KUALA LUMPUR 14 Mac - Pasukan
Malaysia turun lima anak tangga ke posisi ke-164 dalam senarai terbaharu
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.
Walaupun FIFA tidak menyatakan
punca kejatuhan skuad kebangsaan, namun boleh diandaikan kekalahan 2-0 kepada
Qatar pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2013, 6 Feb lepas,
menyebabkan Malaysia kehilangan mata.
Berdasarkan senarai ranking
dunia terkini, skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal menghuni tangga ke-164
berbanding 158 pada Januari lepas dan dan tangga ke-159 bulan lepas.
Kedudukan skuad Harimau Malaya
itu meletakan pasukan kebangsaan setanding dengan Singapura yang berkongsi
tempat dengan Chad pada posisi ke-162 dunia, Kepulauan Maldives (161) dan
Bermuda (160).
Dalam kalangan negara Asia
Tenggara, Malaysia jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam di belakang
Vietnam (129) Thailand (135), Filipina (145), Myanmar (155) dan Singapura
(162).
Di peringkat Asia, Malaysia
turun lima anak tangga pada kedudukan ke-31 dari 46 negara.
Sementara itu, juara Euro 2012
Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul
1,610 mata.
Jerman dan Argentina turut
mempertahankan kedudukan selaku pasukan kedua dan ketiga terbaik dunia apabila
masing-masing mengutip 1,473 dan 1,309 mata.
Kedudukan ranking FIFA itu
membabitkan 209 buah negara.
Ranking Malaysia dijangka
berubah pada April apabila pasukan negara akan menentang Arab Saudi pada perlawanan
persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Skuad Harimau Malaya juga akan
menentang Yaman pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam
pada 22 Mac, sebelum beraksi dalam perlawanan amal persahabatan bertemu Palestin
di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 26 Mac. - BERNAMA
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130314/su_09/Malaysia-huni-tangga-ke-164-dalam-senarai-FIFA#ixzz2rsZ55SOB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan