Khamis, 6 Mac 2014

Piala Asia: Misi hidup mati Harimau Malaya

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Masih memburu sisa-sisa peluang untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015, Harimau Malaya tetap akan berjuang bermati-matian memburu tiga mata berharga ke atas Yemen pada aksi penutup Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Tahnon bin Mohamed di Abu Dhabi malam ini.

Itu janji keramat yang dilafazkan oleh pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, yang dalam masa sama mengharapkan elemen tuah akan memihak Malaysia sambil tidak memandang lekeh cabaran Yemen, yang kini berada di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Pemain yang paling dibimbangkan oleh Kim Swee adalah penjaring gol tunggal Yemen ketika beraksi di Stadium Shah Alam pada 22 Mac tahun lalu iaitu Ayman Al-Hagri, pemain yang disifatkan mampu meranapkan impian Harimau Malaya untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia di Australia.

"Secara teknikal, Yemen sebenarnya sebuah pasukan yang bagus dan saya paling bimbangkan pemain berjersi nombor 10 (Al-Hagri), pergerakannya perlu diperhatikan.

"Dia seorang pemain yang begitu lincah, tambahan Yemen mempunyai kualiti dalam membuat hantaran jauh, saya fikir itu akan memberikan kelebihan kepada pemain ini.

"Kami pun hanya menang 2-1 di Kuala Lumpur dan kami tidak boleh mengambil mudah cabaran Yemen kerana selepas kalah dalam lima perlawanan berturut-turut, sudah tentu mereka mahukan kemenangan," katanya ketika dihubungi semalam.

Menyentuh mengenai peluang negara layak ke pusingan akhir, Kim Swee tidak meletakkan harapan menggunung tinggi kerana sedar peluang Harimau Malaya banyak bergantung kepada pasukan lain namun dia sama sekali tidak berputus harap.

"Peluang kita memang nampak sempit kerana semuanya bergantung kepada keputusan perlawanan membabitkan Iraq, Syria, Lebanon dan Hong Kong.

"Yang mustahak kita bermain seperti biasa untuk dapatkan kemenangan dan saya tidak mahu fikirkan mengenai keputusan perlawanan lain, harap tuah dan nasib akan menyebelahi kami," katanya.

Berdasarkan peraturan kelayakan, juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia dengan satu lagi slot akan diisi oleh pasukan di tempat ketiga terbaik daripada lima kumpulan.

Di atas kertas, Iraq berada dalam kedudukan terbaik daripada lima pasukan untuk layak dengan meraih enam mata selepas lima perlawanan dan mereka akan bertemu China pada aksi terakhir.

Jika Iraq tewas, Malaysia perlu mengharapkan ihsan pasukan jiran, Thailand untuk menyekat Lebanon (lima mata) yang berkedudukan pasukan kedua di tangga ketiga terbaik daripada mencapai kemenangan selain mengharapkan Syria (empat mata) seri atau tewas kepada Jordan.
Perlawanan itu akan berlangsung pukul 10 malam waktu Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140305/su_04/Piala-Asia-Misi-hidup-mati-Harimau-Malaya#ixzz2vAhar6Vs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan