Isnin, 4 Ogos 2014

Hari-hari ada tekanan - Dollah

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my
 
SKUAD Harimau Malaya mengikuti latihan di bawah kendalian jurulatih, Dollah Salleh di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin. - UTUSAN/ MOHD AZIM ABD RAHMAN
BUKIT JALIL - Sudahlah diberi tempoh seminggu menguji kombinasi terbaik pasukan, ditambah pula perlu berhadapan dengan skuad ‘misteri’ iaitu Tajikistan yang menyukarkan jurulatih baharu Harimau Malaya, Dollah Salleh untuk membayangi strategi pihak lawan menjelang pertemuan pada 8 Ogos ini.

Malah, tekanan bertali arus semakin dirasai oleh Dollah ekoran segelintir peminat dan pemerhati bola sepak tanah air mengharapkan sesuatu elemen kejutan hasil buah tangan dari pengendali berpengalaman itu.

Enggan memikirkan penghalang berkenaan, Dollah mengakui tiada sebarang masalah dalam membuat percaturan pasukannya setelah melihat ‘putik-putik’ kesebelasan utama dan mengenal pasti kekuatan serta kelemahan setiap pemain untuk menentang skuad dari Asia Tengah itu.

"Kalau berceritakan tentang tekanan, hari-hari saya tertekan. Jangan harapkan terlalu tinggi sebab ia perlawanan seperti ‘jerut leher’. Tapi itu semua bukan alasan. Bagi saya, ia merupakan suatu cabaran.

"Buat masa ini saya tiada masalah, bagi saya semua pemain adalah kesebelasan utama. Cuma hari perlawanan itu sahaja saya mahu tentukan siapa yang perlu beraksi.

"Saya akan cuba yang terbaik mahu mendapatkan corak permainan dengan apa yang saya inginkan dan cukup senang untuk saya mengendalikan mengikut citarasa saya dalam latihan ini.

"Masih mengekalkan formasi 4-4-2, setakat ini formasi itu sangat selesa. Lagi pun mereka sudah biasa dengan corak permainan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), di sini semalam.

Skuad Harimau Malaya terpaksa berhadapan dengan tempoh perjalanan yang memenatkan apabila dijadualkan berlepas ke sana hari ini dan dua kali transit di China dan Kazakhstan sebelum tiba di Dushanbe, Tajikistan pada 5 Ogos.

Berhubung siapakah yang bakal memegang lilitan kapten ketika bertemu pasukan di ranking 126 dunia itu, Dollah menjawab dia akan mengumumkannya hari ini.

"Saya akan umumkan kapten esok (hari ini) sebelum berlepas ke sana. Apa yang pasti, kita harap semua pemain dapat memanfaatkan peluang yang diberikan. Sebab, saya tidak tahu strategi pihak lawan. Yang penting, kita tumpukan pada pasukan kita sahaja," katanya
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140804/su_04/Hari-hari-ada-tekanan---Dollah#ixzz39RQ9EUrq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan