Khamis, 27 Februari 2014

Mat Yo didenda RM5,000

Oleh ZAZALI JAMIAN-sukan@utusan.com.my
Norshahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) mula menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Petaling Jaya, semalam setelah melapor diri kelmarin. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid
PETALING JAYA - Penyerang kontroversi, Norshahrul Idlan Talaha bakal didenda RM5,000 atas kelewatannya melapor diri untuk menjalani latihan bersama Harimau Malaya selepas seminggu enggan menyahut panggilan skuad kebangsaan atas alasan peribadi.

Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo mula menyertai kem skuad kebangsaan menjalani latihan di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam selepas mengambil keputusan untuk menangguhkan urusan umrah yang dijadualkan pada 3 Mac ini.

Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, denda tersebut dikenakan sebagai pengajaran buat pemain lain agar perkara sama tidak berulang selagi tidak melibatkan sesuatu yang mustahak.

Kata Subahan, penyerang skuad Johor Darul Ta’zim itu juga telah memohon maaf dan berjumpa dengan pemain lain serta mengakui semua yang berlaku berpunca daripada kesilapannya sendiri.

“Kami kenakan denda RM5,000 sebagai satu pengajaran kerana tidak mahu menghancurkan masa depan pemain dan itu denda yang telah diputuskan oleh pengurusan.

“Bagi saya pemain perlu peka dengan tarikh permainan yang bakal berlangsung dan jika ada pemain yang dipanggil tidak mahu bersama pasukan kebangsaan mungkin selepas ini tiada lagi nama mereka akan disenaraikan," katanya kepada pemberita sewaktu sesi latihan skuad kebangsaan semalam.

Sementara itu, Subahan turut berharap pemain yang ada dapat terus kekal fokus untuk mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina, esok.

“Saya harap semua pihak dapat memberikan sokongan padu dan pemain perlu komited selain jangan mencari isu-isu kontroversi.

“Dalam masa sama juga saya berharap isu berkaitan Mat Yo tidak disensasikan kerana kami perlukan khidmat pemain itu bukan hanya untuk perlawanan menentang Yemen tetapi turut melibatkan aksi persahabatan sebegini (menentang Filipina Sabtu ini)," kata Subahan.

Perlawanan dengan Filipina adalah ujian terakhir skuad negara sebelum menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 di Abu Dhabi.

Sementara itu, jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata, perlawanan menentang Filipina dianggap penting biarpun sekadar perlawanan persahabatan kerana akan menjadi medan untuk menilai kombinasi pemain yang akan digunakan untuk aksi bertemu Yemen.

“Saya harapkan yang terbaik buat semua pemain yang ada dan pemain perlu mempamerkan kelainan daripada corak permainan sebelum ini dengan segala taktikal yang saya gunakan.

“Latihan ini lebih tertumpu kepada beberapa unit penting dalam pasukan berkaitan serangan dan bertahan," kata Kim Swee.

SUMBER:Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140228/su_01/Mat-Yo-didenda-RM5000#ixzz2uaeAKlfX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan