Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Ong Kim Swee (kiri) bersalaman
dengan Subahan Kamal selepas diumumkan dilantik sebagai jurulatih sementara
bagi skuad Harimau Malaya, sambil disaksikan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd. Amin dalam sidang akhbar di Petaling Jaya semalam. - BERNAMA
PETALING JAYA - Setelah gagal
mencapai kata sepakat dengan jurulatih berprofil tinggi, Phillippe Troussier,
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya membuat keputusan menyerahkan
skuad Harimau Malaya di bawah pengendalian Ong Kim Swee buat sementara waktu
sehingga mereka mendapat jurulatih tetap.
Jurulatih Harimau Muda A itu
bakal membawa cabaran Harimau Malaya dalam aksi persahabatan berdepan Filipina
pada 1 Mac dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen.
Walaupun ditakrifkan sebagai
jurulatih sementara oleh pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal,
tindakan FAM itu seolah-olah mahu melihat sejauh mana kemampuan Kim Swee
membawa Harimau Malaya dengan dua perlawanan itu sebagai medan ujian.
Jika berjaya mencapai keputusan
memberangsangkan dalam kedua-dua perlawanan itu, Subahan tidak menafikan FAM
bersedia untuk memberi peluang lebih besar kepada Kim Swee biarpun mereka masih
mengintai khidmat jurulatih lain dalam masa yang sama.
"Seperti mana yang pernah
dilaporkan oleh pihak media sebelum ini, memang benar kami gagal mencapai kata
sepakat dalam usaha mendapatkan Philippe Troussier," katanya, yang tidak
menjelaskan punca kegagalan tersebut.
"Oleh kerana tiada lagi
calon lain dalam masa terdekat ini, kami bersepakat melantik Kim Swee untuk
menggalas tanggungjawab selaku jurulatih sementara bagi perlawanan kelayakan
Piala Asia 2015 iaitu menentang Yemen di Dubai pada 5 Mac ini.
"Kami akan memberikan
peluang kepada Kim Swee untuk mengendalikan pasukan kebangsaan dan kita tengok
beberapa bulan ini apa yang terjadi.
"Jika segalanya berjalan
dengan baik, mungkin kami akan melantik dia menjadi ketua jurulatih dan FAM
sendiri tidak meletakkan had masa untuk membuat keputusan dalam hal ini,"
katanya lagi dalam sidang akhbar semalam.
Ditanya bilakah FAM akan
memuktamadkan isu pelantikan jurulatih Harimau Malaya, Subahan berkata, FAM
tidak berada dalam situasi terdesak memandangkan hanya Kejohanan AFF sahaja
menjadi aksi penting dalam kalendar bola sepak antarabangsa.
"Pasukan kebangsaan bukan
dalam situasi terdesak untuk mendapatkan jurulatih tetap kerana selepas
pertemuan dengan Yemen, hanya ada pertemuan persahabatan dengan Singapura dan
Kejohanan AFF 2014.
"FAM masih membuka ruang
kepada individu-individu yang berminat menjadi jurulatih Harimau Malaya, jika
sebelum ini kami menerima kira-kira 42 permohonan, saya yakin jumlah itu akan
bertambah," katanya.
Sementara itu, Kim Swee tidak
melihat pelantikannya sebagai jurulatih Harimau Malaya itu sebagai satu yang
membebankan walaupun dalam masa sama masih memegang tugas mengendalikan Harimau
Muda A.
"Buat makluman semua, Liga
Australia (National Premier League ) di Queensland, Australia hanya akan
bermula pada 8 Mac dan saya boleh mengharapkan kumpulan kejurulatihan Harimau
Muda memulakan latihan di sana terlebih dahulu.
"Selepas perlawanan dengan
Yemen pada 5 Mac, saya akan terus terbang ke Brisbane, Australia, jadi bukan
satu masalah besar," katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140204/su_02/Akhirnya-Kim-Swee-latih-Harimau-Malaya#ixzz2sLkTq4gX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan