kita kena menyerang atau bertahan.
"Namun kita perlu seimbang dalam soal ini, ada masa kita serang, kita serang kalau ada peluang dan ada masa kita bertahan, kita kena disiplin dalam bertahan, itu falsafah saya, " katanya yang ditemui pada rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin di sini, semalam.
Memperlihatkan senarai pemain yang dipilih di bahagian serangan, Dollah tidak menafikan Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha masih merupakan dua penyerang terbaik negara, selain tidak memperkecilkan keupayaan Mohd. Nor Farhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani.
"Dua pemain ini (Safee dan Norshahrul) kalau diikutkan masih terbaik di posisi penyerang, selain Nor Farhan dan Fakri yang tidak terlalu jauh dan dalam soal ini, saya rasa tiada masalah untuk mendapatkan kesebelasan utama.
"Cuma persoalannya, bagaimana mereka hendak memahami cara saya, itu sahaja yang saya bimbangkan kerana waktu yang begitu singkat bagi mereka menjalani latihan di bawah kendalian saya.
"Pengalaman pada pemain mungkin memudahkan saya membuat perancangan cuma beberapa kelemahan terutama di bahagian pertahanan kena diperkemaskan, ada kekurangan orang tidak perasan dan saya telah terangkan kepada pemain," katanya.
Ditanya mengenai Brendan Gan, bekas jurulatih PDRM itu tidak menafikan yang dia memang ada perancangan memanggil pemain yang baharu sahaja mendapat kerakyatan Malaysia itu.
"Dia (Brendan) memang dalam perancangan saya untuk diserapkan, selepas Tajikistan baharu saya akan panggil dia bagi menghadapi perlawanan persahabatan yang akan datang," katanya.
Rujukan-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140803/su_05/Bertahan-bukan-cara-Dollah#ixzz39RItC57V © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan