Khamis, 17 Mac 2016

Kim Swee sudah ada perancangan

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI

 

KIM SWEE (kiri) memantau sesi latihan skuad negara di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

 

KETUA jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui sudah mula memikirkan strategi dari segi taktikal dan formasi pasukan kebangsaan menjelang aksi menentang Arab Saudi pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang berlangsung di Jeddah pada 24 Mac ini.

 

Sebagai rekod, saingan menentang Arab Saudi merupakan perlawanan rasmi pertama Kim Swee sejak dilantik oleh Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad kebangsaan secara tetap pada Januari lepas.

 

Sehubungan itu, pengendali berusia 45 tahun itu menuntut anak-anak buahnya memberi komitmen seratus peratus selain tumpuan penuh terhadap perlawanan menentang pasukan gergasi Timur Tengah itu supaya skuad kebangsaan dapat memperoleh keputusan positif.

 

“Saya boleh mengatur pelbagai strategi tetapi ia tidak berguna sekiranya pemain gagal memberikan tumpuan sepenuhnya. Apa yang penting adalah pemain perlu tahu tugas yang diberikan kepada mereka dan kekal ber­disiplin sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

 

“Mengenai formasi yang bakal diterapkan, saya masih belum membuat sebarang keputusan tetapi sudah ada perancangan awal untuk pasukan. “Namun, segala percaturan tersebut bergantung terhadap prestasi pemain ketika kami menjalani sesi latihan di Jeddah nanti,” kata Kim Swee ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

 

Dalam perkembangan sama, bekas jurulatih Harimau Muda itu mengakui gembira dengan kemenangan yang diraih oleh Selangor dan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada saingan Pia­la Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) minggu ini.

 

“Saya lihat keputusan yang dicatatkan oleh kedua-dua pasukan adalah positif kerana ia mampu menaikkan tahap keyakinan barisan pemain khususnya yang dipilih untuk mewakili skuad kebangsaan kerana ia adalah aksi bertaraf Asia.

 

“Bagaimanapun, aksi menentang Arab Saudi nanti adalah satu perlawanan yang berbeza, ia tidak sama ketika pemain mewakili pasukan kelab kerana saingan tersebut menuntut komitmen sepenuhnya daripada pemain,” jelasnya lagi.

 

Sementara itu, tiga pemain tonggak Gergasi Merah, Nazmi Faiz Mansor dan dua pemain pertahanan, Azrif Nasrulhaq dan Muhd. Shahrom Kalam telah melaporkan diri ke kem skuad negara semalam.

 

“Ketiga-tiga pemain tersebut selain Hafiz (Kamal) yang terlebih dahulu menyertai sesi latihan kelmarin, nampak keletihan. Justeru, saya berharap mereka dapat menjalani proses pemulihan dengan segera,” ujarnya.

 


Selepas menentang Arab Saudi, skuad Harimau Malaysia akan melayan kunjungan Macau dalam aksi persahabatan Kelas A di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 29 Mac depanArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz43ERGb0Vc Hakcipta terpelihara

Rabu, 16 Mac 2016

Apek 'baru' Oleh Aziman Rosdi

aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat mahu melupakan zaman kegelapan tahun lalu sambil membuka buku baru dengan nota positif, bermula pertemuan menentang Arab Saudi bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah pada 24 Mac ini.
  
Berikutan ranking merosot ke tangga ke-171 dunia serta mencatat beberapa keputusan memalukan termasuk dibelasah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-10 dan tumpas dua kali kepada Palestin dengan 0-6 pada aksi kelayakan pada 2015, ia memberi pengalaman cukup buruk buat pemain Harimau Malaysia.

Menurut Khairul Fahmi atau turut dikenali dengan panggilan Apek, semua pemain termasuk dirinya mengharapkan permulaan yang baik tahun ini di bawah kendalian jurulatih baru Datuk Ong Kim Swee namun pertemuan dengan pendahulu Kumpulan A itu bukan mudah.

“Ini perlawanan pertama untuk pemain, juga buat jurulatih Ong (Kim Swee) sebagai jurulatih Harimau Malaysia. Bagi saya perbezaan tetap ada, untuk perlawanan pertama kita cuba dapatkan keputusan positif.
“Kami tak nak tiap-tiap tahun dikritik peminat, dikecam semua orang. Kami juga mahu keputusan positif untuk negara dan diri sendiri,” katanya ketika ditemui Arena Metro pada sesi latihan semalam.

Khairul Fahmi beraksi pada pertemuan dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam September lalu yang terpaksa dihentikan pada minit ke-88 gara-gara kekecohan Ultras Malaya.

Arab Saudi yang mendahului 2-1 ketika itu diberikan kemenangan percuma 3-0.

Selepas enam perlawanan Arab Saudi unggul dengan 16 mata manakala Malaysia yang sudah tersingkir dalam buruan tiket ke Piala Dunia kini menduduki tempat keempat dengan empat mata daripada tujuh perlawanan dan bakal beraksi di pusingan play-off Piala Asia.

Bagi Apek, walaupun menjadi penjaga gol lebih senior berbanding Izham Tarmizi Roslan dan Farhan Abu Bakar namun ia tidak memberi kelebihannya untuk mendapat slot automatik kesebelasan utama.

“Saya mahu rebut tempat kesebelasan utama dan berusaha mendapatkan keputusan positif kerana bagi saya menang satu bonus untuk kita kerana kita tahu Arab Saudi lawan yang hebat apatah lagi bermain di gelanggang mereka,” kata tonggak Kelantan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:16 AM
APEK tekad baiki kesilapan.

- SUMBERt: http://www.hmetro.com.my/node/123338#sthash.fxxNzSaU.dpuf

Kim Swee ada dua 
pakar sepakan bebas

17 Mac 2016 12:27 AM
 MOHD. HAFIZ KAMAL (kiri) menjalani latihan bersama skuad negara
MOHD. HAFIZ KAMAL (kiri) menjalani latihan bersama skuad negara
MOHD. HAFIZ KAMAL (kiri) menjalani latihan bersama skuad negara di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam. UTUSAN/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR – Pemain tengah Selangor, Mohd. Hafiz Kamal berharap dapat menggunakan kepakarannya dalam mengambil sepakan bebas untuk membantu skuad Harimau Malaysia memperoleh gol seterusnya mencipta kemenangan dalam kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi di Stadium King Abdullah pada 24 Mac.
Hafiz yang berkebolehan untuk menjaringkan gol menerusi situasi bola mati menggunakan kaki kiri­nya bersedia untuk bergandingan dengan kapten Mohd. Safiq Rahim, yang merupakan pilihan pertama untuk mengambil sepakan bebas, sekiranya dia diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Pertamanya, saya perlu ber­usaha untuk dimasukkan ke dalam skuad utama, bagaimanapun itu semua atas kuasa jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) untuk menentukannya.
“Bagi saya kelebihan dalam mengambil sepakan bebas ini me­rupakan salah satu kelebihan yang kita ada untuk membantu pasukan mencipta gol dan saya fikir kita mampu menghasilkannya (gol),” katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Wisma FAM semalam.
Seandainya pengendali skuad kebangsaan Kim Swee meletakkan Hafiz dan Safiq untuk beraksi dalam kesebelasan utama menentang Arab Saudi nanti pasukan negara dilihat mampu mencipta gol kerana kedua-dua pemain tersebut berkebolehan menyempurnakan sepakan bebas dengan baik.
Hafiz sebelum ini pernah menjaringkan gol bersama skuad Red Giants pada musim ini hasil sepakan bebas dengan menggunakan kaki kirinya manakala Safiq menggunakan kaki kanan dan situasi tersebut seharusnya digunakan dengan baik oleh skuad negara.
Dalam pada itu, Hafiz yakin skuad negara mampu menyaingi Arab Saudi dengan syarat tidak terlalu menghormati pasukan lawan.
“Bagi saya pasukan dari negara Arab fizikal mereka dianggap sebagai satu kelebihan dan pada pendapat saya corak permainan lebih kurang sama. Mungkin kita terlalu hormat kepada mereka.
“Untuk aksi sulung skuad negara tahun ini, saya fikir kita harus menang untuk menutup suara penyokong yang mengkritik pasukan selepas kita kalah teruk tahun lalu,” katanya lagi.
Skuad negara sebelum ini pernah dimalukan oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 10-0 dalam aksi dwikelayakan tersebut.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Hafiz dipanggil me­nyertai skuad negara selepas kali ter­akhir sewaktu menewaskan Timor Leste 1-0 dalam aksi dwikelaya­kan itu di tempat lawan sebelum terpaksa disingkirkan apabila dia me­ngalami kecederaan buku lali.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-ada-dua-8232-pakar-sepakan-bebas-1.201252#sthash.zNrZjhXD.dpuf

‘Jangan pertikai prestasi saya’

16 Mac 2016 12:18 AM
Matthew Davies (kanan) menjalani latihan bersama Brendan Gan di
Matthew Davies (kanan) menjalani latihan bersama Brendan Gan di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam untuk persediaan menghadapi Arab Saudi. Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Matthew Davies menegaskan walaupun prestasi Pahang tidak memuaskan dalam kempen Liga Super ketika ini namun itu tidak bermakna pemanggilannya untuk menyertai latihan skuad kebangsaan boleh diperlekehkan.
Pahang ketika ini berada di tempat tercorot dalam carta liga sehingga memaksa pengendalinya Ahmad Shaharuddin Rosdi dan pembantunya Azaruddin Aziz mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan.
Skuad Tok Gajah turut dibolosi 13 gol dalam persaingan liga tetapi Davies percaya tindakan Datuk Ong Kim Swee memanggilnya untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan bukan satu kesilapan kerana dia yakin prestasi pemain dinilai secara individu.
“Saya tahu Pahang berdepan dengan waktu yang sukar dan bagi saya masih terlalu awal untuk menilainya (prestasi Pahang). Walaupun di anak tangga tercorot saya fikir tidak adil untuk disingkirkan daripada skuad kebangsaan hanya disebabkan kedudukan dalam liga.
“Ya (layak mewakili skuad kebangsaan), walaupun prestasi Pahang tidak begitu bagus saya masih layak untuk dipanggil oleh skuad kebangsaan dan saya percaya jurulatih menilai pemain secara individu.
“Semua pemain dinilai secara individu tapi jangan salah anggap dengan saya kerana kejayaan kelab juga penting, namun secara peribadi saya bermain dengan baik pada tahun lalu dan walaupun Pahang tidak begitu baik pada tahun ini saya fikir prestasi individu saya agak tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Davies turut memberitahu bahawa dia berasa dirinya dihargai berikutan kepercayaan yang diberikan oleh Kim Swee untuk menyertai skuad Harimau Malaysia malah berharap dapat menjadi pemain regular dalam pasukan kelak.
“Saya gembira kerana sekali lagi dipanggil menyertai skuad kebangsaan kerana ini adalah penghargaan kepada saya. Selepas apa yang anda lakukan bersama kelab ada orang nampak usaha keras anda dan saya gembira mengenainya.
“Sudah pasti saya mahu menjadi muka kegemaran dan berharap dapat mengekalkan posisi saya bersama skuad kebangsaan untuk jangka masa yang panjang,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-jangan-pertikai-prestasi-saya-8217-1.200911#sthash.RloaNcw4.dpuf

Jumaat, 11 Mac 2016

‘Pemain Harimau Selatan sandaran Harimau Malaysia’

 Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
SAFIQ (tengah) yang berpengalaman mengemudi Johor DT di peringkat Asia menjadi taruhan Kim Swee dalam skuad kebangsaan menentang Arab Saudi di Jeddah 23 Mac ini.

JURULATIH Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kekuatan pengalaman barisan pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) akan memberikan manfaat penting kepada skuad kebangsaan menjelang pertemuan dengan Arab Saudi bagi aksi kelayakan terakhir Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Jeddah pada 23 Mac ini.

Bukan mahu menidakkan ke­upayaan pemain-pemain pasukan lain sebaliknya Kim Swee me­n­gakui bahawa pemain skuad Harimau Selatan kini mempamerkan peningkatan tersendiri terutama dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016.

Musim ini, Johor DT selaku juara bertahan Piala AFC, membuktikan reputasi sebagai kelab gergasi Malaysia apabila membelasah wakil Myanmar, Ayeyawady United 8-1 dan berjaya menewaskan Bengaluru FC 1-0 di India, sekali gus menunjukkan pasukan yang diketuai Safiq Rahim kini berada di dalam kelas tersendiri.

Menurut Kim Swee, beliau berharap barisan pemain Harimau Selatan dapat berkongsi pengalaman serta mendapatkan keyakinan tinggi ketika berdepan Arab Saudi sebagaimana skuad kebangsaan sering menjadi ‘mangsa belasahan’ ketika berdepan pasukan dari Timur Tengah.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaysia diaibkan dengan kekalahan 0-10 dan dua kali tewas 0-6 kepada Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil dan di Jordan dalam kempen Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

“Tidak dapat dinafikan, mereka (barisan pemain Johor DT) adalah tulang belakang skuad kebangsaan ketika ini. Bukan mahu memperkecilkan mana-mana pemain tetapi mereka sudah bermain di peringkat tertinggi.

“Apabila kita akan bertemu Arab Saudi, saya berharap pemain-pemain dapat melupakan ‘fobia’ berdepan pasukan dari Timur Tengah. Jadi, saya berharap mereka dapat berkongsi untuk mendapatkan keyakinan ketika berdepan Arab Saudi nanti.

“Apa pun, bola sepak mengamalkan semangat berpasukan. Saya berharap mereka dapat melakukan dengan me­ngubah mentaliti dan karakter yang mana kita perlu lebih fokus dan disiplin nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Kim Swee, beliau enggan memandang mudah aksi terakhir kelayakan tersebut meskipun menyedari peluang sudah tertutup buat skuad kebangsaan untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018.

“Bukan senang untuk bermain dengan Arab Saudi. Cabarannya cukup kuat apatah lagi kita beraksi di gelanggang lawan. Bagaimanapun, kami tetap mahu mempertahankan maruah walaupun sudah tidak layak ke pusingan akhir.

“Kali ini saya menyenaraikan 25 pemain campuran senior dan junior yang mana ada sembilan atau 10 pemain berusia 25 tahun. Kini, ia terpulang kepada mereka untuk menunjukkan sesuatu kepada pa­sukan dan saya berharap mereka dapat memberikan yang terbaik,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz42duhBec6 Hakcipta terpelihara

Skuad masa depan Kim Swee uji Arab Saudi

 myMetro
Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee sudah bersedia membina skuad masa depan bermula dengan memanggil hampir separuh pemain berusia bawah 25 tahun bagi menghadapi Arab Saudi dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah, pada 24 Mac ini.

Pengendali berusia 45 tahun itu dijangka mengumumkan senarai 23 pemain hari ini bagi mengikuti kem latihan pusat Isnin depan dan beliau mahu proses transisi pemain dilakukan secara berperingkat.


“Hampir 9 hingga 10 pemain berusia bawah 25 tahun akan dipanggil bersama pasukan kali ini. Ini proses permulaan untuk saya membentuk pasukan masa depan kerana saya tidak boleh melakukan transisi pemain secara drastik.

“Purata umur pemain adalah 26-27 tahun bagi pasukan kali ini dan biarpun saya mahu lebih memberi ruang kepada pemain muda itu tidak bermakna pemain senior yang mempamerkan aksi konsisten bersama pasukan atau kelab dalam saingan domestik akan diketepikan.

“Saya percaya pemain yang dipanggil ini adalah pemain yang layak mewakili skuad kebangsaan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Aksi pertama menentang Arab Saudi adalah ujian pertama Kim Swee sejak dilantik sebagai pengendali Harimau Malaysia menggantikan Dollah Salleh yang meletakkan jawatan September lalu.

Selain Arab Saudi, Harimau Malaysia turut mengharungi perlawanan persahabatan dengan Macau di Stadium Hang Jebat Melaka pada 29 Mac ini.

“Saya akan memberi peluang sama rata kepada semua pemain baik pemain muda atau senior jadi terpulang kepada mereka untuk membuktikan dalam perlawanan itu nanti,” kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 9:04 AM

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/121961#sthash.bzjPNR3t.dpuf

Jumaat, 4 Mac 2016

Harimau Malaysia kini ranking ke-166 dunia

KHAMIS, 3 MAC 2016 @ 10:23 PM

Oleh Helmi Talkah helmi.talkah@bh.com.my KUALA LUMPUR: Walaupun tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, 17 November lalu, ranking skuad Harimau Malaysia melonjak lima anak tangga ke-166 dunia.

Ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini, Malaysia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mengumpul 129 mata, sekali gus memperbaiki kedudukan sebelum ini di tangga ke-171 dunia. Kedudukan terbaharu itu sudah pastinya sedikit sebanyak melegakan Kim Swee kerana antara salah tugas utamanya adalah memastikan Malaysia berada dalam kelompok 140 dunia dalam tempoh dua tahun sejak dilantik menjadi pengendali tetap Harimau Malaya, Januari lalu.


Anak buah Kim Swee berpeluang untuk memperbaiki kedudukan itu andai mencatat keputusan positif pada pertemuan dengan Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah, Jeddah, 24 Mac ini dan menentang Macau dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat Melaka empat hari kemudian. Dalam ranking Asia, Malaysia menduduki tangga ke-32, dengan Iran gah di kedudukan teratas diikuti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi. Belgium pula kekal di ranking pertama dunia mengatasi Argentina (kedua), Sepanyol (ketiga) dan juara Piala Dunia 2014 Jerman (keempat).