Sabtu, 1 Mac 2014

Lapan minit memalukan!

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Pemain negara, Mohd. Safee Sali (tengah) diasak oleh pemain Filipina, Robert James Gier (bawah) semasa perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Filipina di Stadium Selayang, semalam. - MINGGUAN/MOHD NAJIB MOHD NOR
SELAYANG - Bukan aksi perlawanan menarik yang dipamerkan oleh Harimau Malaya ketika menentang Filipina dalam perlawanan persahabatan menjadi perhatian sebaliknya insiden balingan mercun dan pembakaran suar menjadi topik perbualan utama di Stadium Selayang, semalam.

Segalanya terjadi pada minit ke-31 selepas para penyokong Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar suar dan mercun sekali gus memaksa permainan dihentikan selama lapan minit sebelum diteruskan.

Apa yang dilakukan oleh para penyokong Ultras sebagai tanda protes 30 tahun pemerintahan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah itu bagaikan menjadi punca kepada skuad Harimau Malaya yang seperti kehilangan momentum biarpun mencipta gerakan bertali arus sebelum insiden berkenaan.

Dalam perlawanan itu, walaupun diberikan deretan peluang dan menghiburkan, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu terpaksa menelan kepahitan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Tuah jelas tidak menyebelahi Harimau Malaya apabila bola singgah dua kali mengenai palang dan sekali pada tiang selain jaringan Amirizdwan Taj Tajudin dibatalkan pada minit ke-11 ekoran penjaga garisan menyangkakan bola mengenai tangan pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Empat minit kemudian, tandukan Mohd. Aidil Zafuan Adha pula gagal menemui sasaran dengan menuju ke bucu pintu gol sebelum kehampaan para penyokong semakin memuncak selang seminit kemudian apabila tandukan Safiq Rahim dihalang palang sekali lagi melalui hantaran silang Mohd. Nazrin Nawi.

Saat paling mengecewakan apabila bola rembatan Amri Yahyah yang berada keseorangan di dalam kotak penalti hasil hantaran menarik Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-19 sekadar mengenai tiang gol biarpun penjaga gol, Patrick Phillip Deyto sudah tertewas.

Walaupun begitu, terdapat satu perkara yang boleh dipuji iaitu corak hantaran pendek dan permainan pantas yang dipamerkan menunjukkan terdapat ada peningkatan teknikal pada skuad Harimau Malaya kali ini kecuali sentuhan penyudah.

Biarpun tidak lulus dengan cemerlang pada ujian pertama, Kim Swee berasakan para pemain telah menerima corak latihannya dengan baik di samping mengakui pembakaran suar yang dibuat ultras merencat mood anak-anak buahnya.

‘‘Kita mencipta banyak peluang tetapi dihampakan oleh sentuhan penyudah terutama pada babak pertama, mereka kena ambil ini sebagai pengajaran.

‘‘Cuma situasi yang berlaku pada minit ke-30 itu benar-benar mengganggu rentak para pemain saya apabila permainan tergendala dan kita kembali sukar mendapatkan rentak selepas situasi berkenaan.

‘‘Saya tidak memikirkan sebarang kekalahan dalam perlawanan ini dan gembira kerana semua pemain dapat menerima corak latihan yang saya mahukan," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Sementara itu, jurulatih Filipina, Thomas Dooey, berpendapat skuadnya layak diberikan sepakan penalti pada minit ke-90 apabila Jason De Jong dijatuhkan Asraruddin Putra Omar dan memenangi perlawanan tersebut.

‘‘Sepatutnya kami boleh diberikan penalti, insiden itu amat jelas namun keputusan pengadil tidak menyebalahi kami, perkara ini sering terjadi dalam bola sepak," katanya.
SUMBER:
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140302/su_01/Lapan-minit-memalukan#ixzz2uktw16Z6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan