Jumaat, 14 Februari 2014

Piya tak minat jadi kapten

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Tonggak tengah Kelantan, Mohd. Badhri Radhzi menegaskan, dia tidak berminat untuk menggalas tugas selaku kapten Harimau Malaya, sebaliknya hanya mahu fokus kepada usaha memperagakan aksi terbaik bagi membuktikan pemilihannya ke kem latihan pasukan kebangsaan adalah sesuatu yang tepat.

Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menggalas tugas tersebut memandangkan kelibatnya masih baharu dalam pasukan kebangsaan.

Katanya, tugas selaku ketua pasukan The Red Warriors sejak tiga musim lalu sudah cukup membebankan dan fokus utamanya ialah membalas kepercayaan yang diberikan oleh

pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee.

"Bagi saya, jawatan tidak penting dalam skuad kebangsaan kerana yang menjadi keutamaan saya ialah menunjukkan prestasi terbaik.

"Saya serahkan kepada jurulatih untuk tentukan siapa pilihannya. Lagi pun ramai lagi pemain senior dalam pasukan kebangsaan yang dipanggil untuk menjalani latihan pada minggu depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini semalam.

Kim Swee dalam satu sidang media tiga hari lalu membayangkan lilitan kapten Harimau Malaya bakal bertukar tangan. Tanggungjawab ketua pasukan sebelum ini digalas bintang tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd. Safiq Rahim.

Badhri turut menambah, ada beberapa pemain senior yang berada dalam pemikirannya untuk memimpin skuad kebangsaan.

Jeneral padang Kelantan itu sebelum ini pernah mencetus kontroversi apabila gagal menghadirkan diri untuk sesi latihan pusat pada Julai tahun lalu, sekali gus mencetuskan polemik apabila dikatakan tidak berminat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal ketika itu.

"Saya ingin buktikan pada usia seperti ini, saya masih mampu menyumbang sesuatu untuk negara. Saya sedar saingan cukup sengit dan perlu bekerja lebih keras bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan," ujar pemain berusia 31 tahun itu lagi.

Skuad negara kini dalam persiapan menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia menentang Yemen, 5 Mac ini.
SUMBER:
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140214/su_02/Piya-tak-minat-jadi-kapten#ixzz2tLImbI69 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan