Jumaat, 29 Ogos 2014

Shukor, Indra dipanggil selepas 5 tahun

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
 
DARI KIRI : Indra Putra Mahayuddin, Shukor Adan

KUALA LUMPUR - Jurulatih negara Dollah Salleh membuat kejutan apabila menamakan dua pemain vete­ran, Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin dalam skuad 29 pelatih bagi siri tiga perlawanan pemanas badan menjelang Kejohanan AFF November depan.

Kedua-dua tonggak Felda United itu tidak pernah berada dalam perancangan jurulatih terdahulu, Datuk K. Rajagobal. Kali terakhir mereka menyarung jersi negara ialah ketika kelayakan Piala Asia 2009 di bawah bimbingan B. Sathianathan.

Panggilan ini juga umpama hadiah ulang tahun kelahiran ke-33 buat Indra Putra pada Selasa depan kerana dua hari kemudian, dia mula melapor diri ke kem latihan pusat negara di Wisma FAM, Pe­taling Jaya.

Shukor, 35, pula pernah menjadi ke­tua pasukan negara dalam kelayakan itu selain membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 2007.

Dollah turut menyenaraikan penjaga gol Polis, Azizon Kadir, 34, yang kali terakhir bermain buat negara dalam Piala Asia 2007 selain memanggil lapan lagi yang tidak tersenarai ketika dibenam Tajikistan 4-1 8 Ogos lalu.

Mereka ialah Azmi Muslim (Selangor), Zairul Fitree Ishak (Kelantan), Mohd. Afif Amiruddin, Ahmed Ezrie Shafizie Sazali (Polis), Razman Roslan (Pahang), Abdul Manaf Mamat (Terengganu), Ronny Harun dan Joseph Kalang Tie (Sarawak).

Satu lagi kejutan ialah tersenarainya semula Khairul Azhan Khalid biarpun penjaga gol Pahang itu dikatakan tercedera tangan ketika kempen Piala Malaysia yang sedang berlangsung.

Tanpa Aidil Zafuan Abd. Radzak yang mengetuai pasukan ketika menentang Tajikistan kerana berkemungkinan besar menyertai skuad bawah 23 ke Sukan Asia Incheon bulan depan, Dollah perlu melantik pemain lain sebagai ketua pasukan.

Skuad Dollah dijadualkan bermain dalam lima perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persediaan untuk Kejohanan AFF.

Mereka akan menentang Indonesia dan Kemboja pada 14 dan 20 September di tempat lawan dan Jordan di Stadium Shah Alam, Selangor (11 Oktober) manakala tarikh perlawanan dengan Syria dan Vietnam masih belum ditentukan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B di Singapura dengan tuan rumah yang juga penyandang juara serta naib juara 2012, Singapura dan Thailand selain juara pusingan kelayakan, Oktober ini.

Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee turut menamakan penjaga gol senior negara, Khairul Fahmi Che Mat dan Ronny dalam senarai sembilan pemain simpanan jika ada kejadian luar dugaan seperti kecederaan menimpa antara 25 pemain yang disenaraikan awal.

Juga dalam senarai menunggu itu ialah D. Kelly Pallraj, K. Satish, Ridzuan Abdunloh Pula, Nurridzuan Abu Hassan Saari, Aminuddin Mohd. Noor, Arip Amiruddin dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140830/su_01/Shukor-Indra-dipanggil-selepas-5-tahun#ixzz3BovwJCRI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan