Sabtu, 26 Januari 2019

Dua gol belum lagi cukup - Muslim


ARKIB : 26/02/2011
KUALA LUMPUR - ''Kalau diikutkan hati, memang saya tidak berpuas hati dengan kemenangan semalam kerana hanya dua jaringan sahaja mampu dicatatkan.'' Demikian pengakuan secara jujur pemain pertahanan skuad Olimpik negara, Mohd. Muslim Ahmad mengenai perlawanan dengan Pakistan, Rabu lalu.

Tambahnya lagi, sememangnya skuad negara layak menang dengan jaringan yang lebih besar lagi jika dihitung peluang terhidang.

Muslim bagaimanapun enggan menyalahkan rakan-rakannya di bahagian serangan kerana telah mencuba apa yang termampu.

''Kami semua telah cuba sedaya upaya mahu menambah gol pada separuh masa kedua malahan kami banyak mengawal perlawanan berbanding Pakistan tetapi jelas rezeki tidak memihak kami," ujarnya.

Namun, pemain kelahiran Terengganu itu berkata, dia mahu melupakan segera perlawanan itu dan memberikan fokus kepada pertemuan kedua di Lahore, 9 Mac ini.

''Apa yang dah berlaku, biarkan berlalu. Kini saya dan rakan-rakan hanya mahu memikirkan perlawanan kedua dan mencari kemenangan sekali lagi di sana.

''Cuma diharapkan kami semua tidak leka dengan kemenangan ini kerana perjuangan masih belum berakhir. Kami masih ada 90 minit lagi di sana, " ujarnya.

Muslim yang bergandingan dengan Mohd. Fadhli Shas di bahagian pertahanan beraksi dengan cemerlang pada perlawanan tersebut dengan dapat menandingi kekuatan fizikal barisan penyerang Pakistan.

Sementara itu, Muslim turut kecewa dengan taktik para pemain Pakistan yang banyak melengahkan masa permainan.

''Tindakan mereka itu banyak mengganggu momentum permainan kami dan saya harap itu tidak berlaku lagi pada perlawanan di sana.

''Mengenai sasaran kami nanti, kami mahu mendapatkan gol awal di tempat lawan supaya dapat membunuh semangat juang Pakistan. Mereka memerlukan empat gol selepas itu jika berhasrat mahu mara ke pusingan kedua," jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5dj7tPapl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 25 Januari 2019

Malaysia cukup kuat untuk kalahkan Pakistan


 
ARKIB : 20/02/2011
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
(DARI KIRI) Mohd. Imran Shazali, Razif Rajan, Firiszuan Sabri, Visan Longo dan Saharul Dahlan bermesra dengan K. Rajagobal pada Pertandingan Bolasepak Orang Asli di Damansara Perdana, Petaling Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR - Jurulatih bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal percaya Malaysia memiliki pasukan yang kuat untuk mencipta kemenangan apabila menentang Pakistan pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2012, Rabu depan.

Bertindak selaku penasihat, Rajagobal berkata, anak-anak didik jurulatih Ong Kim Swee telah menjalani latihan terbaik dan cukup bersedia untuk menggempur apa jua 'halangan' Pakistan.

"Kita punya pasukan yang kuat untuk mencipta kemenangan apabila menentang Pakistan, Rabu depan.

" Pasukan bawah 21 tahun kita cukup mantap kerana enam daripada pemain telah diserap dalam skuad senior,'' kata Rajagobal ketika ditemui di Karnival Masyarakat Orang Asli Desa Temuan di Desa Temuan, Damansara Perdana, semalam. Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Malaysia pernah beraksi di pusingan akhir Sukan Olimpik Munich, 39 tahun lalu, dan lapan tahun kemudian, kita sekali lagi melakar sejarah layak ke Sukan Olimpik Moscow namun tidak mengambil bahagian atas faktor politik.

Selepas bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam, minggu depan kita akan berkunjung ke Lahore pada 9 Mac.

Dalam perkembangan lain, Rajagobal berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mencari lawan baru untuk perlawanan persahabatan kelas A selepas hasrat bertemu Scotland tidak kesampaian. Adalah penting buat negara memperbaiki ranking bagi mendapat undian baik pada kelayakan Piala Dunia Asia.

Terdahulu, sempena Karnival Masyarakat Orang Asli Desa Temuan, turut diadakan perlawanan bola sepak Piala Yayasan Emkay antara Akademi Bola Sepak Desa Temuan dan Akademi Bola Sepak Kompleks Hutan Belum - Temenggor, Hulu Perak.

Lima anak Orang Asli dari Akademi Bola Sepak Desa Temuan terpilih menjalani latihan untuk skuad bawah 14 tahun Selangor - Firiszuan Sabri, Saharul Dhalan, Visan Longo, Razif Rajan dan Mohd. Imran Ghazali.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dfdTIISo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aksi Harimau perlu diperkemas


ARKIB : 17/02/2011
Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
PETALING JAYA - Masih banyak lagi yang harus diperkemas oleh skuad bimbingan Ong Kim Swee menjelang pertemuan kelayakan Olimpik 2012 menentang skuad Olimpik Pakistan pada Rabu depan, selepas Harimau Muda A hanya mampu memperoleh keputusan seri 1-1 menentang Perlis dalam saingan Liga Super kelmarin.

Meskipun, Kim Swee tidak meletakkan sebarang harapan tinggi pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya, kelmarin namun aksi yang dipamerkan oleh pemainnya sedikit hambar selain cuai ketika diasak oleh Perlis pada babak kedua perlawanan.

Jaringan awal diperoleh Perlis melalui pemain, Mohd. Faiz Subri pada minit ke-74 sebelum Gary Steven Robbat menyamakan kedudukan pada minit ke-89 untuk mengelakkan Harimau Muda tewas kepada skuad Singa Utara.

Pada perlawanan tersebut, Harimau Muda A hanya meletakkan A. Thamil Arasu selaku penyerang solo dengan dibantu oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Wan Zack Haikal di bahagian sayap.

Sementara itu, di bahagian pertahanan Harimau Muda A, dua tonggak skuad kebangsaan, Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas berjaya membentuk gandingan mantap bagi menghalang Perlis mendapatkan lebih banyak gol.

Malah, aksi mereka wajar diberikan pujian kerana banyak membantu pasukan dalam usaha mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan.

Walaupun begitu, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki oleh anak-anak buah Kim Swee untuk pertemuan, Rabu depan terutama di bahagian tengah yang dilihat agak kurang menjadi pada perlawanan tersebut.

Pada aksi Rabu depan, skuad Harimau Muda negara tidak boleh memandang rendah skuad Olimpik Pakistan tambahan pasukan itu hanya tewas 1-2 kepada skuad Olimpik Thailand.

Pakistan dilihat mempunyai corak permainan tersusun dan berdisiplin yang menjadi kunci utama kekuatan pasukan itu.

Menurut Kim Swee, segala keupayaan pasukan akan digunakan sepenuhnya pada pertemuan pertama kelayakan Olimpik tersebut minggu depan selain mengharap prestasi pemain mampu berada di tahap terbaik.

''Memang kita akui Pakistan banyak mempunyai kelebihan seperti kepantasan dan taktikal tersendiri.

''Namun, saya tetap percaya kami mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh digunakan sepenuhnya pada perlawanan, Rabu depan dan pada masa itu sudah tentu saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada perlawanan menentang Perlis ini,'' kata Kim Swee.

Kim Swee diramal hanya akan menyenaraikan 20 pemain untuk aksi bertemu Pakistan serta mendapat tambahan lima pemain luar iaitu Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan D. Saarvindran (Harimau Muda B).

Sementara itu, Pakistan dilaporkan bakal menamakan beberapa pemain yang berpangkalan di kelab Eropah seperti penjaga golnya, Naiman Khan (Sepanyol) dan Yousuf Butt (Sweden), apabila bertandang 23 Februari ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5ddLTRuZO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Malaya terima insentif RM50,000 juara AFF


ARKIB : 14/02/2011
 
Sultan Ahmad Shah (barisan belakang) bertanya sesuatu kepada penyerang kebangsaan, Safee Sali sehingga menarik perhatian rakan sepasukan dan pegawai-pegawai FAM ketika sesi bergambar di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.
 PETALING JAYA - Skuad Harimau Malaya menerima habuan RM50,000 setiap seorang daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam sebagai insentif kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 setelah menewaskan pasukan jiran, Indonesia, Disember lalu.

Ganjaran itu disampaikan sendiri oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah kepada para pemain skuad Harimau Malaya di Wisma FAM di sini.

Pada sidang akhbar, baginda bertitah, kejayaan skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki setelah 14 tahun menanti, merupakan satu era baru dalam arena bola sepak negara.

Titah baginda, kemenangan itu bukan sahaja cukup bermakna buat para pemain, tetapi ia juga menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia yang telah lama menantikan kejayaan besar seperti ini.

"Kita kini merupakan pasukan terbaik ASEAN, bukan saya seorang, malah seluruh rakyat amat bangga dengan kejayaan yang dilakar oleh para pemain kita.

"Malah, saya yakin seluruh rakyat berada di belakang pasukan negara ketika mereka melakar kemenangan ke atas Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki," titah Sultan Ahmad Shah pada majlis menjunjung kasih kepada Presiden FAM di atas kejayaan pasukan kebangsaan di Wisma FAM di sini, semalam.

Menurut Sultan Ahmad Shah, ini merupakan satu permulaan buat skuad kebangsaan untuk terus konsisten melakar kejayaan besar pada masa akan datang.

Jelas baginda lagi, bagi memastikan prestasi para pemain sentiasa berada pada tahap terbaik, FAM bersedia untuk memikirkan cadangan bagi membawa skuad Harimau Malaya menyertai perlawanan persahabatan di luar negara pula.

"Saya rasa tidak salah jika kita bawa pemain beraksi di luar bagi mendapat pendedahan yang sewajarnya," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan.

"Malah, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang sudi menyalurkan peruntukan bagi membantu membangunkan sukan bola sepak negara," titah baginda lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai masa depan skuad Harimau Muda, baginda bertitah, FAM bersedia untuk mencari haluan baru bagi membolehkan pemain-pemain muda negara menerima pendedahan sewajarnya.

"Tidak semestinya kita perlu ke Slovakia lagi, mungkin kali ini kita boleh menimba pengalaman di tempat lain pula seperti di Korea, Jepun atau pun negara Asia Barat," jelas Sultan Ahmad Shah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dcm4oTke
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 24 Januari 2019

Kim Swee tetap hormati Pakistan


ARKIB : 12/02/2011
Kim Swee tetap hormati Pakistan
 
ONG Kim Swee (kiri) berkata sesuatu kepada anak buahnya selepas latihan skuad Harimau Muda di padang Wisma FAM, semalam.

KUALA LUMPUR - Peluang melihat aksi Pakistan yang bakal ditempuhi oleh skuad Olimpik negara Rabu depan digunakan sebaiknya oleh jurulatih, Ong Kim Swee bagi mengetahui lebih lanjut kekuatan pasukan Asia Selatan itu.

Kim Swee yang baru pulang dari Bangkok selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad Olimpik Thailand menentang skuad Olimpik Pakistan, berkata pasukannya perlu melakukan persiapan lebih rapi.

Menurutnya, walaupun Pakistan tewas 1-2 dalam perlawanan tersebut namun mereka tidak boleh dipandang sebelah mata kerana corak permainan yang tersusun dan berdisiplin adalah kunci utama kekuatan pasukan itu.

"Oleh itu saya mahu pemain Harimau Muda A menjadikan dua pertemuan Liga Super menentang T-Team di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini dan Perlis Selasa depan sebagai medan menguji kekuatan sebelum pertemuan Pakistan," katanya.

Jelas Kim Swee, dia akan mengambil peluang untuk menggunakan perlawanan tersebut sebagai ujian buat pemainnya, selain cuba menggunakan taktikal baru bagi menghadapi aksi sulung perlawanan kelayakan Olimpik 2012.

"Mereka (Pakistan) mempunyai strategi mengikut kekuatan sendiri, mereka bermain hantaran jauh. Jadi saya akan buat sedikit perubahan taktikal untuk disesuaikan dengan corak Pakistan dan ia akan diuji apabila kita bertemu T-Team dan Perlis.

"Namun saya terpaksa 'mengorbankan' aksi pusingan pertama Piala FA menentang SDM Navy pada Jumaat depan untuk mengelak kemungkinan berlaku kecederaan terhadap pemain menjelang aksi bertemu Pakistan itu," katanya.

Kata bekas pemain kebangsaan itu, dia akan menurunkan pemain simpanan bertemu SDM Navy tetapi itu bukan bermaksud untuk memandang rendah keupayaan lawan tetapi mereka mempunyai misi lebih utama iaitu kelayakan Olimpik.

"Ketika ini pun saya terpaksa melupakan terus penyerang utama, Izzaq Faris Ramlan yang memerlukan dua minggu untuk pulih daripada kecederaan urat pelipat lutut. Saya tidak mahu ada pemain lain pula yang cedera.

Daripada 30 pemain Harimau Muda A ketika ini, Kim Swee hanya akan menyenaraikan 20 pemain untuk aksi bertemu Pakistan serta ditambah dengan lima pemain luar.

Mereka ialah Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah), Faizal Abu Bakar (Kedah) dan D. Saarvindran (Harimau Muda B).

Skuad Olimpik negara akan bertemu Pakistan di Stadium Shah Alam pada 23 Februari sebelum bertandang pula ke tempat lawan pada 9 Mac depan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5dX5HvxZL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kita ada ramai penggempur

ARKIB : 11/02/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
AHMAD Fakri Saarani (kanan) berjaya memikat hati K. Rajagobal dengan aksi lincahnya ketika membantu Malaysia membenam Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Malaysia memiliki banyak pilihan penggempur berbisa yang kini berada pada tahap terbaik, kata jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal selepas melihat prestasi pasukannya ketika membenam Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan, kelmarin.

Katanya, empat penyerang, Mohd. Safee Mohd. Sali, Ahmad Fakri Saarani, Norshahrul Idlan Talaha dan Shahrizal Mohd. Saad bermain dengan baik walaupun mereka tidak menghadiahkan gol dalam perlawanan tersebut.

Pada perlawanan kelmarin, Malaysia berjaya menjinakkan Hong Kong 2-0 hasil jaringan ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-44 dan sayap kanan, Mohd. Amirulhadi Zainal, minit ke-91.

''Mereka bermain dengan baik selain dapat melakukan beberapa percubaan ketika perlawanan berlangsung.

''Saya yakin mereka mampu memperbaiki kelemahan yang ada sekiranya dapat menyertai beberapa lagi perlawanan kompetitif seperti ini.

''Malah semangat yang dipamerkan oleh pemain juga amat tinggi walaupun ada penyerang kita iaitu Norshahrul masih belum sepenuhnya berada dalam kecergasan terbaik,'' kata Rajagobal.

Sementara itu, jurulatih Hong Kong, Tsang Wai Chung turut mengakui permainan yang dipamerkan skuad kebangsaan amat baik berbanding pasukannya.

''Pada separuh masa pertama Malaysia membuatkan kami berada dalam tekanan sehingga sukar untuk fokus sepenuhnya.

''Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan pemain kami terutama mereka yang bermain di posisi pertahanan,'' jelas Wai Chung.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5dW1R9A3E
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rajagobal puas aksi pemain


ARKIB : 10/02/2011
KUALA LUMPUR - Lebih sebulan selepas berjaya menjulang kejuaraan bersejarah Piala Suzuki AFF, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal lega melihat anak-anak buahnya meneruskan momentum baik dengan menewaskan Hong Kong 2-0 semalam.

Kemenangan ke atas Indonesia itu memberi keyakinan kepada skuad Harimau Malaya, dan semalam mereka menunjukkan kematangan ketika berdepan Hong Kong.

Menurut Rajagobal, selepas kejayaan Piala Suzuki AFF semua peminat meletakkan harapan yang tinggi kepada skuad kebangsaan, dan nyata pemainnya tenang menghadapi tekanan untuk menghasilkan satu lagi keputusan menggembirakan.

"Pada masa ini, yang paling penting adalah kemenangan dan cara kemenangan. Saya gembira dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemain.

"Malah kita juga akui bukan mudah untuk mengekalkan momentum pasukan di tahap terbaik seperti perlawanan malam ini (semalam)," katanya kepada pemberita tamat perlawanan di Stadium Shah Alam, semalam.

Tambah Rajagobal lagi, semangat dan kesungguhan yang dipamerkan oleh pemain harus dipuji.

"Pada perlawanan ini seluruh bahagian dalam pasukan berfungsi dengan baik selain dapat memberi tekanan kepada pihak lawan pada separuh masa pertama.

"Seandainya kita dapat menyertai banyak lagi perlawanan antarabangsa sudah tentu prestasi pemain dapat terus berada di tahap terbaik," jelas Rajagobal.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dW0Gl8yN
© Utusan Melayu (M) Bhd