Sabtu, 18 Januari 2014

Tunggu kempen kelayakan tamat

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE<>hidayat.azmie@kosmo.com.my


RAJAGOBAL (kiri) kini hanya memberi tumpuan membimbing Harimau Malaya bagi mengharungi baki kempen kelayakan Piala Asia 2015.

SEBARANG spekulasi mengenai calon bagi menggantikan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal hanya akan dipertimbangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebaik kempen kelayakan Piala Asia 2015 berakhir pada bulan Mac tahun depan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, spekulasi sedemikian sewajarnya dihentikan segera bagi mengelak fokus Harimau Malaya mengharungi baki aksi kelayakan Piala Asia selepas ini terjejas.
“Sebarang spekulasi berhubung senarai calon (pengganti Rajagobal) selama ini bukannya dikeluarkan oleh FAM.
“Jadi, ada baiknya menunggu kempen kelayakan Piala Asia berakhir terlebih dahulu (sebelum membuat keputusan) sama ada kontrak Rajagobal disambung atau tidak,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pada masa sama, Hamidin juga menegaskan, pihaknya menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang enggan menjanjikan sebarang kemewahan kepada pengganti Rajagobal selepas ini.
“Berhubung perkara ini, pihak FAM sentiasa senada dengan Tengku Abdullah.
“Jadi, setiap persoalan berhubung perkara itu hanya akan dipertimbangkan FAM sebaik kempen kelayakan Piala Asia berakhir,” jelas beliau.
Kelmarin, Tengku Abdullah enggan menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada mana-mana peneraju Harimau Malaya selepas ini sekiranya kontrak Rajagobal yang bakal tamat Disember depan tidak lagi disambung FAM.
Selain bekas jurulatih skuad utama Liverpool, Alex Miller yang menyatakan kesediaan untuk mengambil alih tempat Rajagobal, bekas pengendali Jepun, Phillippe Trouisser dan legenda Jerman, Rudi Voller turut menjadi antara calon hangat menerajui Harimau Malaya.
Bagaimanapun, Troussier dikatakan hanya bersedia membimbing Harimau Malaya sekiranya memperoleh gaji bulanan sebanyak AS$126,805 (kira-kira RM416,000).
Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding kesediaan FAM yang difahamkan hanya mampu mengeluarkan ‘dana’ sebanyak AS$18,000 (RM59,500) sebulan.
Dalam perkembangan lain, Hamidin menegaskan, beliau masih belum menerima maklum balas daripada Rajagobal dan juga pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal berhubung sesi latihan Harimau Malaya yang dikatakan bakal diadakan di lokasi ‘rahsia’ menjelang aksi berdepan Bahrain pada 15 Oktober depan.
“Mungkin ia hanya satu salah faham. Saya tidak rasa ia diadakan secara tertutup (bagi mengelak tekanan) daripada media.
“Mungkin kenyataan itu di salah erti, namun saya akan menunggu makluman daripada mereka (Rajagobal dan Subahan) terlebih dahulu sebelum memberikan kenyataan,” katanya.


SUMBER: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2fz9FOxNi 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan