Rabu, 26 Februari 2014

Azamuddin digugurkan dari skuad Harimau Malaya

 Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
PEMAIN skuad kebangsaan gigih menjalani latihan di Wisma FAM , Kelana Jaya semalam sebagai persediaan menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015, bulan depan. - UTUSAN/Hafiz Johari
PETALING JAYA - Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee terpaksa menggugurkan Azamuddin Mohd. Akil daripada skuad kebangsaan ekoran kecederaan pergelangan kaki kanan yang dialami penyerang Pahang itu.Menurut Kim Swee, pakar perubatan mengesahkan Azamuddin atau lebih mesra dengan nama panggilan Alex tidak sempat untuk pulih menjelang perlawanan menentang Filipina Sabtu ini.
Perlawanan dengan skuad negara jiran itu adalah aksi pemanas badan sebelum Harimau Malaya menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 pada 5 Mac.

"Selepas berbincang dengan pakar perubatan, mereka mendapati Alex tidak sempat untuk pulih kerana masih terdapat kesakitan di bahagian kecederaan yang dialaminya dan kita ambil keputusan untuk menggugurkannya daripada perlawanan menentang Yaman," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya di sini semalam.

Kim Swee memberitahu, akibat kesuntukan masa, pihaknya tidak akan memanggil mana-mana pemain baharu untuk menggantikan Alex, sebaliknya akan menggunakan khidmat pemain sedia ada di dalam skuad itu.

Katanya, skuad Harimau Malaya akan menggunakan khidmat Baddrol Bakhtiar atau Fakri Saarani bagi mengisi bahagian sayap kanan yang ditinggalkan pemain yang berasal dari Kuala Lipis itu.

"Kita juga memiliki Amri Yahyah untuk mengisi posisi yang sama dan saya melihat para pemain perlu bersaing untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama," katanya.

Jurulatih berusia 43 tahun itu berkata, perlawanan persahabatan menentang Filipina akan menjadi medan untuk dirinya menguji beberapa kombinasi pemain untuk mencari keserasian bagi mengisi jentera tengah pasukan itu.

"Semua pemain memberikan komitmen yang baik dan ini menyukarkan saya untuk memilih kesebelasan utama bagi pasukan ini.

"Hanya melalui perlawanan persahabatan menentang Filipina dan pertemuan dengan Yaman akan menjadi penentu kepada saya untuk menentukan kesebelasan utama Harimau Malaya," katanya.

Pemain yang menyertai Piala AFC telah dilepaskan kembali ke pasukan masing-masing semalam dengan para pemain Selangor akan kembali melapor diri hari ini sementara pemain-pemain Kelantan esok.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140226/su_05/Azamuddin-digugurkan-dari-skuad-Harimau-Malaya#ixzz2uNKYRFrx

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan