Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
KIM SWEE menerajui Harimau Muda
A bagi menghadapi Liga NPL.
SELEPAS membimbing Harimau
Malaya berdepan Yemen dalam aksi terakhir Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015
di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Rabu lalu, Datuk Ong Kim Swee kini
kembali fokus menerajui skuad Harimau Muda A bagi mengharungi saingan Liga NPL
Queensland, Australia.
Justeru, Kim Swee berharap
anak-anak buahnya dapat melakar keputusan positif menjelang aksi pembuka tirai
Liga NPL Queensland berdepan Moreton Bay Jets di Padang Wolter Park 1, Brisbane
malam ini.
Biarpun tidak menetapkan
sebarang sasaran sepanjang saingan Liga NPL, beliau mahu anak-anak buahnya
kekal fokus meraih pengalaman berguna menjelang Sukan Asia 2014 di Incheon,
Korea Selatan, September depan.
"Seperti yang saya katakan
sebelum ini, saingan Liga NPL merupakan pendedahan terbaik skuad Harimau Muda A
sebagai persiapan awal ke temasya Sukan Asia.
"Jadi, saya harap kami
dapat melakar keputusan yang positif dalam setiap perlawanan selain mengenal
pasti kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki," katanya kepada Kosmo!
semalam.
Skuad Harimau Muda A telah
berlepas ke Brisbane, Australia Selasa lalu sementara Kim Swee baru tiba
semalam dari Dubai selepas aksi berdepan Yemen.
Kim Swee juga mengakui, beliau
bakal berdepan cabaran baharu bagi mengendalikan skuad Harimau Muda A kali ini.
"Harus diingat, skuad
Harimau Muda A sekarang tidak lagi sama seperti sebelum ini kerana kini
rata-ratanya dibarisi pemain muda di bawah usia 21 tahun.
"Mereka perlu diberikan
peluang membuktikan kemampuan masing-masing serta meraih pengalaman sebaik
mungkin supaya bersedia beraksi di pentas yang lebih tinggi selepas ini,"
jelas beliau.
Kim Swee berkata, beliau juga
tidak 'menutup pintu' buat mana-mana pemain yang tidak dibawa ke Australia kali
ini ketika Harimau Muda A berentap pada Sukan Asia kelak.
"Saya masih memiliki masa
untuk mengenal pasti skuad terbaik bagi menghadapi Sukan Asia.
"Jadi, mana-mana pemain
muda negara masih berpeluang beraksi pada Sukan Asia biarpun mereka tidak
menyertai kami di Australia.
"Yang paling utama,
kesemua pemain perlu membuktikan yang terbaik jika berhasrat untuk beraksi di
pentas Piala Asia," katanya.
SUMBER-KOSMO ONLINE 8.3.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan