Rabu, 6 Ogos 2014

Harimau tidak gentar

Harimau tidak gentar

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya perlu berdepan dua pasukan finalis Piala AFF dua tahun lalu, Singapura dan Thailand di pusingan awal selepas undian semalam tidak memberi laluan mudah kepada anak buah Dollah Salleh yang memburu misi ke final kali ini.

Dalam undian di Hanoi, Vietnam semalam, Malaysia selaku juara 2010 berada dalam kumpulan maut apabila bakal berdepan pasukan yang memiliki rekod hebat iaitu juara bertahan Singapura dan Thailand selain pasukan juara pusingan kelayakan bagi saingan Kumpulan B yang akan bermula pada 22 November.


Singapura tuan rumah Kumpulan B, merangkul gelaran keempat dua tahun lalu dengan mengalahkan juara tiga kali Thailand menerusi agregat 3-2 dan rekod pertemuan Malaysia dengan dua pasukan finalis itu pada edisi terakhir, agak mengecewakan.Skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing Datuk K Rajagobal tewas kepada Singapura 0-3 pada saingan peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan kemudian kecundang kepada Thailand pada separuh akhir dengan agregat 1-3.


Bagaimanapun penolong pengurus Harimau Malaya Datuk Hamidin Mohd Amin yang hadir pada majlis undian itu tetap yakin skuad kendalian Dollah mampu melepasi halangan pusingan awal dengan menjadi dua pasukan terbaik peringkat kumpulan.


“Dengan semangat jitu, saya yakin pasukan kita akan mencapai tahap tinggi untuk mencapai kecemerlangan. Usaha keras kena bermula dari sekarang bagi memastikan pasukan kita berada di kemuncak prestasi pada November dan Disember ini,” katanya ketika dihubungi di Hanoi semalam.

Dengan nada positif, beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap skuad kebangsaan mendapat kelebihan beraksi dalam Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura berbanding bermain di Hanoi menentang Vietnam, Filipina, Indonesia dan naib juara pusingan kelayakan dalam Kumpulan A.


“Kita memang berharap dapat bermain di Singapura kerana boleh menggerakkan lebih ramai penyokong untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan bagi saingan peringkat kumpulan di sana.

“Walaupun Singapura dan Thailand bekas juara, kita perlu pandai menggunakan kelebihan apabila bermain di Singapura nanti,” kata Hamidin.Selain Singapura dan Thailand, Malaysia juga perlu berwaspada dengan ancaman satu lagi pasukan dari pusingan kelayakan bagi melengkapkan persaingan empat penjuru dalam Kumpulan B.
Saingan peringkat kumpulan akan bermula 22 hingga 29 November ini sebelum aksi timbal balik separuh akhir pada 6 hingga 11 Disember dan kemuncak pada 17 dan 20 Disember.
SUMBER-

Artikel ini disiarkan MYMETROpada : 2014/08/06

Tiada ulasan:

Catat Ulasan