Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
MALAYSIA berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF
2010 buat kali pertama selepas menang agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua
antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
BOLA sepak dikatakan datang ke
Tanah Melayu bersama penjajah British sekitar abad ke-19. Selepas itu, sukan
tersebut mendapat tempat di hati rakyat sehingga hari ini. Kini, ia menjadi
antara sukan utama negara.
Dari sudut jaringan, kemenangan
terbesar pernah dicapai pasukan negara adalah terhadap pasukan Filipina pada
1962 dengan jaringan 15-1 dan rekod itu masih kekal sehingga kini. Pada tahun
sama, negara memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Jakarta.
Namun, kemuncak kejayaan
pasukan kebangsaan pada 1972 apabila mengalahkan Jepun, Korea Selatan, Taiwan
dan Filipina untuk layak ke Sukan Olimpik, seterusnya mengalahkan pasukan dari
Amerika Syarikat tetapi malangnya tewas kepada Jerman Barat dan Maghribi.
Pasukan negara sekali lagi
memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Tehran dua tahun kemudian serta layak ke
Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 1976 dan 1980.
Selain itu, pasukan kebangsaan
turut layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980 tetapi memboikotnya bersama
beberapa negara lain berikutan penjajahan Soviet ke atas Afghanistan.
Kejayaan peringkat antarabangsa
terbaru pasukan bola sepak Malaysia adalah kemenangan ke atas Indonesia untuk
menjulang Piala Suzuki pada 2010.
Bagaimanapun, semua kejayaan
itu bukan hanya atas bakat pemain semata-mata. Jurulatih pasukan merupakan
antara tunjang utama memastikan pasukan dapat bermain pada tahap terbaik dan
mencapai sasaran.
Legasi jurulatih bola sepak
negara mencatatkan banyak nama, ada yang dari luar dan ada dalam kalangan anak
tempatan. Nyata sekali era paling menonjol pasukan kebangsaan rata-ratanya di
bawah bimbingan anak tempatan seperti Abdul Ghani Minhat, Jalil Che Din, M.
Kuppan, M. Chandran, Peter Vellapan dan K. Rajagobal.
Walaupun ada beberapa jurulatih
luar seperti Dave McLaren dan Karl-Heinz Weigang mengasuh pemain ke pentas
dunia, namun kebanyakannya gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.
Kemasukan ramai jurulatih luar
ketika era 1990-an juga dilihat gagal mengembalikan zaman kegemilangan 1970-an
dan 1980-an, malah teruk dibebani skandal rasuah bola sepak terbesar negara
ketika itu sehinggakan sokongan peminat semakin luntur, sementara dana penajaan
semakin berkurangan.
Dengan tamatnya kontrak
jurulatih terkini pasukan negara, peminat tempatan tertanya-tanya adakah legasi
pemimpin pasukan bola sepak Malaysia akan kekal dalam kalangan anak watan atau
kembali kepada jurulatih luar?
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana_Sukan/20131207/rs_01/Legasi-jurulatih-bola-sepak-negara#ixzz2sXpjH0Ss
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan