Sabtu, 18 Januari 2014

Tewas tetapi pengalaman bernilai - Kim Swee

Oleh FERZALFIE FAUZI


PEMAIN-pemain Harimau Muda menimba pengalaman berguna pada Piala Menpora walaupun gagal layak ke perlawanan akhir.
KUALA LUMPUR - Tewas pada perlawanan kedua Piala Menpora 2013 kepada Central Coast Mariners dan gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir tidak meresahkan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee sebaliknya dia lebih menitikberatkan pengalaman yang diraih anak buahnya serta pendedahan kepada pemain simpanan.
Semalam di Stadium Jalak Harupat, Bandung, skuad bawah 23 tahun negara itu gagal untuk melakukan kejutan atau sekurang-kurangnya berkongsi mata dengan juara Liga Australia (Liga-A) 2012/13 itu apabila tewas 0-2 hasil jaringan Matthew Simons (42) Mitchell Duke (90) seterusnya gagal menempah slot ke saingan akhir.
Menurut Kim Swee, walaupun tewas setidak-tidaknya anak buahnya sudah memberikan saingan kepada skuad bimbingan Graham Arnold, yang bukan sahaja juara liga tetapi mempunyai pengalaman luas beraksi bersama kelab ternama Asia lain dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2012.
"Apa yang paling mustahak di sini ialah kita mendapat satu perlawanan berkualiti, ini adalah pengalaman dan pembelajaran yang berguna buat pemain, terutama mereka yang jarang diturunkan di Pestabola Merdeka baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Pada perlawanan pertama Jumaat lalu Harimau Muda bermula dengan sedikit positif selepas berjaya mengikat Persib Bandung 2-2 dan masih baki satu lagi perlawanan bertemu Sriwijaya FC esok namun ia hanyalah sekadar perlawanan pelengkap jadual buat mereka kerana kemenangan masih gagal untuk memintas Central Coast Mariners, di mana juara kumpulan sahaja akan beraksi di perlawanan akhir.
"Kita pelajari sesuatu di sini dan memang kita tidak meletakkan sebarang sasaran, namun perlawanan akhir bertemu Sriwijaya kita tidak akan memberi laluan mudah buat mereka walaupun mereka mempunyai enam pemain import," ujarnya.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130923/su_08/Tewas-tetapi-pengalaman-bernilai---Kim-Swee#ixzz2flUfcXvM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan