Khamis, 6 Mac 2014

Menang tapi tak cukup syarat

AHMAD Fakri Saarani (kanan) menjaringkan gol kedua skuad negara pada minit ke-77 selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
KUALA LUMPUR - Walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain sepanjang 80 minit, Harimau Malaya membuktikan semangat juang mereka bukan sebarangan apabila masih mampu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Yemen di Stadium Tahnon Bin Mohamed di Abu Dhabi semalam pada aksi terakhir Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015.

Pemain gantian, Ahmad Fakri Saarani menjadi watak utama kepada kemenangan pertama Harimau Malaya dalam perlawanan berkelas A di luar negara sejak 2007 apabila menjaringkan gol yang cukup penting pada minit ke-77.

Amri Yahyah sebelum itu meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-16 biarpun enam minit sebelum itu, benteng Harimau Malaya kehilangan Amirizdwan Taj Tajudin dilayangkan kad merah tetapi Yemen berjaya mendapatkan jaringan penyamaan melalui Mohammed Al-Sarori pada minit ke-59.

Namun, kejayaan tiga mata pertama yang diraih oleh Datuk Ong Kim Swee sejak mengambil pasukan Harimau Malaya daripada Datuk K. Rajagobal masih tidak mampu mengubah nasib Malaysia untuk mengisi slot terakhir ke Piala Asia 2015 di Australia selaku pasukan ketiga terbaik dari lima kumpulan.

Tempat itu dicuri oleh China biarpun tewas 1-3 kepada Iraq dalam Kumpulan C dengan memungut lapan mata.

China layak melalui kelebihan satu jaringan ke atas Lebanon yang turut meraih lapan mata walaupun melakar kemenangan besar 5-2 ke atas Thailand di Bangkok sementara Malaysia memungut tujuh mata daripada enam perlawanan untuk berada di belakang China dan Lebanon.

Dalam perlawanan semalam, Kim Swee menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika menentang Filipina pada Sabtu lalu kecuali penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang kembali disenaraikan menggantikan Khairul Azhan Mohd. Khalid yang tidak dibawa kali ini.

Harimau Malaya jelas bergelut pada awal permainan dengan gerakan pantas pemain-pemain muda kelihatan sukar disaingi dan situasi itu membawa padah apabila Amirizdwan yang gagal mengekang pergerakan Sadam Hussein terpaksa menjatuhkan pemain itu di dalam kotak penalti yang membuatkan pengadil dari Uzbeskistan, Valentin Kovalenko melayangkan kad merah.

Kecekapan Khairul Fahmi menyelamatkan keadaan apabila dia berjaya menangkap kemas bola sepakan penalti yang diambil Wahid Mohammed Mohammed Al-Khyat sebelum jaringan Amri menyusul sepakan bebas Hafiz Kamal yang gagal ditampan kemas oleh penjaga gol lawan dengan menanduk masuk.

Yemen bagaimanapun tidak mengalah dengan percubaan jarak jauh A. Al-Sasi pada minit ke-23 hampir memecah kekebalan pintu gol negara tetapi mujur mengenai tiang sebelum usaha mereka menemui hasil pada babak kedua apabila Al-Sagori mudah menewaskan Khairul Fahmi di dalam kotak penalti.

Ketika tuan rumah rancak mencari gol kemenangan, situasi bola mati menjadi punca kepada kemenangan Harimau Malaya selepas sepakan bebas yang diambil oleh Mohd. Nazrin Nawi dapat disambar oleh Fakri yang menggunakan lututnya bagi memastikan tiga mata menjadi milik Harimau Malaya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140306/su_01/Menang-tapi-tak-cukup-syarat#ixzz2vAVj06PL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan